Rajuk Sang Hati - Special Edition 8

“Awak semakin cantik,” tutur Irfan lembut. Matanya redup memandangku. Hmm, agak memikat senyuman yang dia hadiahkan. Kalaulah dari dulu dia senyum begitu padaku, mungkin kami sudah lama menjadi pasangan kekasih kerana aku pasti akan membalas senyuman itu. Tapi sayang, senyuman yang dia hadiahkan itu sudah terlambat. Setelah hatiku ini kuserahkan kepada Hasnul Amin barulah senyuman yang kuharapkan suatu masa dulu muncul.

Aku hanya tertunduk. Tidak tahu hendak pamerkan reaksi yang bagaimana. Sukakah aku dipuji begitu? Kalau suka kenapa tiada segarit senyum pun mampu aku ukir? Jika tidak suka, kenapa wajahku membahang?

“Dengar cerita dah jadi pegawai kerajaan sekarang ni ya?” Soalnya pula. Aku hanya mengangguk perlahan. Entah kenapa aku rasa soalannya itu begitu sinis. Kenapa tak percaya ke seorang budak nakal suatu masa dulu, sudah berjaya menjadi manusia yang berguna? Aku bukanlah teruk mana pun.

“Lamakan kita tak jumpa, kan? Rasanya hampir sepuluh tahun. Keluarga macam mana? Sihat? Berapa orang anak dah?” Membulat mataku mendengar soalannya yang bertubi-tubi itu. Dia tidak tahu statusku atau sengaja ingin memasang perangkap?

“Ya dah lama tak jumpa. Keluarga saya baik-baik aja. Saya belum ada anak,” aku menjawab setiap satu soalannya. Aku tak tipu apa, semuanya benar. Dia tanya tentang keluarga aku, aku jawab dengan elok. Dia tanya tentang anak, aku jawab dengan jujur. Tiada apa yang aku ingin sorokkan. Aku lihat dia mengangguk-angguk.

“Suami kerja apa? Dia tak ikut sama malam ni?” soalannya kali ini benar-benar membuat aku tersentak. Apakah dia benar-benar tidak tahu tentang statusku? Baru aku ingin menjawab dengan jujur, Laila dan Hisyam sudah mendekat. Sengaja aku dan Irfan memberi ruang kepada mereka berdua memandangkan mereka memang jarang ketemu tambahan pula jodoh mereka diatur oleh keluarga. Jadi pastinya mereka ingin mengenali dengan lebih dekat tentang hati budi masing-masing. Walaupun Hisyam masih mahu menangguhkan walimah mereka.

Aku melebarkan senyuman bila Laila memaut lenganku. Kepada Hisyam aku sekadar mengangguk perlahan. Sebenarnya aku masih terasa kekok tentang kenangan silam. Ternyata aku yang jelas rasa bersalah kerana menolaknya bulat-bulat sehingga menimbulkan ketegangan antara aku dan Irfan, sehingga kedua-dua mereka sepi tanpa khabar berita sehinggalah muncul kembali tanpa kuduga kini.

“Kau dah habis ke bersembang dengan Irfan? Kalau dah jomlah kita balik,” soal Laila setelah keempat-empatnya berjeda seketika. Aku rasa, aku yang jelas tak keruan bila kedua-dua lelaki itu merenungku dengan redup penuh makna. Ah, kacau!

“Dah, jomlah.”

Kami berpamitan sebelum beredar. Jenuh juga aku bagi alasan bila kedua-dua lelaki itu ingin menghantar kami pulang. Kalau ikutkan si Laila pastilah dengan senang hati menerima pelawaan Hisyam tapi bagi aku pastinya tidak senang duduk kerana aku jamin seratus peratus bahawa Irfan akan ikut. Parahlah jika Hasnul Amin tahu.

*****

Aku mengangkat kening pada Laila yang merenungku sejak tadi. Jari-jemarinya mengetuk fail hijau yang berada di atas mejaku. Entah apa yang difikirkannya aku sendiri tak pasti.

“Boleh aku tanya sikit?” Soalnya tepat memandang ke mataku. Aku hanya mengangguk perlahan.

“Kau dah lama ke kenal Hisyam dan Irfan tu?” Soal Laila serius. Sebenarnya soalan inilah yang ingin aku elakkan. Ternyata aku tak akan terlepas kali ini.

“Dululah. Zaman-zaman sekolah. Kenapa?”

“Kau rapat dengan dia orang?”

“Tak juga. Gitu-gitu aja. Kalau terserempak bertegur-sapalah.”

“Kau tak terpikat ke dengan dia orang tu?”

“Hah? Soalan apa ni?”

“Bukan apa, dia orang tu kan hensem? Mustahil hati kau tak terjebak pada dia orang, kan?” Laila meneka dalam kesamaran. Biarkan Laila bermain dengan teka-teki. Kalaulah Laila tahu kisah cinta tiga empat segi aku dulu, mahu pitam sepuluh kali agaknya.

Aku tergelak kecil menutup gabra. “Merepek aja..,” rungutku perlahan.

“Tapi aku ada musykil sikitlah,” Laila menggigit bibit bawahnya sambil matanya merenung jauh ke luar tingkap. Ah sudah, perkataan musykil itulah yang buat aku alergi ni. Apakah Laila sudah dapat menjawab teka-teki itu?

“Musykil apa pulak? Ada-ada aja kau ni kan?” Aku berlagak selamba seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini. Hakikatnya hatiku berdebar kuat. Hanya Allah saja yang tahu betapa aku tak mahu perkara ini berbangkit lalu mengundang syak wasangka Laila. Aku sayangkan persahabatan ini.

“Aku macam terperasanlah, Irfan dan Hisyam tengok kau semacam. Macam ada sesuatu yang disembunyikan. Macam ada cerita disebalik renungan tu. Kau tau apa-apa tak?”

“Manalah aku tau apa yang dia orang fikirkan. Dahlah, buat apa nak semakkan kepala otak kau tu. Baik kau siapkan kerja aku bagi tu. Ada juga faedahnya.”

“Yelah, harapnya perasaan aku aja, kan?” Laila bangkit dan memeluk kejap fail hijau itu. Berkira-kira hendak beredar dari mejaku.

“Memang perasaan kau aja,” aku tersenyum nipis merenungnya. Mataku menyorot lengguk Laila ke ruang penyimpanan fail. Aku menghela nafas panjang. Syukurlah, aku masih terselamat kali ni. Tapi aku tak pasti berapa lama lagi cerita ini berjaya aku simpan sendiri. Aku berdoa semoga perasaan Hisyam padaku sudah lama padam. Laila berhak mendapat tempat di hati Hisyam.

Halangan terbesar aku kini adalah Irfan. Kenapalah dia muncul kembali? Membolak-balikkan hatiku semula. Menjadikan aku seperti zaman remajaku dulu dan berteka-teki tentang dirinya? Sedangkan Hasnul yang setia menantiku dari dulu masih tidak berubah. Aku sayang Hasnul Amin. Tapi kasihku pada Irfan masih bersisa. Aku harus bagaimana?

6 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

aduh sikit nyer n3 nie...plezzzzzzzzzzzzzzzz pnjang kn skit kerrrrrrrrrrrrrrrrrrrr

Anonymous said...

nak nissa ngn hasnul jgak.........sian hasnul dh lama pndam perasaan kt nissa....

Anonymous said...

eh pleasela nisa...sakit ati pulak rasanya...igt kat hasnul je sudah...irfan n hisyam...syuhhhsyuhhh pegi jauh2...

Kak Sue said...

Betul tu Nisa dgn Hasnul juga....
Pilihlah orang yang bertul-betul sayang kan kita....
bukan orang yang kita sayang tapi hati dia kita x tahu....

Mr. Endy said...

Betullllll betulll
wah bagus yaaaaaaa

Anonymous said...

nk nisa ng irfan...plezzzzzzzzzzzzzzz

Post a Comment