Rajuk Sang Hati 36

Jam di tangan aku kerling, dah pukul enam setengah petang. Bermakna sudah dua jam aku termenung di sini, di taman permainan ini. Aku mendongak ke langit. Cuaca agak mendung. Malam ni mungkin hujan lebat. Suasana di padang permainan itu meriah dengan suara tawa dan jerit pekik kanak-kanak yang sedang bermain. Dengan angin yang kuat, menjadikan suasana petang ini sedikit nyaman. Aku mengikat rambut yang sudah mengerbang ditiup angin. Nafas ku hela panjang.

“Tapi atuk kenan betul dengan budak tu. Baik, pandai hormat orang tua, rajin tolong mak dia, berbudi bahasa budaknya. Rajin ke masjid pulak tu.”

Kata-kata arwah atuk sedikit masa dulu menerpa kembali. Aku tidak mengenali Hisyam secara peribadi, betulkah perwatakan lelaki itu seperti yang atuk ceritakan? Aku hanya mengenali dia sebagai sepupu Irfan dan lelaki yang diminati Azura. Azura! Ya Allah, macam mana kalau Azura tahu perkara ini? Aku akan dituduh perampas kekasih orang ke? Azura akan membenci aku ke? Tidak! Aku tak mahu itu yang berlaku. Bagaimana dengan Irfan?

“Dia sukakan kau!”

Kata-kata Hasnul Amin pula yang timbul. Kalau betul Irfan sukakan aku, dia pasti terluka bila mendapat tahu sepupunya sendiri telah melamar aku.

“Hmm, susahlah macam ni. Dia orang boleh bergaduh kerana Nissa tahu?”

Aku kecut perut. Bimbang dengan kemungkinan yang along cakapkan semalam. Harap-harap itu tak akan berlaku langsung.

“Hisham tu sukakan awak.”

Terlintas pula kata-kata Irfan dulu. Lelaki itu memang sudah tahu sepupunya sukakan aku, jadi tidak timbullah soal Irfan terluka atau bersedih kerana lamaran ini. Entah-entah lelaki itu langsung tak ada hati pada aku. Entah-entah Hasnul Amin tu saja nak buat cerita. Aku binggung. Aku tak tahu nak buat macam mana. Hatiku hanya ada Irfan. Tetapi ada dua lelaki yang sukakan aku, Hisyam dan Azrai. Kedua-duanya memiliki rupa yang tampan. Kedua-duanya terkenal dengan kehebatan masing-masing. Seorang handal berdebat, seorang lagi ketua pasukan bola sepak sekolah. Tapi aku tak boleh bagi apa yang mereka mahu. Aku tak boleh bagi hati aku.

“Assalamualaikum.”

Aku tersentak lalu menoleh. Mataku membulat. Dia? Macam mana dia ada dekat sini? Macam mana dia tahu aku di sini? Hisyam tersenyum. Aku pula yang terkedu. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di sebelahku. Aku berginjak sedikit.

“Maaf, kalau awak tak selesa.”

Memang aku tak selesa langsung! Semalam merisik aku, hari ini kami sudah berdua-duaan di bangku kayu taman permainan ini.

“Maafkan saya juga pasal semalam.”

Wajahnya ku pandang dengan rasa hairan.

“Seperti awak, saya juga terkejut. Malam tadi saya ada call awak, tapi abang awak yang angkat. Dia cakap awak dah tidur.”

“Kenapa awak cakap, awak pun terkejut?”

Dia tersenyum nipis.

“Malam tadi, ibu cakap dia pergi merisik awak untuk saya. Ibu cakap, abah saya dan arwah atuk awak dah berjanji untuk jodohkan kita.”

“Apa reaksi awak?”

“I’m speechless.”

“Oh..”

“Lepas tu saya terus call awak. Tapi awak dah tidur. Abang awak cakap, awak menangis teruk. Maafkan saya.”

“Bukan salah awak. Ini kerja orang tua kita.”

Dia tersenyum memandang tepat ke mataku. Aku gelisah.

“Ibu saya berkenankan awak.”

“Ha?”

Dia tergelak. Aduhai, romantisnya gelak dia. Lelaki itu memandang ku lagi. Kali ini agak lama. Membuat aku tidak senang duduk. Aku cuba untuk mengangkat punggung, tapi tak berdaya. Renungannya memaku aku di kerusi kayu itu.

“Awak… kenapa awak tengok saya macam tu?”

“Sebab awak cantik.”

Dia berwajah serius.

“Terus-terang saya cakap, saya sukakan awak.”

Mak! Dia dah buat pengakuan. Aku rasa sesak nafas.

“Saya pun dah cakap kat ibu, yang saya suka awak.”

Ha? Oh no..!

“Saya tahu, family saya tak patut buat macam ni kat awak kan? Saya dan awak, masing-masing nak exam kan? So, saya dah cakap supaya tangguhkan aja dulu. Tengok result macam mana, kita dapat pergi mana lepas tu, sambung belajar ke, kerja ke. Kita masing-masing terlalu muda untuk itu, betul tak?”

Aku senyum. Syukur, Hisyam masih boleh berfikir dengan waras lagi rupanya. Barulah aku boleh bernafas dengan lega.

“Tapi,”

“Tapi?”

“Tapi, ibu cakap nak tanda dulu, supaya awak tak dikebas orang.”

Ha? Aku rasa tak boleh nak bernafas semula. Kenapa macam ni? Hisyam memandangku serius.

“Saya tak setuju. Tapi bukan bermakna saya tak suka idea ibu tu, cuma saya rasa tak sesuai sekarang.”

“Saya pun tak setuju.”

Aku bersuara perlahan.

“Awak pun tak setuju kan, kalau macam tu..”

“Awak..”

“Apa kata, lepas exam baru..”

“Awak...”

“Kita set balik..”

“Awak!”

Hisyam terdiam. Berpaling merenungku.

“Kenapa? Awak tak setuju dengan idea saya tadi?”

“Ya! Bukan idea awak saja, tapi semuanya!”

“Semuanya? Maksud awak?”

“Ini. Situasi ini. Sekarang ini.”

“Saya tak faham.”

“Awak, saya tak boleh terima awak. Maaf.”

Hisyam terdiam lama. Maafkan aku Hisyam. Aku terpaksa menolak secara kasar begini. Sebab itulah aku. Aku tak boleh hipokrit.

“Boleh saya tahu kenapa?”

Aku hanya menggeleng perlahan. Perlukah kau tahu Hisyam, aku sukakan Irfan, sepupu kau.

“Awak ada orang lain?”

“Anggaplah begitu.”

Wajah Hisyam berubah kelat.

“Siapa?”

Aku tunduk.

“Qairunissa, siapa dia? Saya kenal ke?”

Aku geleng lagi. Aku tak boleh bagi tahu. Kau bukan saja kenal dia, malah rapat sangat dengan dia. Kau dan dia bersaudara. Aku terdengar keluhan panjang darinya.

“Tolonglah Hisyam. Saya rayu awak. Saya tak boleh teruskan semua ni. Saya harap awak faham.”

“Saya cuba untuk faham. Tapi orang tua kita macam mana?”

“Tolonglah batalkan. Ya? Please..”

Hisyam merenung tepat ke mataku. Segarit senyuman pun tiada di wajah itu. Di wajah itu cuma terpamer riak kecewa dan sedih.

“Saya sanggup tunggu, kalau awak tak bersedia Qairunissa.”

“Jangan! Jangan tunggu saya.”

“Kenapa?”

“Nissa juga harus berterus-terang. Jangan main-mainkan perasaan orang. Jangan bagi orang harapan palsu. Bahaya!”

Kata-kata dari along semalam menerpa semula.

“Kenapa Qairunissa? Kenapa saya tak boleh tunggu? The best man wins, right? Just give me a chance.”

“Hisyam, saya tak boleh bagi apa yang awak mahu. Maaf. Tolong lupakan saya.”

Cepat-cepat aku bangun. Berlari ke arah basikalku dan mengayuh laju menuju ke rumah.

Kerana Sebuah Janji 17

“Yo!”

“Apa yo yo? Tak reti-reti nak bagi salam?”

“Assalamualaikum encik Dani.”

“Hmmm.. walaikumsalam. Kau nak apa?”

“Hai, datang singgah pun tak boleh dah? Mentang-mentanglah dah ada bini.”

Dani berwajah selamba. Tidak mahu mengendahkan usikan Mursyid itu. Fail yang menimbun di hadapannya itu dibelek satu-persatu. Sekembalinya dari berbulan madu kerja yang tertangguh sudah sedia menunggu. Banyak sekali.

“Macam mana honeymoon? Best tak?”

“Ada ke tanya tak best? Nak tau best tak best, kahwinlah.”

“Ceh, berlagak! Kalau best kenapa balik cepat sangat?”

“Kau lupa ke? Dahlia mana ada cuti. Tu pun dia dah ponteng dua hari.”

“Oh yelah, bini kau tu tengah study, nasiblah kan, kahwin dengan student, tak bolehlah nak bagi full commitment.”

Muryid tergelak melihat Dani menjelingnya.

“Oit, cepat-cepat buat anak. Juta-juta beb kat situ.”

“Tahulah.. bising aja.”

“Beli apa untuk aku?”

“Tak malu! Pergi beli sendirilah.”

“Ala, takkan tak ada souvenir untuk aku?”

Dani tunduk membuka laci. Sebuah kotak kecil dilemparkan pada Mursyid. Mursyid tersenyum bila replika penyu kecil berwarna coklat kehitaman berada di tapak tangannya.

“Oh, tempat letak pen, cute! Siapa pilih ni? Kau ke Dahlia?”

“Dahlia.”

“Oh, kalau Dahlia aku nak letak atas meja akulah.”

“Woi!”

“La, apa pulak? First time Dahlia bagi ni, cute pulak tu, mestilah aku letak atas meja aku, boleh pandang-pandang.”

“Mursyid! Kau ni…”

“Ya, ya aku tahulah dia bini kau. Tu pun nak jealous.”

Dani telan air liur. Mursyid ni bukan boleh diharap. Dulu lelaki ini selalu bertandang ke rumahnya kerana ingin mengintai peluang, mengintai sang bunga yang sedang mekar di rumahnya itu. Malah, dulu sering saja lelaki ini melirik-lirik ke wajah manis Dahlia. Nasib baiklah isterinya itu tidak pernah melayan. Dani mengeluh.

“Hai, mengeluh lagi? Apa lagi yang tak kena bro?”

“Entah. Aku pun tak tahu.”

“Mesti ada something ni. Ceritalah kat aku. Mana tahu aku boleh tolong ke?”

“Berat juga aku rasa masalah ni.”

“Pasal apa? Company? Duit? Juliana? Dahlia?”

“Aku.”

“Ya, kau. Kenapa dengan kau?”

“Dahlia.”

“Okey Dahlia. Kau dan Dahlia kenapa? Bergaduh? Tak akan kot? Baru kahwin dah gaduh? Kata honeymoon okey. Cubalah kau bawa-bawa bersabar sikit Dani, Dahlia tu muda lagi, kau kenalah toleransi sikit. Nak marah dia aja tahunya. Kesian budak tu.”

“Dah? Dah habis membebel?”

Mursyid tersengih.

“Err… dah. Tak betul ya?”

“Lain kali dengar dulu mangkuk! Malaslah aku cerita macam ni.”

“Laa.. apa kes? Sentap?”

Dani menjeling Mursyid dengan perasaan geram bila sahabatnya itu gelak sakan. Sebatang pensil tepat mendarat di batang hidung Mursyid.

“Sakitlah woii!”

“Padan muka. Gelak lagi.”

“Kalau kena mata tadi?”

“Butalah. Jadi Kassim Selamat.”

Giliran Dani pula tergelak bila Mursyid mempamerkan muka bengang.

“Cilakak punya kawan!”

“Oit, mulut kau..”

“Ah, dah-dah cerita cepat kat aku apa masalah kau, aku banyak kerja lagi ni.”

“Oh ya? Kau ada kerja rupanya… eh, kau kerja apa ya?”

“Jangan perli aku boleh tak? Kau nak cerita problem kau ke tak nak ni? Kalau tak nak aku blah.”

“Okey okey, aku cerita.”

Dani menarik nafas dalam.

“Aku rasa aku suka dia.”

“Siapa?”

“Dahlia.”

“Ha, baguslah. Suka ke cinta?”

“Suka aja kot..”

“Sure?”

Dani diam. Pastikah dia perasaan yang hadir itu hanya suka? Kenapa ada denyut yang mengalir bila setiap kali dia teringat akan janjinya pada Dahlia?

“Ok tell me, apa yang kau rasa?”

“Dia, sentiasa ada dalam otak aku sekarang, sesaat pun tak boleh lupa. Senyum dia, gelak dia, malu dia dan mata dia, semuanya jelas.”

“Sah!”

“Apa yang sah?”

“Kau jatuh cinta pada dia.”

“Tak akanlah Syid? Aku rasa tak kot.. bukan, bukan cinta.”

“Habis kalau bukan cinta, apa?”

“Just rindu.”

“Just rindu? Kau tahu tak apa yang menyebabkan kau rindu?”

“Apa?”

“Sebab kau sayang dia. Tu sebab kau jadi rindu. Kau rasa macam kau nak berdua-duaan aja dengan dia, kan? Nak pulak hubungan korang dah halal. Dani, perasaan kasih kau pada dia sedang mekar bro, kau tengah angau tahu tak?”

“Pandailah kau.”

“Aku tanya kau, dulu mula-mula kau jatuh hati pada Juliana, kau rasa macam mana?”

Dani tersentak. Perasaan sama yang muncul di hatinya kini, pernah dialaminya dulu. Perasaan yang dia tidak boleh hindari. Sewaktu mula-mula dia mengenali Juliana.

“Err.. macam nilah.”

“Ha.. see? Cinta buat Dahlia sudah berputiklah bro.”

“Betul ke ni Syid?”

“Betullah. Untunglah kau, dia cantik. Dah jadi hak milik kekal pun. Buatlah apa pun, macam mana pun. Tak ada siapa nak marah dah.”

Dani tersenyum bangga. Benar seperti cakap-cakap orang, bercinta selepas kahwin itu lebih indah. Dia sendiri sedang mengalaminya. Mengimbas kembali detik malam pertamanya bersama Dahlia, pertama kali menyentuh isterinya itu, cukup mempersonakan. Cukup mengasyikkan. Semakin lebar Dani tersenyum.

“Orang kalau dah angau tu, macam nilah, tersenyum, tersengih sorang-sorang. Ni yang buat aku jealous ni.”

Mendengarkan ayat terakhir Mursyid itu mengundang tawa yang lebih besar dari Dani.

“Kahwinlah bro, dah cukup haul dah kau ni.”

“Ceh, berlagak!”

Dani tergelak besar.

“Dahlia tahu?”

Dani menggeleng.

“Bila nak bagitahu dia? Bagitahulah cepat. Seronok aku tengok korang bahagia.”

“Itulah masalah besarnya.”

“Itu? Laa.. bukan yang tadi ke masalah kau?”

“Itu pun ya jugak, tapi ini masalah utamanya.”

“Ha, apa dia?”

“Sebelum Dahlia setuju kahwin dengan aku, dia kenakan syarat.”

“Syarat?”

“Yup syarat. Syaratnya, aku tak boleh jatuh cinta pada dia.”

“Ha? Gila! Habis kau setujulah?”

Dani mengangguk.

“Kau lagi gila! Pergi setuju buat apa?”

“Habis, itu aja cara dia setuju kahwin dengan aku.”

“Ada cara lain lagi.”

“Itu saja yang dia minta, aku pun tak fikir panjang dah, terima segala syarat yang dia letak. Asalkan dia sudi kahwin dengan aku.”

“Dani.. Dani, aku tak tahu nak cakap apa dah. Tu sebablah kau tak boleh bagitahu dia, gitu?”

Dani mengangguk.

“Silap besarlah kau janji macam tu. Tak akanlah kau tak boleh fikir, kau akan tewas dengan Dahlia yang menawan tu?”

“Mursyid!”

“Apa, tak betul aku cakap? Bini punya lawa, sampai diri sendiri angau, tapi terpaksa pendam perasaan. Gila!”

“Aku tak angaulah!”

“Tak angau apa bendanya? Duduk serumah, tidur sebilik, sekatil, sebantal. Baru sekerat hari kat office dah tak keruan. Rindulah, sayanglah, terbayang-bayanglah. Bukan angau ke namanya tu?”

Dani hanya membatu diri mendengar kata-kata Mursyid itu. Dia tahu sahabatnya itu sedikit kecewa dengan keputusan melulu yang dibuatnya dulu. Dia juga berasa menyesal, akibatnya dia yang menanggung.

“Langgar aja janji tu, minta maaf kat dia. Kau cakap benda ni out of control.”

“Senang aja bagi kau bila bercakap ya? Dahlia akan benci aku kalau aku buat macam tu.”

“Habis tu kau nak pendamkanlah perasaan kau tu? Hanya kerana sebuah janji?”

“Nak buat macam mana, dah nasib.”

“Nasib konon, nasib yang kau create sendiri. Sekarang, kaulah tanggung.”

Dani mengeluh lagi. Benar kata Mursyid, dia akan tanggung beban perasaan ini sendiri. Bagai pungguk rindukan bulan, Dani rela menyintai Dahlia secara diam.

Kamal Oh Kamalia 2

Hari ini aku lepak di tangga Fakulti Perdagangan. Aku tahu Azlin akan lalu di situ. Hari-hari dia lalu situ. Sebab kelas accounting dia dekat dengan tangga. Kelas aku pula di tingkat atas. Walaupun kami sama fakulti, tapi kami ambil course lain-lain. Dia account, aku pula business study. Tak kisahlah fasal tu, yang penting hari-hari aku boleh tengok dia. Alahai, dah kes angau dah aku ni.

Aku bangun dan berdiri sambil bersandar pada pemegang tangga. Perhati satu-persatu teman-teman sekelas Azlin yang sudah mula keluar dan menuju ke destinasi masing-masing. Aku setia menanti. Manalah Azlin ni? Tak datang kelas ke dia? Tak sihat ke? Aku sedikit gusar. Hati aku ni mula risau. Tapi segala kerisauan aku itu terhapus bila aku ternampak kelibat Azlin bersaing dengan puan Hanisah. Aku lihat dia asyik sekali mendengar kata-kata pensyarah wanita itu sambil mengangguk kepala perlahan. Rajin Azlin ni. Selalu tak buang masa. Selalu jumpa pensyarah-pensyarah yang mengajarnya. Ada saja yang dia nak tanya pada mereka. Mesti boleh dapat dekan ni.

Bila puan Hanisah sudah beredar, aku pura-pura statikkan pandangan aku ke depan. Tengok dinding arah bertentangan tangga. Tiba-tiba jantung aku berdebar-debar. Aku dapat rasakan Azlin sedang menuju ke tangga. Kepala dan badan aku terus keras. Mata masih tak lekang tengok dinding. Cantik pulak kau ni dinding.

Bila aku dengar bunyi kasut dia keletung-keletang, aku pasti dia sedang turun tangga penuh hati-hati. Mesti pakai kasut yang bertumit tu. Seimbas saja dia sudah melintasi aku. Aku masih terkebil-kebil. Niat aku nak tegur dia, terus tak jadi bila tengok dia sudah agak menjauh. Tak akan nak kejar pula? Penyudahnya aku telan kesat air liur. Melepas lagi.


**********


Aku petik gitar. Lagu Korea, I Will Cry nyanyian Lee Sang Gon aku mainkan. Saja layan blues. Aku suka lagu ni. Mendayu-dayu. Mewakili hati aku ni yang sayu kerana masih tak berjaya pikat Azlin Nasihin. Susah betullah nak dekat dengan dia. Dari jauh aku berani, bila dekat aku panik. Haru betul. Aku tersentak bila dengar suara Iqbal terbahak-bahak.

“Kau apa kes? Macam orang gila!”

Sebenarnya aku tahu dia gelakkan aku sebab aku mainkan lagu slow motion macam tu.

“Eh, marah? Apa kes ni Mal? Jiwang karat betullah kau ni.”

Iqbal sambung gelak

“Mal, Mal. Kalau suka dia approachlah.”

“Aku tengah buatlah ni.”

“Hasilnya?”

Hasil apanya? Habuk pun tak ada. Ingat senang ke nak approach? Gigil satu badan aku ni.

“Nothing.”

“Nothing? That’s all?”

“Habis tu kau nak aku cakap apa? Dah memang tak ada hasil. Aku nak buat macam mana lagi.”

“Macam mana kau approach dia?”

“Err.. aku, aku tunggu dia hari-hari dekat tangga depan kelas dia tu. Hari-hari aku nak tegur tapi..”

“Tapi.. tak tegur kan?”

Aku jeling Iqbal. Aku senyum kelat. Iqbal geleng kepala perlahan.

“Bukan tak nak tegur Bal, aku..”

“Takut?”

“Cuba kau jangan potong cakap aku?”

“Okey-okey sorry. Sambung.”

“Bukannya aku tak nak tegur, cuma aku rasa macam seganlah. Aku ada modal air liur aja. Tak ada topik pun nak dijadikan modal.”

“Laa.. apa punya bingailah kau ni Mal. Belajar satu fakulti, dah tentulah subjek pun lebih kurangkan. Ha, buat-buatlah nak discuss pasal tu.”

“Iya ke? Macam tu ke?”

Iqbal tepuk dahi. Aku pulak yang pelik tengok dia.

“Habis tu macam mana lagi?”

“Tapi course aku dengan dia lain tau. Aku bisnes dia akaun.”

“Yelah, tak akanlah tak ada satu subjek pun sama?”

“Ada.”

“Apa dia?”

“Account, statistic, costing.”

“Ha, ada pun. Gunakanlah sebaik mungkin.”

“Tapi..”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Pelik betul aku dengan kau ni. Nak tunggu sampai bila? Sampai orang lain kebas?”

Aku terdiam. Orang lain kebas? Betul jugak ya. Tak boleh jadi ni.

“Kau rasa ada kemungkinan ke?”

“Mal, kalau budak cun macam Azlin tu tak ada peminat, tak logik tau tak? Entah-entah dah ada balak pun.”

“Kau janganlah Bal cakap macam tu, masin mulut kau karang.. melepaslah aku. Eh, kejap. Kau kata Azlin cun? Kau kenal dia ke?”

Pelik. Aku belum tunjukkan yang mana satu gadis pujaan aku. Tapi Iqbal dah tahu? Iqbal gelak buat-buat. Tangannya rampas gitar aku.

“Budak lawa, mestilah famouskan?”

“Kau biar betul Bal?”

“Tu sebab aku cakap cepat bertindak. Kena kebas nanti kau jugak yang melopong.”

Aku telan air liur.

Rajuk Sang Hati 35

“Nissa, dah habis basuh pinggan?”

Along menghampiriku.

“Sikit lagi. Kenapa Long?”

“Mak panggil ke depan kejap.”

“Kejap lagi orang ke sana.”

Along diam. Bersandar di dinding tepi sinki sambil memerhati aku membasuh pinggan.

“Kenapa along tengok orang macam tu?”

Along senyum.

“Along tak sangka adik manja along ni dah besar. Dah jadi anak dara. Dah pandai buat kerja rumah. Patutlah ada yang berkenan.”

Eh? Tak pernah-pernah along cakap macam ni? Ada apa-apa ke ni? Aku memandang along pelik. Along pula seperti faham saja dengan pandanganku yang pelik itu, dia tersengih.

“Jomlah ke depan.”

Aku mengekori along ke ruang tamu sambil mengelap tanganku yang basah ke punggung. Ayah dan mak santai menonton tv. Along bagi isyarat supaya Haikal masuk ke biliknya. Sekali lagi aku pelik. Apa hal ni? Aku ada buat salah ke? Mak dengan ayah nak marah aku ke ni? Tapi selalunya kalau mak nak marah bukan kira depan siapa pun. Aku melabuhkan punggung.

“Ha, dah habis kemas dapur?”

“Dah. Kenapa mak?”

“Ni, ada hal sikit kami nak cakap.”

“Hal? Hal apa?”

Aku berdebar-debar. Macam besar benar kesalahan aku kali ni? Mak tengok ayah. Ayah merenungku lembut sambil tersenyum. Sekali lagi aku pelik. Aku menoleh ke arah along. Mengangkat kening sebagai isyarat bertanya pada dia. Along hanya menjungkit bahu.

“Tadi, ada orang datang bertanyakan kamu.”

Mataku membulat merenung mak.

“Siapa mak?”

“Bang, awaklah yang cakap.”

Aku tengok ayah pula.

“Nissa, sebelum arwah atuk kamu pergi, rupanya dia dah buat perjanjian dengan si Ali polis, untuk satukan kamu dengan anak dia.”

Ali polis? Macam pernah dengarlah nama tu.Ya Allah! Aku rasa nak pitam. Tiba-tiba rasa macam tak boleh bernafas. Aku tengok along. Along bangun, kemudian duduk di sebelahku. Merangkul bahuku erat. Sebak mula bertandang.

“Pagi tadi, si Ali suami isteri datang merisik kamu, Nissa.”

Mak menyambung pula. Merisik?

“Kamu tak nak tanya ke siapa yang dah berkenankan kamu tu?”

Aku diam. Tak mampu untuk bersuara. Segala sendiku lemah. Aku hanya rasa nak menangis. Along menggosok lembut bahuku.

“Si Ali tu kata, anak dia kenal kamu. Kamu pun kenal dia.”

Ha? Siapa?

“Mak suruh belajar, kamu bercinta. Ha, kan orang dah bertanya. Kamu tu, masak tak tahu, buat kerja rumah tak pandai, belajar tak habis lagi, dah sibuk nak berlaki.”

Mak mula membebel. Tanpa sedar airmata aku menitis. Kejamnya tuduhan mak. Orang bukan macam tulah mak. Orang tak bercinta dengan sesiapa pun. Tak ada siapa pun mak! Hatiku merintih hiba.

“Sekarang macam mana Nissa? Ayah tak bagi keputusan lagi ni. Sebab ayah kata nak tanya kamu dulu. Lagipun ini perjanjian arwah atuk kamu dengan mereka.”

Kenapa atuk buat aku macam ni?

“Sebelum tu atuk nak tanya, cucu atuk ni dah ada yang punya?”

Tiba-tiba terlintas soalan atuk sedikit masa dulu.

“Bukan apa, atuk berkenan sangat dengan anak kawan atuk tu. Anak bongsu si Ali.”

Nafasku turun naik. Aku tak pasti samada aku geram atau terlalu sedih. Siapa? Siapa anak bongsu si Ali polis tu?

“Nissa, dahlah tu. Janganlah sampai nangis.”

Along bersuara lembut. Aku pandang ayah, kemudian pandang mak.

“Mak, orang mana ada bercinta kat sekolah. Tak ada sesiapa pun nak kat anak mak ni.”

“Habis tu, ayahnya kata kamu berdua saling mengenali.”

“Kenal-kenal macam tu ajalah mak. Budak tu sekolah lain.”

Along menyampuk. Sekolah lain? Budak tu pun sekolah lagi? Aku tengok along. Bagai mengerti renungan aku itu, along melemparkan sekuntum senyuman.

“Along kenal? Siapa? Siapa along?”

“Hisham.”

Mulutku ternganga. Hisham?



******


Pintu bilikku diketuk. Aku tak peduli pun, sibuk melayan rasa sedihku ini. Aku peluk Angelina Jolie. Bulu di bahagian muka Angelina Jolie basah dek airmataku. Sekali lagi pintu kamarku diketuk.

“Nissa, along ni.”

Aku bangun dengan malas. Perlahan pintu ku kuak. Along tersengih.

“Alahai, monyok aja ni kenapa?”

“Kenapa, along tanya?”

Aku melangkah semula ke katil. Menghempaskan diri sambil meniarap memeluk Angelina Jolie. Along melabuhkan punggung dan bersandar di kepala katil.

“Dahlah tu jangan fikirkan sangat. Lebih baik concentrate pada study. SPM kan dah dekat.”

“Macam mana nak study, kalau ada masalah besar macam ni?”

“Anggap aja tak serius.”

“Tak serius along kata? Ni pasal masa depan orang tau. Along, orang tak nak kahwin awal. Orang muda lagi. Tolonglah along.”

“Dah, along dah tolong. Along dah cakap kat mak dah tadi. Mak ikut aja. Tapi ayah kata itu wasiat atuk.”

“Wasiat ke tu?”

“Entah, yalah kot. Dah buat perjanjian sebelum mati, mestilah kira wasiat. Ayah kata wasiat jangan buat main-main.”

“Alongg..”

Aku menangis semula.

“Dahlah tu, asyik menangis aja nanti, jadi Kassim Selamat baru tahu.”

Aku kesat air mata.

“Tengok tu Angelina Jolie pun dah basah kena airmata dia. Bak sini.”

Along tarik Angelina Jolie dari pelukanku. Jemarinya mengesat bulu-bulu gebu Angelina Jolie yang dah basah.

“Kenapa dengan budak tu ha along? Dah gatal sangat ke nak kahwin awal-awal? Kerja pun belum, sekolah pun tak lepas lagi, ada hati nak orang jadi bini dia.”

“Apa kata esok Nissa pergi jumpa Hisham, minta penjelasan dia.”

“Untuk apa?”

“Berbincanglah. Tangguhkan dulu ke, kan sama-sama nak exam. Nissa nak SPM, dia nak STPM.”

“Along tak tahu, kenapa orang sedih sangat.”

“Ha, kenapa?”

“Sebab.. Hisham tu sepupu…. Irfan.”

“Irfan? Siapa Irfan?”

Aku diam. Ya, siapa Irfan? Bukannya along kenal pun. Dan Irfan juga bukanlah siapa-siapa padaku. Aku sekadar meminatinya tidak lebih dari itu.

“Tak ada siapalah along.”

“Wait a minute, Irfan tu budak yang Nissa admire tu ya?”

Aku mengangguk perlahan.

“My God.”

“So, sekarang along tahu kenapakan? Macam mana ni along? Nissa tak nak kahwin dengan Hisham.”

“Hmm, susahlah macam ni. Dia orang boleh bergaduh kerana Nissa tahu?”

“Tak akan sampai macam tu kot?”

Along tergelak.

“Nissa, Nissa. Orang lelaki ni, sanggup bergaduh bertumbuk kerana seorang perempuan tau. Masing-masing nak tunjuk jaguh. Masing-masing nak memiliki.”

“Teruknya.”

Along tergelak lagi.

“Dah, pergi tidur. Esok pergi jumpa Hisham, minta penjelasan dia dan Nissa juga harus berterus-terang. Jangan main-mainkan perasaan orang. Jangan bagi orang harapan palsu. Bahaya!”

Along melangkah keluar dan aku hanya memandang kosong.

Kerana Sebuah Janji 16

Hari ini Dani membawa Dahlia ke Teluk Dalam Beach di Pulau Perhentian Besar. Setelah seminggu perkahwinan berlangsung dan menghabis masa menziarahi sanak- saudara, kini saat mereka berdua menghabiskan masa bersama tanpa gangguan. Tanpa kuliah dan urusan pejabat. Dia akan cuba mengenali siapa Dahlia, dia akan cuba memberi senyuman kebahagiaan di wajah manis itu. Spa menjadi pilihan utamanya. Ingin memberi pengalaman baru buat Dahlia.

“Okey Lia lepak sini ya. Take your time.”

“Abang nak pergi mana?”

“Abang nak pergi main snooker kejaplah, sementara tunggu Lia.”

“Apa kata kita ambil pakej couple ni nak? Boleh sama-sama massage?”

Dani membelek risalah yang dihulurkan Dahlia. Satu-persatu pakej yang ditawarkan amat menarik. Dia tersenyum menanggapi wajah isteri yang merenungnya dengan penuh mengharap.

“Lia lupa ke? Tukang urut tu perempuan tau. Lia sanggup ke?”

Dahlia berpaling merenung juruterapi yang tersenyum manis.Senyuman gadis itu dia balas dengan sedikit ralat. Entah kenapa dia tidak rela suaminya disentuh oleh gadis
manis itu.

“Err… Lia tak perasan.”

“Kalau Lia bagi, abang okey aja.”

Dani tersengih mengusik.

“Err… tak payahlah, haram. Abang pergilah main snooker, nanti dah habis Lia mesej abang ya.”

Dani tergelak melihat wajah isteri yang sudah merah padam. Menggelabah semacam saja.

“Okey, lepas ni abang bawa Lia pergi souvenir shop, lepas tu kita pergi makan, okey
sayang?”

“Erk.. abaang..”

“Ooopps.. !”

Dahlia hanya menggeleng perlahan. Keluhan kecil terhambur keluar. Sudah dua kali Dani terlajak kata. Sedikit sebanyak membuat hatinya sendiri resah.



**********


Perlahan Dahlia mengunyah bila mata Dani merenungnya lembut. Hati tertanya-tanya kenapa sekelip mata Dani berubah? Begitu lembut melayaninya malah setiap bicara yang terluah dari bibir suaminya itu manis dan romantis. Tolong Dani, jangan buat dia tidak keruan begini. Dia tidak mahu berkongsi hati dengan Juliana. Dia sudah cukup bersalah merampas cinta hati Juliana ini. Ingin sekali dia bertanya tentang gadis itu pada Dani namun bimbang dituduh cemburu, sedangkan dia disatukan tanpa rasa kasih atau sayang antara mereka berdua.

“Kenapa abang tengok Lia macam tu?”

“Kenapa? Tak boleh?”

“Bukan, cuma..”

“Cuma apa?”

“Lia kekoklah. Tak selesa.”

“Ok sorry. Abang nak tengok Lia puas-puas.”

“Ish, macamlah tak pernah tengok sebelum ni.”

“Memanglah pernah, tapi tak dapat nak tengok secara tepat dan dekat macam ni.”

Dahlia tersenyum manis.

“Ada-ada aja abang ni tau.”

Wajah Dahlia yang merona merah itu membuat Dani tergelak.

“Lia tahu tak, Lia ni cantik?”

“Biasa aja.”

“Mata Lia cantik. Senyuman Lia manis, ada lesung pipit lagi, abang suka.”

Saat ini Dahlia sudah merasakan jantungnya dipalu hebat. Getaran di jiwa mula menular dalam dirinya. Isteri mana yang tidak berbunga-bunga hatinya jika dipuji oleh sang suami? Isteri mana yang tidak bergetar nalurinya bila direnung dan dihadiahkan senyuman madu begitu? Dia tahu Dani cuba memikatnya. Dia dapat merasakan Dani mula lupa pada janjinya.

“Abang jangan lupa janji abang.”

“Abang tak lupa.”

“Habis tu janganlah merepek macam ni, Lia risaulah.”

“Apa yang Lia risaukan? Abang nak puji isteri sendiri pun salah ke?”

Dahlia tunduk. Tidak tahu hendak berkata apa. Mulut seakan terkuci rapat dengan soalan semudah itu. Bukan salah untuk memuji, tapi dia bimbang jika pujian itu bisa mencairkan hatinya. Dia bimbang jika pujian itu bisa mengoyak kesetiaan Dani kepada Juliana. Dia cukup rasa bersalah.

