Melankolik Cinta Cassandra 6

Berkerut dahi Hanafi bila mendengar dentingan pinggan mangkuk yang berlaga di dapur. Pasti isterinya sedang sibuk menyediakan sarapan. Tanpa disedari Soleha, Hanafi berdiri sambil bersandar di dinding. Dia diam di situ sambil memerhati susuk tubuh isterinya yang semakin kurus itu. Tingkah Soleha tidak sekencang dahulu. Tubuhnya kini semakin lemah. Hanafi merengus kecil. Jika dilarang Soleha membuat kerja-kerja itu, pasti bagai angin lalu, sering sahaja tidak diendahkannya.

Dia pernah mencadangkan kepada Soleha supaya mengambil pembantu rumah sahaja agar dapat membantunya meringankan kerja-kerja harian, namun seperti biasa usulnya itu ditolak bulat-bulat oleh Soleha. Katanya, dia masih mampu untuk melakukan kerja-kerja rumahtangga dan tidak perlu membazirkan wang. Tidak molek kiranya ada wanita yang bukan ajnabi tinggal serumah bersama mereka.

Hanafi menarik nafas dalam sambil memejam rapat matanya. Dia tahu dirinya sedang diuji dengan dugaan yang maha hebat. Allah SWT telah mengurniakan isteri yang cukup sempurna di matanya. Dia bersyukur. Dia bangga memiliki isteri semulia Soleha. Mulus wajahnya, telus jiwanya, lembut tutur dan tingkahnya. Segala impian seorang lelaki pada setiap wanita ada pada Soleha.

Dia cukup bahagia dari saat mata bertentangan sehingga kini. Namun kebahagiaannya teruji dengan keguguran zuriat sulungnya beberapa tahun yang lalu. Kini dia diuji lagi dengan penderitaan Soleha pula. Cukup menyiat-nyiat sekeping hati lelakinya. Dia tidak betah melihat kesakitan yang ditanggung Soleha hari demi hari. Jika boleh dipindahkan sakit itu kepadanya, dia rela menanggung.

Tubir matanya hangat. Soleha seorang yang lembut dan tabah namun dalam diam terselit sedikit degil. Sudah acapkali dia menyuruh Soleha berehat saja di rumah. Dia bimbang tentang kesihatan isterinya itu. Dia tidak mahu Soleha terlalu banyak bergerak. Itu amat bahaya buat dirinya. Namun dia hampir terlupa Soleha seorang yang tabah dan degil. Akhirnya dia akur, dia mengalah. Dia hanya mengikut saja rentak Soleha. Demi menjaga hati isterinya itu. Demi tidak mahu melihat senyuman manis Soleha pudar dari wajahnya.

“Abang? Dah lama ada di situ?” Tanya Soleha.

Hanafi tersentak. Cepat-cepat menyeka air jernih yang sudah bergenang di tubir matanya sambil mengukir senyuman manis serta-merta.

“Baru saja lagi. Leha buat apa tu? Bukan ke abang dah pesan jangan buat kerja-kerja ni semua?” Soal Hanafi pula.

“Ala, sikit aja. Bukan teruk pun,” jawab Soleha bersama senyuman manis di bibir.

“Memanglah tak teruk. Tapi bukankah doktor suruh Leha jangan banyak bergerak?” Hanafi tidak berpuas hati dengan alasan yang diberi oleh Soleha itu.

“Sikit aja. Abang jangan risaulah ya. Duduklah, nanti Leha hidangkan sarapan,” Soleha cepat-cepat mengalih topik perbualan.

“Hmm, Leha masak apa? Sedap bau ni?”

Soleha hanya tersenyum manis lalu melangkah perlahan menuju ke ruang dapur basah. Sudah lama dia tidak memasak makanan kegemaran suaminya ini. Kueytiow goreng yang masih panas itu dikaup berhati-hati ke dalam mangkuk besar. Jemarinya mencapai bawang goreng lalu ditabur mesra penuh kasih ke atas kueytiow goreng itu. Pelahan dia menatang mangkuk besar itu ke ruang makan.

“Wau, kueytiow goreng! Patutlah bau sedap sampai ke atas,” Hanafi menyambut mangkuk besar itu dan meletakkannya di atas meja. Senyuman lebar Soleha dibalas mesra.

“Your favourite food. Dah lama abang tak makan, kan?” Soleha menjeling manja.

“Terima kasih sayang. Susahkan Leha aja buat semua ni untuk abang,” ucap Hanafi sambil mencuit hidung Soleha membuat isterinya itu tergelak kecil.

“Tak susah pun bang, dah lama Leha tak masak untuk abang, kan? Apa salahnya hari ini Leha masakkan? Lagipun, bukan lama lagi Leha boleh masak untuk abang. Tengah ada peluang ni, Leha gunalah sebaik mungkin,” kata Soleha sedikit sayu.

“Kenapa Leha cakap macam tu? Abang tak suka dengarlah,” kata Hanafi. Memang dia tidak suka mendengarnya. Kerana kata-kata itu telah mengundang sebak yang bukan sedikit.

Soleha mengorak senyum menutup rasa bersalah dalam diri. Bukannya dia tidak nampak perubahan air muka suaminya itu tadi. Berdosa pula rasanya menukar mood suaminya yang elok ceria dari tadi.

“Maafkan Leha,” ujarnya perlahan.

