Akulah Cinderella 1


Tomboy. Itulah gelaran yang ku sandang sejak akhir-akhir ini. Walaupun aku kasar dan berpakaian seperti lelaki, aku tetap mempunyai naluri seorang gadis. Jiwaku tetap lembut dan sensitif, seperti perempuan biasa. Bilaku bersedih, aku akan menangis. Bezanya aku tidak mempamerkan kesedihanku itu untuk tatapan orang lain. Aku lebih suka bersendirian. Biar tiada siapa yang menyaksikan kelemahanku itu. Dahulu aku tidak begini. Aku gadis biasa dan berpakaian seperti gadis lain juga. Penghijrahanku bermula sejak kehilangan ibu dan ayah, yang pergi untuk selamanya akibat satu kemalangan ngeri yang tragis. Ketika ayah dan ibu baru balik dari menoreh getah. Mereka dirempuh sebuah lori hingga terpelosok di bawah kenderaan itu. Mayat mereka tidak usah dicakaplah. Jikaku bercerita, mahu saja kembang tekak orang yang mendengarnya. Sejak peristiwa itu, bermulalah episod duka dan lara kehidupanku sebagai anak sulung.

Aku hidup dalam keadaan serba daif. Semasa arwah kedua orang tuaku masih hidup pun, kami sekeluarga memang sentiasa dihimpit kemiskinan. Melalui hari-hari yang berputar silih berganti, penuh bahagia dan warna-warni menghiasi kehidupan yang serba daif itu. Di pinggir kampung ini, terpencil dari masyarakat desa yang lain, megahnya pondok buruk kami, hasil dari binayah dan mawaddah seorang ayah. Selautan terima kasih dan segunung syukur untuk insan yang berhati mulia Pak Haji Yahya, yang bermurah hati memberi sepetak tanah untuk kami berlindung dan meneruskan kehidupan ini. Kini, Pak Haji Yahya pun sudah tiada lagi. Kami terus tinggal di tanahnya ini selagi tiada siapa yang menghalau.

Umurku baru saja mencecah tujuh belas tahun. Nampaknya tahun ini, aku tidak dapat menduduki peperiksaan besar SPM. Sebab aku sudah berhenti sekolah tahun lepas. Sejak orang tuaku pergi buat selama-lamanya. PMR aku agak bagus juga. Dengan kelulusan itu sajalah aku layarkan untuk mendapatkan kerja. Untuk menyara lima orang lagi adik-adikku. Cantik dan lembut. Pujian itu juga selalu meniti di bibir orang-orang yang mengenaliku. Tapi itu dululah. Sekarang, aku sembunyikan rupa parasku dengan cara pemakaian dan sikapku yang agak kasar. Sengaja buat-buat kasar sebenarnya. Sejak kematian kedua orang tuaku, aku dan adik-adik sering dibuli oleh budak-budak kampung. Aku juga hampir diperkosa. Mereka memang jahat! Suka mengambil kesempatan terhadap kaum yang lemah sepertiku. Kaum yang sepatutnya dilindungi dan disayangi. Tidakkah mereka kasihan kepada kami enam beradik yang sudah menjadi anak yatim piatu ini? Saat itu juga aku nekad untuk berubah. Dengan duit tabunganku, aku mula membeli pakaian lelaki. Aku ingin merubah penampilanku. Tetapi bukan merubah jantina dan naluriku. Itu tidak mungkin ku lakukan. Aku tetap perempuan biasa, punya hati dan perasaan. Niatku cuma tidak mahu dibuli lagi, itu saja. Aku juga tidak mahu adik-adikku menjadi mangsa kebiadapan mereka. Aku harus kuat, aku harus tabah. Aku harus jadi seperti lelaki. Kerana akulah sandaran buat adik-adikku. Di pundakku ini tergalas satu tanggungjawab yang maha hebat, yang ayah dan ibu wariskan. Yang tidak boleh tidak, aku harus memikulnya walau seberat mana pun. Bagai menggalas sebuah bongkah, sarat dengan kepayahan dan kesedihan.

“Kak Syah, termenung apa? Mari makan.”

Alia, adik keduaku sudah menghidangkan sarapan pagi. Pagi ini menunya hanya lempeng dan kopi O saja. Ringkas dan mengenyangkan. Alia memang pandai memasak. Jadi, kami berdua putuskan hanya dia saja yang memasak, sedangkan aku pula keluar bekerja. Masakannya pun sedap. Adik-adik yang lain tidak pernah bersungut. Semasa arwah ibu hidup lagi, Alia memang rajin ke dapur menolong ibu. Alia masih di tingkatan tiga dan Aida adikku yang ketiga, kini di tingkatan satu. Mereka bersekolah petang. Jadi, sebelum ke sekolah Alia sudah menyediakan hidangan tengah hari. Sementara tugas Aida membasuh kain dan menggosok baju.

“Alia bagi tak duit belanja sekolah pada Ain pagi tadi?”

Soalku ingin kepastian. Duit belanja sekolah adik-adik yang lain telah ku serahkan kepada Alia. Ain pula baru darjah enam. Selepas pulang dari sekolah, dia akan mengambil alih tugas menjaga Azah yang baru darjah tiga dan Aiman satu-satunya adik lelaki yang ku ada. Tugas-tugas itu telah aku bahagikan demi tidak membeban diriku seorang saja. Biar mereka tahu erti berkerjasama dan tanggungjawab.

“Dah. Tapi hari ini Lia bagi lebih sikit, sebab Ain kata ada kelas tambahan.”

“Kelas tambahan? Sampai pukul berapa?”

“Sampai pukul tiga saja katanya.”

“Habis tu nanti, korang berdua pergi sekolah siapa nak jaga Azah dan Aiman?”

Aduh! Masalah, masalah, macam mana ni?

“Lia dah minta Nek Odah tolong tengok-tengokkan.”

Fuh! Lega. Nasib baik ada Nek Odah. Jiran yang paling hampir dengan pondok burukku. Aku mengerling jam di tangan. Jam ini aku beli di pasar malam tahun lepas. Sudah pukul lapan pagi. Aku harus cepat.

“Alia tengok adik-adik tau. Kak Syah nak pergi dah ni.”

Aku menitip pesan. Alia hanya mengangguk. Aku mengayuh basikal mountain bike yang dibeli arwah ayah dulu. Basikal ini basikal kesayanganku. Hadiah dari ayah sempena aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR lalu. Itu pun kerana harga getah sedang melambung tinggi ketika itu. Dan dengan basikal ini jugalah aku ke hulu ke hilir. Jauh juga aku mengayuh basikal untuk ke tempat kerja. Aku bekerja sebagai office girl atau lebih tepat office boy saja di pejabat peguam di bandar. Hanya itu sajalah yang mampuku dapat sesuai dengan kelulusan yang ada. Gaji pun bukannya banyak. Cuma lima ratus saja. Kalau nak diikutkan bukannya cukup pun. Itu sebablah aku bekerja sambilan pada waktu malam di sebuah restoran. Cukuplah aku nak sara adik-adikku yang semuanya tengah kuat makan itu.

2 Suara Merdu Anda:

Unknown said...

gud starting

sweet pink said...

saya dh bce nvel ne ianya mmg best..tpi kalo ad smbungannya mybe lg best anelh tawkn...hopefully penulis dpt m'hsilkan karya2 yg lbih m'narik di masa2 akan dtg...

Post a Comment