Kerana Sebuah Janji 4

Zarina menutup perlahan pintu keretanya. Dari jauh dia melihat Dahlia tekun membaca di sudut gazebo. Tubuh yang lesu digagahi menuju ke arah gadis itu.

“Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam. Eh, aunty. Baru balik?”

“Hmm.. baru sampai.”

Zarina melabuhkan punggungnya di hadapan gadis itu. Manis senyuman yang dihamparkan Dahlia untuknya.

“Aunty nampak penat, banyak kerja ke?”

“Banyak sangat. Si Maria pulak cuti, kelam-kabut aunty dibuatnya.”

Dahlia tergelak kecil. Dapat dia bayangkan betapa sibuknya wanita anggun ini bertungkus-lumus meneruskan perniagaan keluarga yang ditinggalkan arwah suaminya.

“Kalau aunty penat, pergilah rest.”

“Kejap lagilah. Lia baca buku apa tu?”

“Motivasi aunty.”

“Tak ada kuliah ke hari ni? Awal dah ada kat rumah?”

“Ada dua. Pukul 9 tadi, lepas tu pukul 2. Pukul 4.30 Lia dah ada kat rumah, aunty.”

Dahlia ramah dalam senyuman. Zarina sudah dianggap seperti orang tuanya dan pelindungnya sekarang.

“La, kenapa tak hang out dengan kawan-kawan?”

“Lia malas. Duduk rumah lagi best.”

Zarina tergelak. Wajah gadis manis itu direnung. Hati sudah lama berkenan untuk mengangkatnya sebagai menantu. Namun sedikit khuatir dengan tingkah Dani yang agak kasar melayani Dahlia. Walau tidak pernah seculin pun gadis itu melawan. Kata-kata kesat Dani dibalas lembut. Kadang-kadang tak balas langsung. Dahlia lebih suka mendiamkan diri. Lebih suka beralah dari berbalah. Hati ibu manalah yang tidak terusik?

“Aunty? Kenapa?”

Tersentak Zarina dengan suara lembut yang menyapa.

“Ha? Lia cakap apa tadi?”

Dahlia tersenyum manis. Apalah agaknya yang diangankan mama si Dani ni?

“Lia tanya, kenapa aunty tengok Lia?”

“Oh, itu. Saja, aunty memang suka tengok si manis aunty ni. Lawa orangnya.”

Zarina tergelak melihat wajah Dahlia merona merah. Betul-betul pemalu budak ni. Tak boleh nak puji lebih sikit.

“Aunty, jangan cakap macam tu. Malu Lia tau. Aunty pun cantik juga, anggun bergaya lagi.”

“Hmm, tu aunty dah lama tahu.”

Kata-kata Zarina itu mengundang tawa Dahlia. Seimbas terlintas kata-kata yang mirip seperti itu dari mulut Balqis.

“Hmm.. Lia.”

Dahlia berpaling. Tawa bahagianya beransur-ansur pergi. Wajah anggun itu ditatap sekilas.

“Lia dah fikir pasal wasiat tu?”

Dahlia diam. Rentak jantung mula sumbang. Soalan begini ingin dia elakkan buat waktu ini.

“Belum aunty.”

“Kenapa? Lia tak setuju kahwin dengan Dani? Tak nak jadi menantu aunty?”

Mata redup Zarina tepat menikam mata bundar Dahlia.

“Bukan macam tu aunty. Lia tak boleh nak fikir lagi. Assignment banyak sangat.”

Dahlia menggetap bibir. Alasan itu dikira logik pada akalnya. Namun jauh di sudut hati dia rasa bersalah. Pembohongan lidahnya yang tidak bertulang itu menambah markah dosanya. Maaf aunty, maaf ummi, Lia terpaksa.

Zarina tersenyum. Dia menerima alasan itu dengan lapang hati. Dahlia belum bersedia fikirnya. Dani juga memberontak. Biarlah, biarkan dulu dua jiwa yang sedang kacau itu. Jika terpaksa sangat, dia sendiri yang akan memainkan peranan.

1 Suara Merdu Anda:

aqilah said...

camne pun, akak prefer dani dgn dahlia.................. dlm diam, mungkin dahlia dah jatuh hati pd dani............tapi takkan lai nak luahkan?????? apapun, akak follow...................

Post a Comment