“Hmm, Leha tak salah apa-apa. Sudahlah, jom kita makan,” ajak Hanafi.

Dia hanya membiarkan Soleha melayannya dengan mesra. Sudah lama dia tidak dimanjai sebegini. Sudah terlalu lama. Dia sangat merindui detik-detik ini. Sebolehnya Hanafi ingin merakam segala keceriaan dan kemesraan ini. Dia amat pasti detik ini tidak akan kekal. Bila mengingatkan itu, hatinya tersayat pilu. Namun, dia cuba tanamkan sedalam-dalamnya kesedihan itu agar Soleha tidak perasan akan rawan hatinya.



***


Setelah memakir keretanya, Hanafi mengatur langkah menuju ke perut lif untuk sampai ke tingkat empat bangunan PERKIM. Sebagai kakitangan PERKIM, Hanafi sangat dihormati orang-orang di sekelilingnya. Bukan saja kerana pekertinya malah kerana senyuman manisnya yang tidak pernah lekang dari bibir berkumis nipis itu. Wajah tampannya yang bersih dan tenang bisa menyejukkan mata sesiapa saja yang memandangnya.

“Assalamualaikum ustaz,” tegur salah seorang rakan sekerjanya yang bernama Zakri.

Kebetulan mereka bertembung semasa dia hendak melangkah keluar dari perut lif. Dengan senyuman manis Hanafi menjawab lembut salam yang dihulurkan oleh Zakri.

“Sudah sarapan? Jika belum, marilah makan bersama saya ustaz,” pelawa Zakri.

“Oh, terima kasih saja Ustaz Zakri. Saya sudah bersarapan di rumah tadi,” Hanafi menolak lembut.

Zakri tersenyum lebar sambil mengangguk perlahan lalu berpamitan dengan Hanafi untuk pergi bersarapan.

Hanafi meneruskan langkah ke pejabatnya. Dia meneliti jadual tugasnya hari ini. Kelas Aqidah yang diajarnya bermula pada pukul sepuluh pagi. Jadi dia harus bersiap sedia. Bukan senang hendak membetulkan akhlak saudara baru dan membentuk aqidahnya. Perlukan kesabaran yang sangat tinggi. Namun dia berbangga dengan sikap saudara-saudara baru yang mengikuti kelasnya itu. Sangat tekun dan komited tentang agama baru yang mereka anuti iaitu agama Islam, agama paling suci dan indah.

Hanafi meneliti senarai nama pelajar yang mengikuti kelasnya. Masih sama dan tiada penambahan. Fail yang menimbun di atas meja dibelek satu-persatu. Dia melambai ke arah teman sekerjanya Ustaz Malik, yang kebetulan lalu di situ.

“Assalmualaikum ustaz,” tegur Malik dengan wajah yang ceria.

“Walaikumusalam Ustaz Malik,” jawab Hanafi lembut sebaik saja Malik melabuhkan punggung di hadapannya. Wajah bersih sahabatnya itu ditatap.

“Sudah makan ustaz?” Tanya Malik.

“Alhamdulillah, sudah makan di rumah tadi,” jawab Hanafi sambil mengangguk.

“Oh, isteri masakkan? Bertuahnya badan…,” usik Malik.

Hanafi tergelak kecil. Sedikit tersipu dengan pujian dari Malik itu.

“Apa khabar dia sekarang? Ada perubahan?” Tanya Malik lagi.

“Masih begitu. Malah makin teruk rasanya,” jawab Hanafi tenang.

“Bersabarlah ustaz. Allah menghendaki begitu. Terima dengan reda. Tapi kita sebagai hambaNya tetap juga kena berusaha ya. Jangan menyerah kalah,” nasihat Malik memberi semangat kepada Hanafi.

“InsyaAllah ustaz, setakat ini kesabaran saya masih utuh. Memang ini adalah ujian Allah buat saya ustaz. Saya reda,” Hanafi tersenyum nipis.

“Alhamdulillah. Bertuah isteri ustaz memiliki suami begini,” Malik juga turut tersenyum nipis.

Sekali lagi Hanafi tersipu. Dia tidak betah bila dipuji secara berdepan begini. Hanya tawa kecil yang bermain di bibirnya. “InsyaAllah, selagi saya masih suami dia, selagi itulah saya tidak akan abaikan tangunggjawab saya pada dia ustaz,” kata Hanafi penuh yakin.

“Alhamdulillah. Baguslah jika begitu ustaz. Sokonglah dia. Saat-saat begini isteri ustaz sangat memerlukan sokongan. Terutama dari suaminya sendiri,” Malik mengangguk. Dia sangat bersetuju dengan kata-kata sahabatnya itu.

“InsyaAllah. Terima kasih ustaz kerana nasihat itu.”

“Sama-sama. Kita ni mesti saling ingat-mengingati. Banyak-banyakkan bersabar ya ustaz.”
“InsyaAllah.”

“Hmm, okeylah, saya nak bersarapan dulu. Betul ustaz tak nak ikut ni?” Tanya Malik lagi.

“Tidak, terima kasih,” Hanafi menolak lembut sambil tersenyum.

Dia bersandar di kerusinya sambil menyoroti langkah perkasa Ustaz Malik. Masih segak walaupun sudah berumur empat puluhan. Wajah yang bersih itu tidak jemu bagi sesiapa saja yang memandang.




0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment