Rajuk Sang Hati 16

Tiga mata pelajaran telah berlalu. Aku mengeluarkan buku agama. Sebelum ustaz Arifin masuk lebih baik aku bersedia. Doa-doa yang ustaz Arifin suruh hafal telah melekat dalam mindaku. Sudah menjadi rutin, sebelum memulakan pembelajaran ustaz Arifin akan memilih dua tiga orang pelajar untuk membaca doa-doa yang diajarnya sebagai bekalan dan pedoman hidup. Minggu lepas aku disuruh membaca doa Siti ‘Aisyah r.a., kelmarin pula ustaz Arifin suruh aku baca Ayat Seribu Dinar. Hari ini adakah aku akan disuruh lagi? Harap-harap giliran orang lain pula. Tiba-tiba cikgu Wahid dan dua orang pengawas muncul di depan pintu kelasku. Salah seorangnya adalah Irfan. Wajah mereka cukup serius. Aku tunduk. Tidak berani bertentang mata dengan Irfan si jantung hatiku itu. Sisa-sisa malu pada Irfan tempoh hari masih berbekas.

“Siapa Nurul Atikah bt Sulaiman?”

Lantang suara cikgu Wahid membaca nama pada sehelai kertas kecil. Atikah angkat tangan dan bangun.

“Saya cikgu.”

“Betul kamu yang buat aduan tentang kehilangan jam tangan?”

“Betul cikgu.”

“Baik kamu berdua periksa semua beg sekolah pelajar kelas ni. Yang lain sila beri kerjasama.”

Cikgu Wahid memberi arahan kepada Irfan dan seorang lagi pengawas. Kalau tak silap aku namanya Rizal. Mereka memeriksa satu-persatu beg kawan-kawanku. Aku melihat Maisarah, dia pula merenung Azura. Kami saling berpandangan dan mengangkat kening masing-masing sebagai isyarat bertanya. Kemudian mataku beralih kepada Atikah. Dia menjeling aku. Pelik!

Irfan sampai ke mejaku. Kami bertentang mata. Segarit senyuman pun tidak terukir di wajahnya, seperti selalu. Aku biarkan saja Irfan menyentuh barang-barangku. Biarkan. Biarkan si jantung hatiku itu menjalankan tugasnya. Dia menyeluk poket begku sebelah depan. Pergerakannya terhenti. Dia mengangkat muka merenungku. Aku buat muka selamba. Sebenarnya aku teringin nak senyum kepadanya, tapi aku tak berani. Dia masih merenungku. Lama. Kini satu kelas telah menjadi senyap-sunyi. Semua mata tertumpu pada kami. Tiba-tiba aku berdebar-debar. Kuat sekali degupan jantungku. Bukan kerana Irfan merenung aku, tapi aku dapat rasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku.

“Irfan?”

Suara cikgu Wahid menyedarkan aku dan Irfan. Dia berpaling.

“Err.. ya cikgu.”

“Kenapa?”

Irfan merenungku lagi. Macam serba salah saja muka dia?

“Err.. tak ada apa cikgu.”

“Jumpa?”

“Tak jumpa cikgu.”

“Baik cukup, kita pergi check kat kelas lain.”

“Baik cikgu.”

Irfan merenungku tajam. Dia mengeluarkan tangannya dari poket begku dan terus berlalu. Debar di dadaku masih sumbang rentaknya. Aku cuak. Perlahan jemari ku seluk ke dalam poket beg. Tanganku tersentuh sesuatu. Aku ambil dan keluarkan dari beg. Aku terkedu. Jam tangan jenama Seiko berada di dalam genggamanku. Kini, semua mata tertumpu pada aku.

“Oh, jadi kaulah yang ambil ya?”

Sergah Atikah. Aku masih terkebil-kebil melihat jam itu di genggamanku. Macam mana jam ni ada dalam beg aku? Siapa yang letak?

“Oi, pencuri! Pulangkan balik jam aku.”

Berdesing telingaku bila Atikah menggelarkan aku pencuri. Dia menghampiriku. Lalu merampas jam tangan miliknya. Mata kami bertentangan.

“Jaga sikit mulut kau, aku bukan pencuri.”

“Kalau kau tak curi, macam mana jam aku boleh ada dalam beg kau?”

“Woi! Kau jangan nak tuduh Qai sembarangan, aku kenal dia. Dia takkan mencuri.”

Atikah berpaling sambil tersenyum sinis pada Azrai.

“Of courselah kau kata dia tak mencuri, sebab dia buah hati kau kan?”

