Melankolik Cinta Cassandra 10

“Aduh!” Jerit Cassandra.

“Maaf,” Hanafi segera memohon maaf kepada seorang gadis berbangsa Cina itu. Wajah gadis itu sudah kelat menahan geram atau sakit barangkali.

“Maaf cik. Saya tak sengaja,” ucap Hanafi lagi. Dia benar-benar menyesali dengan kejadian itu. Kerana hendak cepat sangat, dengan tidak sengaja dia telah melanggar seseorang. Barangkali rempuhannya tadi agak kuat sehingga membuat gadis itu menggosok-gosok perlahan lengan dan bahunya. Pasti sakit.

“Maafkan saya cik, saya betul-betul nak cepat tadi. Tak sengaja,” pohon Hanafi sekali lagi.

“Lain kali jalan gunakan mata ya encik?” Sindir Cassandra sedikit keras.

Hanafi terdiam. Kemudian dia mengangguk perlahan. Gadis Cina itu sangat fasih berbahasa Melayu. Ah, apa yang nak dihairankan? Rakyat Malaysia. Jika tidak tahu berbahasa Melayu, lebih baik jangan tinggal di Malaysia.

Hanafi melihat gadis itu berlalu dan duduk di meja bersama temannya. Seorang lelaki yang boleh tahan kacaknya. Lelaki itu hanya merenungnya dari jauh. Dia mengangguk tanda menyapa. Kemudian berlalu mencari meja kosong sementara menunggu makanan yang dipesan.

Hanafi hanya duduk diam dan membelek-belek telefon bimbitnya. Setiap gambar Soleha yang tersimpan di dalam telefonnya itu, ditatap penuh asyik. Rindu pula pada Soleha. Walaupun Soleha sentiasa ada di depan matanya, dia tetap merindui isterinya itu. Dia rindu belaian manja Soleha. Sudah lama dia tidak dibelai oleh isterinya itu. Jujurnya sebagai lelaki dia mahukan haknya. Baginya itu normal. Namun sebagai suami pula dia tidak sanggup. Tidak sanggup melihat penderitaan Soleha setiap kali isterinya itu menunaikan tanggungjawabnya. Hatinya pedih. Memang Soleha tidak penah menolak permintaannya namun dia bukanlah suami yang kejam. Tidak mungkin dia menyakiti Soleha demi kepentingan dan kepuasan dirinya sendiri. Dia tidak sekejam itu.

Hanafi tersentak bila bungkusan makan malamnya diletakkan di atas meja oleh seorang pelayan restoran. Tanpa berlengah dia menghulurkan sejumlah wang kepada seorang anak muda yang setia berdiri menunggunya.

“Terima kasih bang,” ucap pelayan itu sambil tersenyum.

“Sama-sama,” jawabnya sambil mengangguk.

Hanafi mencapai telefon bimbit dan kunci keretanya lalu menapak keluar. Tiba-tiba langkah kakinya terhenti serta-merta. Dia menepuk dahi. Macam mana pula boleh lupa nak ambil makanan tadi? Soalnya sendiri. Segera dia berpaling dan tanpa disangka sekali lagi dia telah melanggar batang tubuh seseorang.

“Aduuh!”

Membulat mata Hanafi melihat gadis yang sama telah menunduk sedikit sambil memegang hidung. Nampaknya dagu dia sudah bertembung dengan hidung gadis itu.

“Err… maafkan saya!” Ucap Hanafi serta-merta.

“Aduuh!! Encik ni kenapa? Asyik langgar orang saja dari tadi?” Marah Cassandra. Geramnya bukan sedikit. Sudahlah geram dengan Jimmy Yap, dilanggar pula oleh lelaki tinggi ini. Dua kali pula tu! Bertambah-tambahlah geram yang dia simpan dari tadi. Maka tanpa sedar dia telah memarahi Hanafi di hadapan orang ramai.

“Maafkan saya sekali lagi. Saya benar-benar tak sengaja,” kata Hanafi lembut dan teratur. Dia cuba bersabar dan menahan malu. Salahnya juga.

“Tak sengaja-tak sengaja! Tadi dah kena langgar, ni kena langgar lagi? Apa masalah encik sebenarnya? Butakah?” Bentak Cassandra sambil menjeling geram.

“Err… kenapa cik berdiri di belakang saya? Saya tak nampak, maaf,” Hanafi cuba bersabar dengan suara gadis itu yang meninggi dan membentak-bentak. Semakin ramai yang memandang mereka ketika ini.

Cassandra memicit-micit batang hidungnya yang tidak berapa tinggi itu. Rasa macam nak patah saja. Matanya mula berair menahan sakit. Terbantut terus niatnya hendak ke tandas. Sakit di hati lebih mengatasi segala-galanya.

“Maafkan saya sekali lagi. Saya betul-betul tak nampak,” ucap Hanafi lembut. Dia benar-benar kesal dengan kecuaiannya itu. Tak pasal-pasal gadis Cina itu menjadi mangsa.

“Ish, sudahlah! Buta!” Herdik Cassandra sambil berlalu. Geram sangat! Hidung sakit, hati sakit, malu pun dapat!

Sedikit panas hatinya diherdik di hadapan orang ramai. Hanafi menarik nafas dalam. Tidak mahu melayan perasaan geram yang telah dijentik iblis. Dia kena bersabar banyak-banyak. Sudah memang kesalahannya. Segera dia mengambil bungkusan makanan yang tertinggal di atas meja tadi bila menyedari masih banyak lagi mata yang memerhatinya. Tanpa berlengah dia mengangkat kaki keluar dari restoran itu.

Hanafi mendongak. Warna jingga sudah menyimbah dada langit yang berbalam-balam. Nampaknya waktu Maghrib sudah masuk dan dia pasti tidak akan sempat hendak sampai ke rumah. Terpaksalah dia mencari masjid yang berdekatan. Tidak elok melengah-lengahkan solat. Maafkan abang sayang, abang tak dapat nak berjemaah dengan sayang malam ni. Bisik hatinya.


***


Cassandra menelek hidungnya yang sakit di cermin. Nasib baik tidak bengkak atau patah. Kuat betul dia dilanggar oleh lelaki yang bertubuh sasa itu. Berair seketikalah mata dan hidungnya menahan perit. Nasib baik juga tidak berdarah atau lebam. Jika tidak pasti cacat seketika wajah mulusnya itu. Meskipun tidak nampak apa-apa kesan pada hidung comelnya itu, namun jika disentuh terasa sakit benar. Pasti bengkak di bahagian dalam. Semuanya gara-gara lelaki itu tadi. Mujur juga lelaki itu segera minta maaf. Jika tidak pasti angin dalam badannya bertukar menjadi ribut.

Cassandra termenung seketika. Siapakah gerangan lelaki Melayu itu? Segak dan tinggi lampai orangnya. Tubuh yang sasa boleh membuat mana-mana gadis pun tertarik. Sebenarnya dia tidak dapat melupakan wajah tenang dan tutur kata yang lembut dari lelaki itu. Meskipun dia sedikit membentak dan marah-marah, itu adalah untuk menutup malunya saja. Apa lagi hendak meminta maaf kepada lelaki itu.

Pertama kali dirempuh, bahunya cukup terasa sengal. Ketika itu dia baru sampai dan sedang mencari di mana duduknya Jimmy Yap. Sengaja dia memandu sendiri kerana tidak mahu Jimmy Yap menjemputnya. Apa yang dia suka adalah kerana dapat mengenakan Jimmy Yap malam ini. Dia tahu Jimmy Yap tidak suka makan di restoran Melayu. Tapi dia tetap mengenakan syarat itu sebagai tanda kesudian dia untuk keluar makan malam bersama lelaki itu. Tanpa disangka, Jimmy Yap bersetuju pula. Lalu tanpa memandang kiri dan kanan laju saja dia menuju ke arah Jimmy Yap setelah ternampak lelaki itu melambai ke arahnya. Tapi tak disangka pula kena rempuh dengan kuat. Sampai sengal bahu dibuatnya.

Kali kedua pula kerana kelalaiannya juga. Tapi sengaja dia meletakkan kesalahan itu kepada lelaki Melayu tadi. Kerana bertekak dan geram dengan Jimmy Yap, dia mengambil keputusan hendak ke tandas saja. Untuk melepaskan amarah yang terbuku di hati. Sama ada sudah suratan atau kebetulan, lelaki Melayu itu melanggarnya sekali lagi. Malunya tak usah diceritalah. Geramnya berganda-ganda. Lalu segala kemarahan yang terpendam dihamburkan kepada lelaki itu saja. Namun yang peliknya, lelaki itu kelihatan begitu tenang dan sabar. Suka benar dia melihat wajah bersih dan segar yang menghiasi wajah lelaki itu. Tampan. Siapa dia agaknya? Sudah berpunyakah? Di mana rumahnya? Siapa namanya?

Cassandra berjeda. Semuanya menjadi persoalan sejenak di mindanya. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Andainya bertemu lagi dengan lelaki itu pasti dia akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

Telefon bimbitnya menjerit kuat sehingga terangkat sedikit bahunya dek kerana terkejut. Nama pemanggil terpapar di skrin. Cassandra tersenyum ceria.

“Hello mummy!” Sapa Cassandra penuh ceria.

“Hello sayang. Lu apa khabar? Ada baikkah?” Soal Nyonya Mei Hua bertubi-tubi.

“Saya okey saja di sini. Mummy sihat?”

