Kerana Sebuah Janji 23

Salmiah merenung satu-persatu wajah duka di hadapannya. Walaupun kesedihan di dalam dirinya berlagu hiba namun dikuatkan hatinya demi insan-insan yang jelas lebih berarak mendung wajah mereka. Salmiah sedang berusaha memujuk Zarina. Dia menggosok-gosok perlahan bahu majikannya itu. Cuba mententeramkan keresahan wanita itu.

Balqis juga sudah membengkak matanya. Asyik menangis saja sejak sampai ke hospital ini. Sejak dia ceritakan apa yang berlaku di rumah. Pertengkaran di antara Dani dan Dahlia. Walaupun dia tidak mendengar biji butir yang sebenar namun dia amat pasti sesuatu yang telah menyakitkan hati Dani sehingga lelaki itu sanggup berkasar dengan Dahlia. Salmiah merenung pula ke arah dua orang lelaki di hadapannya itu.

Mursyid setia berdiri di pintu wad kecemasan. Mundar-mandir bagi menghilangkan keresahan barangkali. Matanya beralih pula ke arah Dani. Majikannya itulah yang paling terpukul sekali. Wajah lelaki itu penuh kerisauan, kesedihan dan penyesalan. Airmata lelakinya gugur satu-persatu. Tidak lagi dia peduli. Duduk di lantai hospital sambil menunduk dan meramas rambutnya. Kemeja yang tersarung di badan masih belum dibuka. Tompok-tompok darah yang sudah kering melekat di baju lelaki itu. Hiba sungguh hati Salmiah melihat keadaan serabut dan tidak terurus Dani.

“Macam mana boleh jadi macam ni Dani? Kenapa berkasar dengan Lia?”

Zarina tidak dapat menahan esak tangisnya. Suara wanita itu bergema di ruang yang tengik berbau ubat itu.

“Maafkan Dani ma..”

“Kan aku dah pesan, cakap elok-elok dengan dia. Sekarang tengok?”

Dani tidak mampu bersuara. Memang dia yang bersalah. Itu tidak dapat disangkal lagi. Doanya cuma satu kini, agar Dahlia selamat. Agar dia boleh memohon kemaafan isterinya itu.

Balqis hanya merenung Dani dengan perasaan sedikit geram. Apa yang berlegar di kepalanya kini adalah kandungan Dahlia. Ingin saja dia membuka mulut untuk bertanya. Tapi dia terpaksa mengunci mulutnya dan ingin mengetahui keadaan sebenar tentang sahabatnya dulu.

Mereka semua tersentak bila pintu wad kecemasan terbuka. Seorang doktor lelaki melayu berdiri segak di hadapan mereka. Bingkas Dani menerkam doktor muda itu.

“Doktor, macam mana isteri saya?”

“Isteri encik stabil walaupun kehilangnan banyak darah. Cuma..”

“Cuma apa doktor?”

“Cuma, kandungannya tidak dapat diselamatkan. Dia keguguran.”

Masing-masing terpana. Terkejut dengan berita yang baru disampaikan itu. Masing-masing saling berpandangan. Hanya Balqis saja yang tunduk merenung lantai. Apa yang dia khuatiri sudah pun berlaku. Kandungan itu masih baru umurnya. Jika tidak dijaga, inilah akibatnya. Airmatanya tumpah saat terfikir betapa gembiranya Dahlia tengahari tadi. Betapa cerianya bila mengetahui dia sudah berbadan dua. Tapi tidak sampai beberapa jam saja dia sudah merasai kehilangan. Kehilangan anak pertama. Kasihannya kau Dahlia.

Zarina sudah terjelepok. Lemah dan tiada daya untuk terus berdiri. Tiada kata-kata yang mampu dia luahkan. Hanya tangisan saja yang mampu menceritakan segala-galanya. Dia menangis hiba. Menangis bersama-sama Salmiah. Dani pula terduduk di lantai. Fikirannya diasak dengan pelbagai soalan. Dia cuba mencernakan kata-kata doktor muda itu sebentar tadi. Kandungan? Keguguran? Dahlia mengandung? Dahlia mengandungkan anak mereka?

“Err, bila kami boleh jumpa dia?”