“Atikah, apa yang kau tak puas hati pada Qai hah?”

“Kau boleh diam tak Mai? Kau jangan masuk campur!”

“Masalah Qai, masalah aku juga. Jadi kau jangan nak tuduh dia sembarangan.”

“Eleh, korang ni sengaja berpakatkan?”

“Mulut jaga sikit Atikah.”

Azrai merenung tajam Atikah. Gadis itu hanya mencebik. Geramnya aku!

“Qai, lain kali kalau kau berkenan kat barang-barang aku, minta aja. Aku akan bagi, tapi janganlah mencuri macam ni!”

“Aku tak curi!”

“Dia tak akan mencuri!”

Azura dan Maisarah bersuara serentak.

“Come on guys, dah terbuktikan? Jam aku ni ada dalam beg dia?”

“Atau kau sendiri yang letak?”

Suara bersahaja Hasnul Amin membuat semua orang merenungnya dan Atikah silih berganti. Aku lihat wajah Atikah berubah.

“Woi mamat Indon! Kau jangan masuk campur boleh? Duduk diam-diam kat situ.”

“Kenapa kau tak jawab? Betul tak apa yang aku cakap tadi?”

“Oh, kau nak tuduh aku sengaja perangkap Qai begitu?”

“Tepat sekali.”

Mata mereka bertentangan. Hasnul Amin bermuka selamba. Wajah Atikah pula sudah merah padam menahan marah.

“Assalamualaikum.”

Kami semua berpaling dan menjawab salam serentak. Ustaz Arifin muncul di pintu.

“Apa yang kecoh-kecoh ni?”

“Qairunissa ustaz. Dia curi jam tangan saya.”

“Astagfirullahalazim, Qairunissa? Betul ke?”

“Saya tak curi ustaz. Demi Allah saya tak curi.”

“Dia bohong ustaz. Jam tangan ni ada dalam beg dia tadi.”

“Betul Qairunissa?”

“Betul ustaz. Tapi saya tak ambil. Saya tak tahu siapa yang letak dalam beg saya ustaz. Saya betul-betul tak tahu.”

“Dia bohong ustaz!”

“Kau yang berbohong.”

Tiba-tiba suara Hasnul Amin mencelah.

“Kau diam mamat Indon! Aku dah cakap jangan masuk campur. Qai ni memang pencuri!”

“Kau ada bukti?”

Suara Azrai pula mencelah.

“Bukti apa lagi? Jam ni dia keluarkan sendiri dari beg dia. Jelas dan nyata. Semua orang nampak.”

“Kau sendiri yang letak.”

Maisarah pula menyampuk.

“Kau cakap baik-baik sikit Mai. Kenapa pulak aku nak letak jam aku sendiri dalam beg dia?”

“Sebab kau memang tak puas hati dengan Qai. Kau sengaja nak perangkap dia.”

Azura juga sama sibuk menyokong aku. Tiba-tiba aku rasa sangat terharu. Kawan-kawanku masih percaya pada aku. Kawan-kawanku tidak berpaling tadah.

“Sudah! Astagfirullahalazim, bawa mengucap semua. Syaitan sedang bermaharajalela di antara kamu. Makhluk yang dilaknati Allah itu memang sengaja membuat kamu semua bercakaran.”

Kami semua terdiam mendengar teguran dari ustaz Arifin itu.

“Qairunissa, andai benar tuduhan Nurul Atikah itu, kamu harus meminta maaf padanya.”

Minta maaf? Jangan harap! Aku tak bersalah lansung!

“Saya diperangkap, saya dianiaya ustaz.”

“Kalau benar kamu rasa begitu, segeralah berdoa. Doa orang yang dianiaya itu Allah makbulkan. InsyaAllah.”

“Nurul Atikah, belajarlah memaafkan. Barang kamu pun sudah dijumpai, jadi tidak perlu kecoh-kecoh seperti tadi. Lain kali jangan pakai barang berharga ke sekolah. Bila hilang susah.”

Dia tu berlagaklah ustaz. Suka menunjuk-nunjuk kekayaan dia. Kata-kata itu hanya menjerit di hatiku saja.

“Baiklah, kita mulakan, dah buang masa banyak ni. Buka muka surat 45. Hari ini kita masuk bab zakat.”

Tanpa berlengah, kami semua akur dengan arahan ustaz Arifin.

1 Suara Merdu Anda:

An-Nur Sofiyya said...

Suka sgt!!!Irfan back up Qai!

Post a Comment