“Sihat. Tapi hati mummy sangat sakit tau.”

Terdiam sejenak Cassandra dibuatnya. Siapakah yang tega menyakiti hati ibunya itu? Ini mesti daddy punya angkara. Tak habis-habis!

“Sakit hati kenapa mummy? Siapa yang buat mummy kesayangan saya ni sakit hati? Tell me now.”

“Lu lah!”

Cassandra terpana. Dia? Mana mungkin! Seingat akalnya yang waras ini belum lagi dia menyakiti hati tua ibunya itu. Apakah yang telah dia lakukannya sehingga membuat ibunya sakit hati begitu?

“Saya? Apa yang saya sudah buat? Mummy, I’m really-really sorry if I’m hurting you. Mungkin saya tak sengaja.”

“Hmm….”

“Mummy, janganlah marah saya, janganlah merajuk. Saya betul-betul minta maaf ya. Now tell me what I’ve done?”

“Lu janji sama mummy mahu balik jumpa mummy every weekend? Sudah lupa? Mana janji-janji lu?”

Serta-merta Cassandra menepuk dahinya. Ingatkan apalah kesalahannya tadi. Betul-betul buat jantungnya berdegup pantas. Namun sekurang-kurangnya dia berasa lega ibunya hanya merajuk bukannya marah kepadanya.

“Mummy rindu ya?”

“Lu saja yang tak rindu sama mummy! Mummy rindu lu setengah mati taukah? Sayang, baliklah sini. Boleh kita berbual-bual.”

“Maaf mummy, minggu ni memang saya sibuk dengan pameran. Nanti bila dah selesai, saya pulang cari mummy ya. Promise!”

“Eh lu jangan nak promise-promise sama mummy lagi. Janji yang lama pun lu tak tunaikan, ini mahu bikin janji baru? Mummy tak percaya!”

“Ala mummy, please….”

“Lu ni kan, serupa bapak lu punya perangai. Asyik-asyik berjanji. Lu orang fikir mummy ni siapa? Tukang keluar sijil janjikah?”

Mendengarkan bebelan ibunya itu, meledak keluar tawa Cassandra yang ditahannya sejak tadi. Dalam rajuk sempat lagi ibunya berlawak jenaka.

“Eh, ketawa pula dia? Mummy cakap yang betul ni. Lu ingat mummy buat lawakkah?”

“Memang pun,” Cassandra menyambung tawanya yang masih bersisa. Benar-benar tidak dapat menahan gelihati. Setiap kali berbicara dengan Nyonya Mei Hua, Cassandra tidak boleh tidak, pasti akan tertawa riang.

“Sudahlah, lu ketawalah sampai pagi. Mummy nak merajuk ni, mahu letak telefon ni….”

Cassandra berusaha menahan dan mengusir tawanya pergi. Bimbang rajuk ibunya itu akan melarat-larat pula. Namun dia tidak dapat bertahan lama, lalu tawanya meletus lagi. Masakan tidak, merajuk dan mahu memutuskan talian pun sempat diberitahu oleh ibunya itu.

“Okeylah mummy, I’m so sorry. Mummy janganlah marah ya. Saya cakap betul ni. Bila dah free nanti saya akan pulang dan makan sama mummy okey?”

“Hmm… apa boleh buat, mummy bukan boleh paksa lu. Suka hatilah lu mahu bikin apa. Ingat ni, jangan lupa makan. Badan lu tu sudah tinggal tulang saja.”

“Yes mem!”

“Tau main-main saja dia! Sudahlah, mummy mahu tidur. Jaga diri lu baik-baik tau.”

“Okey mummy, thanks for calling. I love you and miss you so much!”

Sebaik panggilan diletakkan, Cassandra mengeluh perlahan. Ada sayu yang singgah di hati. Kasihan ibunya yang kesunyian. Dulu dialah yang menjadi penghibur. Akan ada saja gelak tawa dan usikan demi usikan yang membahagiakan. Namun sejak peristiwa pertengkaran hebat di antara dia ayahnya dulu, kemesraan dan kehangatan itu hilang sekelip mata.

Bukannya dia tidak rindu pada ibunya, malah kerinduan itu kadangkala mencengkam ke sanubari. Kerinduan itu seakan-akan menggamitnya pulang semula. Namun dia tidak boleh melakukannya. Dia mahu ayahnya tahu tanpa mewarisi empayar perniagaan itu dia juga boleh berjaya dengan cemerlang dan gah. Malah kemasyhuran yang ayahnya agung-agungkan itu dia telah perolehi dengan mudah. Dia berazam akan membina empayar seninya sendiri suatu masa nanti.

1 Suara Merdu Anda:

farah said...

mmg best la citer ni...unik..=)
smbung la lg Nozi... xsbr2 nk tau lg..hehe..

Post a Comment