Mursyid gagahkan diri untuk bertanya. Saat ini hanya dia saja yang boleh berfikir dengan waras. Hanya dia yang masih mampu bertahan.Yang lain sudah tenggelam dalam emosi dan kesedihan.

“Lagi setengah jam dia akan dipindahkan ke wad biasa. Anda semua boleh melawat dia nanti.”

“Terima kasih doktor.”

Mursyid bersalaman dengan doktor muda itu. Dia memandang Dani. Geramnya pada Dani bertukar kasihan. Kasihan melihat keadaan sahabatnya itu. Sungguh jelas ketara wajah Dani disimbah riak penyesalan yang tak sudah. Mursyid bertinggung dan menepuk bahu Dani.

“Sabarlah Dani.”

“Kenapa dia tak beritahu kat aku Syid? Kenapa nak rahsiakan?”

Esakan Dani sayu berlagu. Mengundang panas di tubir mata Mursyid.

“Entah-entah bukan anak you! Tu sebab dia rahsiakan.”

Mereka semua berpaling serentak. Juliana tersenyum sinis. Hatinya puas kini. Padan dengan muka kau Dahlia! Inilah akibatnya kalau kau cuba merampas hak aku!

“You buat apa kat sini Ju?”

“Kenapa? Tak boleh?”

“Mana you tahu kami ada kat sini?”

“Adalaah… you sibuk nak tahu buat apa?”

“Mestilah I nak tahu. Sebab I tak nak you jadi batu api kat sini.”

“Mursyid! You ni kan, tak habis-habis tuduh I jadi batu api.”

“Habis tu tak betul? Apa tujuan you datang ke hospital ni? Jangan cakap you nak melawat Dahlia.”

“Salah ke?”

“Yup. Sebab you yang mulakan semua ni. You yang racun Dani, sampai Dani hilang akal dan berkasar dengan wife dia!”

“Padan muka! She deserved that!”

PAANGG!!

Semua terdiam. Wajah Zarina sudah merah padam menahan marah. Geram bukan kepalang dengan sikap Juliana. Kini barulah dia tahu siapa Juliana sebenarnya. Nasib baik gadis itu tidak menjadi menantunya.

“Aunty! What are you doing? Sakitlah!”

“Pergi Juliana. Aku tak nak tengok muka kau kat sini, pergi!”

“Aunty, sampai hati aunty buat Ju macam ni. Ju tak salah.”

“Pergi aku kata, pergi cepat!”

Juliana geram. Pipinya terasa perit dek tamparan Zarina tadi. Malu! Dia benar-benar malu diperlakukan sebegitu. Ah, anak dan mak sama saja! Menyakitkan hati! Juliana berlalu sambil menghentak kaki. Mengundang senyum kecil di bibir Mursyid. Padan muka!

Dani pula hanya tunduk lesu. Tidak peduli langsung dengan adegan riuh-rendah pertengkaran Mursyid dengan bekas buah hatinya itu sehingga mengundang campur tangan ibunya sendiri. Apa yang dia tahu, melayan rasa sedih dan sesalan yang tak sudah-sudah. Sungguh dia menyesal dengan apa yang berlaku. Dahlia keguguran kerananya!

Balqis hanya memandang Dani yang sedang menyeka air matanya. Kasihkah lelaki itu pada Dahlia? Sehingga air mata lelakinya gugur satu-persatu dari tadi? Hari ini Balqis melihat Dani dari sudut yang berbeza. Hari ini lelaki itu kelihatan sangat lemah. Seolah-olah semangatnya lari terbang. Balqis merasakan dia harus ceritakan hal yang sebenar. Tuduhan gadis bernama Juliana tadi boleh mencemar imej Dahlia.

“Tengahari tadi saya teman Dahlia pergi klinik.”

Semua kepala mendongak mencari wajah Balqis. Gadis itu tersenyum hambar. Matanya yang sembab dan suaranya yang sedikit sengau itu tidak dapat diserikan dengan sedikit senyuman hambar itu.

“Doktor sahkan dia pregnant. Baru 6 minggu.”

“Ya Allaaah…”

Rintihan Zarina mengundang sebak di hati Balqis. Dia tewas dengan kasih sayang wanita itu pada sahabatnya.