Dani pula hanya mampu mengeluh perlahan. Memang dia tidak pernah lupa pada janjinya. Kerana janjinya itulah, dia tersepit kini. Kadang-kadang menyesal pula dia rasakan kerana terus saja berjanji tanpa berfkir panjang. Bahananya, dia yang rasakan sekarang. Dia sendiri tidak pasti sejak bila. Apa yang dia tahu, dia mula menyayangi Dahlia dan tidak mahu melepaskannya lagi. Malah dia bersyukur dengan pernikahan ini dan dia tidak pernah menyesal.

“Lia dah kenyang, jom balik bilik.”

“Ehem, kenapa ya kita nak balik bilik?”

“Nak restlah. Dah penat seharian keluar ni.”

“Ya ke ni? Ke nak abang sambung massage kat dalam jakuzi pulak?”

“Abaang..”

“Atau atas katil?”

“Abaaang…!”

“Jomlah, abang pun tak sabar juga ni, apa kata Lia pulak yang massage abang nak?”

“Hiiii… abang nii..”

“Jomlah!”

“Tak jadilah, Lia nak ambil angin dulu kat sini.”

“Pulak!”

Dani tergelak besar bila usikannya itu mempamerkan rona merah di wajah isterinya malah Dahlia kelihatan sedikit menggelabah. Isterinya ini sangat pemalu. sifat malu yang sangat tebal. Dani menguntum senyum. Satu-persatu tingkah Dahlia dihadamnya. Dan setiap satu tingkahnya itu menambat kalbunya. Jemari runcing Dahlia yang sedang bermain-main di kaki gelas itu direnung penuh asyik. Semakin direnung semakin geram rasanya. Jiwanya dikacau berahi. Perlahan jemari isterinya itu diraih lembut.

“Jom!”

Kamal Oh Kamalia 1

Aku suka dia. Semuanya tentang dia. Mata dia, senyuman dia, ketawa dia ah, semuanyalah! Semuanya indah di mata aku. Aku tak tahu apa yang aku rasa sekarang. Aku rasa macam aku dah jatuh cinta pada dia. Sebab jantung aku ni berdegup lain macam bila setiap kali ternampak dia. Tiap-tiap malam aku merindu dia. Malah hampir setiap hari. Bagi aku kalau dapat tengok dia dari jauh pun jadilah, janji aku dapat lepaskan rindu aku ini pada dia. Sungguh, saat ini aku sedang merindui dia. Merindui Azlin Nasihin.

“Tak habis-habis lagi termenung? Sudah-sudahlah, pergi solat. Isya’ dah masuk ni.”

Suara Iqbal buat aku tersentak. Main terjah saja masuk bilik aku. Tak ada privacy langsung!

“Kau ni Bal, kalau masuk bilik aku boleh tak ketuk pintu dulu? Kalau aku tengah bolen tadi macam mana?”

Iqbal tergelak besar. Eh, suka pulak dia. Teringin sangat ke nak tengok aku telanjang bulat?

“Dah tu tak reti-reti nak kunci pintu? Naik roboh pintu ni aku ketuk, kau boleh pulak layan sengih.”

“Eh, kau ketuk ya? Sorry aku tak dengar.”

“Mana nak dengar, berangan. Siapa yang kau angankan?”

“Adalah.”

Aku koyak sengih. Berlegar-legar wajah manis Azlin depan mata aku.

“Tengok tu. Sampai terbuntang biji mata. Mesti fikir 18sx ni kan?”

“Oit! Kau ingat aku ni apa? Otak aku ni bersih dari anasir-anasir jahat tulah.”

Iqbal mencebik. Tak percayalah tu. Lantak kaulah.

“Siapa nama dia?”

“Azlin Nasihin binti Abdul Rahman.”

Iqbal gelak lagi. Alamak, terkantoi. Ini mesti gara-gara rindukan Azlin sampai lancar saja mulut aku sebut nama dia, siap binti pulak tu. Aku baling bantal pada Iqbal. Tepat kena pada muka dia. Padan muka!

“Mal, sejak bila kau suka dia?”

“Entah, tak sure.”

“Eleh, nak secret-secret lagi. Dah kantoi tu buat cara kantoi.”

“Dahlah kau jangan nak sibuk. Ni, apa hal terjah bilik aku ni?”

“Haah ya, aku lupa. Apa benda entah aku nak ambil tadi.”

Iqbal tersengih lagi. Murah sengihan betul mamat ni.

“Dah, jangan nak auta, blah!”

Iqbal sengih lagi. Kali ini tangan dia pula naik atas kepala. Menggaru-garu macam orang banyak kutu.

“Kau jangan nak sebarkan kutu kau kat sini, blah cepat!”

“Aku mana ada kutulah, badigol!”

Aku sepak punggung Iqbal. Tertonggeng dia jatuh dari katil aku. Kali ni aku pulak yang gelak besar.

“Mangkuk tingkat betullah kau ni!”

“Dah blah!”

“Yelah, yelah. Kau tu cukup-cukuplah berangankan anak dara orang. Macam apa punya perangai.”

“Ha yelah, yang kau tu berangan si Dina tu tak apa pulak?”

“Eh, tak apa. Dia dah rasmi jadi awek aku. Kau tu macam pungguk rindukan bulan.”

Aku terdiam. Mata menyoroti tajam langkah Iqbal keluar dari kamar aku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Betul kata Iqbal. Aku bagai pungguk rindukan bulan.


***********


Aku ketuk-ketuk meja dengan pen parker sambil pejam mata rapat. Lagu-lagu yang aku download pada komputer riba terpasang perlahan. Seenak halwa telinga saja alunannya. Assignment yang puan Faridah bagi kelmarin masih berbaki separuh. Tiba-tiba telefon bimbit aku bergegar. Muncul perkataan ‘sayang mak’ di skrin. Aku tersenyum lebar.

“Assalamualikum mak.”

“Walaikumsalam Mal. Buat apa tu? Dah makan?”

“Dah mak. Mal beli nasi goreng aja tadi.”

“Sedap ke?”

“Tak.”

“Ala, kesiannya. Itulah mak suruh belajar masak tak nak. Kan dah susah.”

“Mak ni, masak-masak tu bukan kerja orang lelakilah mak. Malaslah Mal.”

“Eh, siapa kata bukan kerja orang lelaki? Tu yang berlambak chef lelaki tu apa?”

“Yelah, dah itu kerja dia orang. Mal confirm, bila balik rumah mesti dia orang suruh wife dia orang masakkan punya.”

“Pandailah kamu ya.”

Aku sengih lebar.

“Mak sihat tak ni?”

“Hmm… baru nak tanya khabar mak? Mak sihat.”

“Janganlah marah mak.”

Aku sengih lagi.

“Mal, mak ada hal ni nak cakap dengan kamu.”

“Apa dia mak?”

“Sepupu abah kamu yang duduk di Singapura tu nak datang rumah kita hujung minggu ni.”

“Sepupu abah? Err, pak andak Karim ke mak?”

“Yelah, siapa lagi? Pak andak Karimlah. Kamu balik tak hujung minggu ni? Boleh jumpa dia orang.”

“Tengoklah mak. Mal tak janji. Assignment Mal banyak ni. Kalau balik takut tak sempat nak submitlah nanti. Mal tak janji ya mak? Mak jangan tunggu pulak.”

“Yelah mak faham. Apa-apa hal nanti kamu telefon mak ya? Jadi ke tak jadi ke call mak balik tahu?”

“Ya mak, Mal call mak nanti.”

“Kalau macam tu tak apalah. mak letak dulu. Malas nak kacau kamu.”

“Mak dah kacau dah pun.”

Aku koyak sengih lagi.

“Eh, budak ni. Ha, ni lagu satu mak nak pesan. Jangan..”

“Ya, ya. Mal tahu jangan tinggalkan solat.”

Aku tergelak. Dah biasa sangat dengan pesanan mak tu. Setiap kali telefon itulah pesanannya. Bukan aku nak salahkan mak pulak. Dah memang tanggungjawab dia nasihatkan aku. Cuma aku ni saja yang buat endah tak endah. Segala nasihat mak macam air yang dicurahkan ke daun keladi.

“Jangan tahu aja, mesti buat.”

“InsyaAllah mak.”

“Dahlah tu, assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Rajuk Sang Hati 34

“Korang pergi mana tadi?”

Azrai duduk di sebelah kananku sambil meletakkan nasi lemak kesukaannya. Hasnul Amin pula mengambil tempat di sebelah kiriku. Kini aku diapit oleh kedua-dua jejaka yang tak kurang tampan dan mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Nayalah aku…

“Adalah, kau nak tahu buat apa?”

Azura menjeling Azrai sambil memicit limau ke dalam mi gorengnya. Aku mencari Maisarah, masih beratur nampaknya.

“Ala, tanya pun tak boleh ke? Yang kau nak hangin ni kenapa?”

“Datang bulan kot.”

Kata-kata Hasnul Amin itu membuat aku tersedak air milo. Nasib tak tersembur ke muka Azura. Darahku berderau bila terasa tangan Hasnul Amin menggosok belakang tubuhku. Aku perasan Azura dan Azrai melihat aksi terlebih mesra Hasnul Amin itu.

“Kau ni Nissa, cuba minum elok-elok.”

Aku kehilangan kata-kata bersama tekakku yang perit. Hasnul Amin masih menggosok-gosok belakangku. Aku mula tak sedap hati, buatnya peminat setia dia nampak, habislah aku!

“Err.. tak apalah Hasnul, aku okey, aku okey.”

Aku menepis tangannya. Lelaki itu merenung tepat ke mataku.

“Betul ni?”

Aku mengangguk dan terus tunduk menguis-nguis bihun supku. Tak berani aku nak bertentang mata dengan Azura. Pasti sejuta soalan yang bersarang di kepalanya saat ini. Berpaling merenung Azrai juga aku tak sanggup. Seketika kami semua senyap. Entah kenapa aku rasa berdebar-debar. Pelik! Aku takut apa? Bukan, bukan takut tapi perasaan yang aneh tiba-tiba muncul di hati.

“Ha, kenapa macam malaikat lalu ni?”

Maisarah melabuhkan punggung di sebelah Azura. Nasi gorengnya menusuk ke hidung. Azrai berdehem, Azura buat-buat minum. Aku dan Hasnul Amin meneruskan acara makan.

“Hoi! Korang pekak ke apa? Aku tanya ni, korang buat dek aja ya?”

“Kau tak nampak ke kita orang tengah makan ni?”

Hasnul Amin mengangkat muka. Azura memandang tepat ke arahku. Aku renung Maisarah.

“Bukan soalan kau aja yang tak dijawab, soalan aku tadi pun tak dijawab juga.”

“Kau tanya apa?”

“Aku tanya korang pergi mana pagi tadi? Sampai ponteng kelas?”

Maisarah merenung aku dan Azura. Aku hanya tersenyum nipis. Azura menjeling Azrai.

“Sibuk aja nak tahu. Hal orang perempuanlah!”

“Yalah, hal apa?”

“Kan aku dah cakap dia datang bulan.”

Aku tergelak. Hasnul Amin ni macam tahu-tahu saja. Betul pulak tu. Azura mencerlung. Wajah manisnya sudah merah menahan malu. Atau marah?

“Apa tengok-tengok, tak betul ke?”

“Tak!”

Laju Azura berbohong.

“Kalau tak, kenapa ponteng kelas?”

“Saja.”

“Mana boleh saja. Perkataan saja tu hanya Qai aja yang boleh guna.”

Giliran aku pula mencerlung ke arah Azrai.

“Oii, kau nak rasa penampar aku ke?”

“Sanggup ke kau nak tampar aku?”

“Sanggup! Kau ingat aku tak berani ke?”

“Yalah, kalau dengan aku kau memang sanggup aja, dengan orang lain?”

“Apa maksud kau dengan orang lain?”

Nampaknya topik asal sudah berubah, nada suara Azrai juga sudah berubah. Macam ada sedikit rajuk. Atau cemburu?

“Faham-faham sendirilah!”

“Aku tak faham.”

“Err.. Qai, Azrai dahlah. Tak baik gaduh depan rezeki.”

Maisarah cuba mengawal situasi yang tiba-tiba saja berubah. Azura merenung aku, Azrai dan Hasnul Amin silih berganti. Aku dapat menebak apa yang bersarang di fikiran Azura. Hasnul Amin hanya tenang menghabiskan makanannya.

“Dia yang mulakan Mai.”

“Kaulah penyebabnya.”

“Aku?”

Azrai tersenyum sinis.

“Apa aku buat? Ha? Aku buat apa kat kau?”

Tiba-tiba Azrai bangun dan meninggalkan kami semua begitu saja.

“Oi, Azrai!”

“Biarkan dia.”

Hasnul Amin bersuara tenang.

“Dia tu kenapa sebenarnya?”

“Mungkin dia dah bengang dengan Zura, lepas tu kau pulak simbah minyak, maraklah mamat tu.”

“Aku juga ke yang salah? Kau jangan asyik nak menangkan dia Mai.”

“Aku tak menangkan sesiapa. Korang berdua kawan aku. Tapi Qai, cuba kau ni berlembut sikit dengan Azrai tu. Dia kan syok kat kau.”

“Aku tak syok kat dia!”

“Itu aku tahulah, dari dulu lagi kau cakap macam tu. Tapi cuba kau letak diri kau di tempat dia, kau fahamkan maksud aku?”

Aku diam. Azura dan Hasnul Amin juga diam. Aku tak tahu apa yang mereka berdua fikirkan sekarang.

“Tak apalah, aku nak cari Azrai. Ada sesiapa nak ikut aku?”

Kami bertiga masih mematung.

“Kalau gitu, aku blah dulu.”

Aku menghela nafas panjang. Berpaling merenung Hasnul Amin yang kelihatan begitu tenang.

“Sebab korang berdua kan?”

Tiba-tiba Azura bersuara sambil merenung kami berdua silih berganti.

“Ha?”

“Azrai jadi macam tu sebab korang berdua kan?”

“Zura, kan dia dah memang hangin dengan kau, kan?”

“Mungkin ya, tapi aku cuma pencetus aja, tapi sebab utama adalah korang berdua.”

“Meaning?”

“He got jealous. Crazy jealous.”

Aku tak mampu menahan ketawa. Tapi hanya aku seorang saja yang beraksi begitu. Azura berwajah serius, Hasnul Amin berwajah tenang. Aku? Terkebil-kebil sambil otak aku ligat berfikir. Betul ke?

“Kau jangan merepek boleh tak Zura? Tak lawak langsung!”

“Kau tengok aku tengah buat lawak ke?”

Aku diam. Mata kami bertentangan.

“Okey, okey, cuba kasi clear sikit, aku dah blur ni.”

“Qai, Azrai jealous kat kau dan Hasnul!”

“What?”

“Kau ni, aksi mesra alam yang Hasnul buat tadilah puncanya, ada faham?”

Aku terkedu. Berpaling melihat Hasnul Amin. Lelaki itu tenang merenung pinggannya yang sudah kosong. Jemarinya bermain dengan lelehan ais yang muncul di gelasnya.

“Betul tak Hasnul?”

Hasnul Amin diam. Tidak menjawab apatah lagi hendak memandang Azura. Aku juga menanti jawapan yang bakal muncul dari bibir nipis milik lelaki yang persis seperti orang Korea ini.

“Betul.”

Hanya sepatah saja yang keluar dari ulas bibirnya setelah agak lama berdiam diri.

“Ha, kan aku dah cakap. Dan apa yang terdetik di hati aku ni sememangnya tak salah, kan Hasnul?”

Hasnul Amin mengangkat muka. Bertentang mata dengan Azura. Azura tersenyum penuh makna. Aku semakin tak faham, semakin bingung. Apa yang mereka cuba nak sampaikan ni?

“Aku rasa, kau tahu apa yang aku fikirkan. Am I right?”

“Sejak bila kau tahu?”

Azura tergelak.

“Jadi betullah?”

Hasnul Amin mengalih pandangannya semula. Jemarinya menyambung tugas, bermain lelehan ais di gelas. Aku setia jadi penonton. Cuba menafsir, bahasa-bahasa tersirat mereka berdua. Kenapalah otak aku ni lembab sangat?

“Betulkan?”

“Sejak bila kau tahu?”

Soalan itu sekali lagi terpacul keluar dari bibir lelaki ini. Wajahnya masih sama, tenang.

“Dari hari pertama kau ke sini. Sehinggalah tadi.”

“Kau perhatikan aku?”

“Kadang-kadang aksi yang terlebih boleh mengundang perhatian, bukan?”

“Siapa lagi tahu?”

“Entah! Yang aku tahu, aku tak salah menafsir.”

“Chup, chup. Korang cakap apa ni?”

Azura dan Hasnul Amin saling merenung. Berkomunikasi melalui mata. Aku jadi semakin bingung. Aku tersentak bila loceng berbunyi kuat. Waktu rehat dah habis. Hasnul Amin mengangkat punggung. Dia pergi begitu saja. Aku merenung Azura. Gadis itu tersenyum manis.

“Beruntung jadi kau ya Qai?”

“Ha?”

“Dua cinta, satu hati.”

“Ha? Apa tu?”

“Kerana cinta, sahabat boleh jadi musuh. Tapi aku harap itu tak berlakulah.”

Aku garu kepala. Azura meraih tangan aku. Kami bergandingan berlalu meninggalkan kantin.

“Qairunissa bt Mohd Khalid. Gadis cantik dan nakal. Menjadi idaman dan rebutan pelajar lelaki. Tapi sayang, hatinya keras macam batu.”

“Oit, dah lebih ni!”

Tawa Azura pergi mengiringi langkahnya yang laju memanjat tangga, meninggalkan aku yang termangu.

Wasiat Cinta 18

Bunyi deringan telefon bimbit membuat Fendi tersentak dari lena. Matanya melekat tidak boleh dibuka. Akhirnya setelah penat berdering telefon bimbitnya diam. Fendi lega. Dia menarik selimut semula. Sejuk penghawa dingin meresap ketubuhnya. Entah siapalah yang cuba mengganggunya tidur. Telefon berdering lagi. Fendi tidak peduli. Dia amat mengantuk. Sepanjang malam bekerja hanya subuh tadi baru sampai di rumah. Penatnya masih terasa. Telefon bimbitnya diam semula. Baru sahaja dia ingin menyambung tidur semula, telefon itu menjerit sekali lagi minta di angkat. Geram! Dia meraba-raba meja kecil di tepi katil. Niatnya ingin mematikan deringan itu.

‘Siapalah ni, sibuk betul!’

Dia cuba membuka sebelah mata untuk mengintai siapa gerangan pemanggil yang tidak jemu-jemu mengganggu tidurnya itu. Tihani? Bingkas dia bangun sambil menggosok-gosok matanya. Dia berdehem beberapa kali sebelum menjawab panggilan Tihani.

“Hello.”

“Hello, assalamualaikum along, Hani ni. Kenapa tak angkat call? Tidur ke?”

“Hmm, last night on called, baru balik subuh tadi.”

“Oh, ya ke? Sorry Hani kacau along.”

“Tak apa sayang, apa hal?”

Tihani terkedu. Fendi memanggilnya sayang? Darah tiba-tiba menyerbu ke muka. Fendi juga kelu, tidak menyangka dia yang menuturkan ungkapan itu.

“Err, along ingat tak esok birthday Mikhail?”

Tihani cuba menutup gugup.

“Anak buah along, mestilah ingat. 1st year birthdaykan?”

“Haah, Hani ingat nak celebrate. Buat simple-simple, hanya kita sekeluarga aja. Apa pendapat along?”

“Elok sangatlah tu, nak along bantu ke?”

“Tak apa, tak payah. Hani cuma nak jemput along. Nak minta along bawa ibu sekali, boleh ke?”

“Boleh apa salahnya, ibu dah tahu ke?”

“Belum, lepas ni Hani nak call ibu pulak. Along jangan tak datang ya.”

“InsyaAllah, untuk Hani along sanggup buat apa saja.”

“Alongg..,”

“Okey.. okey, sorry. Petang karang along sampai.”

“Petang ni? Along tak kerja ke?”

“Along cuti. Dah seminggu shift malam.”

“Elok sangatlah tu. Along tidurlah kat rumah Hani ya?”

Kalau diajak tidur bersama pun boleh sayang. Dia tersenyum nakal bila hatinya berkata begitu. Sejak bila entah dia sudah mewarisi lawak nakal Faizal ini. Mungkin sejak dia meluahkan rasa hatinya pada Tihani.

“Okey, no problem.”

“Good, thanks ya along,”

Tihani mengukir senyuman manis. Walhal dia tahu bukannya Fendi boleh nampak pun dia tersenyum begitu.

“You’re welcome dear.”

“Okeylah, kalau macam tu along sambung tidur semula ya, bye.”

“Bye, assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Talian dimatikan. Fendi tersenyum meleret. Kalaulah Tihani membalas cintanya, bahagia sungguh rasanya. Dia menarik selimut semula. Tengahari nanti nak pergi ambil ibunya pula.