“Dia cakap, nak surprisedkan awak, Dani. Dia nak masak something special untuk awak.”

“Oh, patutlaah…”

Kini enam pasang mata beralih pula pada Salmiah. Giliran wanita itu pula tersenyum kelat.

“Sampai aja Dahlia di rumah petang tadi, kami masak sama-sama. Dia buat masakan barat untuk kita, puan. Katanya, ada berita gembira yang dia nak beritahu. Bila saya risik-risik, dia berkeras tak nak beritahu. Dia suruh kita semua tunggu time makan. Saya tak sangka pula ini berita yang dia nak sampaikan, puan.”

“Dia nak beritahu, dia sudah mengandung. Dahliaaa…”

Rintihan Zarina bergema lagi. Mengundang sebak di hati insan-insan yang dilanda kesedihan di situ.

“Semua salah aku Syid, semua salah aku!”

“Sabar Dani, ini ujian buat kau. Sabar banyak-banyak. Apa kata kau balik dulu mandi, rest lepas tu kau datang balik, jumpa Dahlia, minta maaf kat dia, ya?”

“Tak. Aku nak tunggu sini. Aku nak jumpa dia dulu. Kau tolong bawa mama dan kak Miah balik. Dah malam ni.”

“Tak nak! Mama nak tengok Lia dulu.”

“Tapi puan, puan belum makan lagi. Makanan yang Lia masak tadi dah terhidang atas meja. Dah sejuk pun.”

“Jom aunty? Ikut saya ya?”

Zarina menggeleng perlahan. Macam mana mahu makan jika seleranya sudah mati? Makanan yang terhidang itu dimasak khas oleh menantunya demi sebuah berita gembira. Sekarang, menantunya itu sudah terlantar lesu di hospital, demi berita itu juga. Dahlia sedang kesakitan, sedang bersedih. Kehilangan anak adalah satu tamparan hebat buat seorang wanita. Malah dia juga turut merasa sakitnya sebuah kehilangan itu. Dia sudah kehilangan cucu!

8 Suara Merdu Anda:

Anor said...

Eeee...kesiannya dgn Dahlia. Itulah Dani terlalu ikutkan perasaan sudah kehilangan anak kerana dengar hasutan ex.gfriend. Menyesal kemudian sudah tak berguna lagi. cepat sambung ye....

Anonymous said...

cepatla sambung lg..........
bestla citer ni

dontbelong2u said...

siannya dahlia.... pasti dahlia taknak maafkan dani.. he deserved that.. geram sgt nie kat dani. pepun x sabar nak taw pe berlaku next...

aqilah said...

benci dgn sikap lelaki yg begitu mudah berprasangka sperti Dani!!!!!!!!!

IVORYGINGER said...

he... cam smua benci kat dani.
bukan salah dia sepenuhnya. si jue tu batu api. lgpun dani n dahlia br ja kahwin, kepercayaan belum kukuh masih goyah. yeala diorg kahwin pun tpaksa. dah tu dahlia letakkan syarat kat dani. jgn jatuh cinta kat dia. tetiba ada laki lain nk kacau line. mn xcemburu dani. dahtu dia pun baru sedar dia cintakan dahlia. apapun hope dani akan mintak maaf ngan dahlia ats kata2 yg terucap sblm ni. biar rendah ckit ego tu. so lain kali jgn bt lg klu hal begini blaku. siasat lu betul ke x. hehe... bnyk la celotehnya. ;D

fard_kay said...

dah terlajak x dapat nk buat apa la
pohon kemaafan dahlia la dani

nursya said...

tragis tol la...
ciannyerrrr kat dahlia..
padan muka juliana...
baru kena penampar jer...
huh...

natasya said...

hahaha..puas hati bila si juliana 2 kne tampar..sgt puas..
tapiiii...kesian la kt dahlia..bru nk celebrate berita gembira..tros jd lain..nie semua salah juliana...sbb mlot dy...dani nie pown satu...ikt kn hati 2 buat ap..owg kata ikot hati mati..hah..kn da keguguran ank tuh...kesian toi kt dahlia...huhu...
cpt smbong..!!

Post a Comment