Kamal Oh Kamalia 13

“Ha, macam mana training kau dengan kak Effa tadi?”

“Seksa siot!”

Iqbal berkerut kening minta penjelasan.

“Macam kena dera.”

“Storylah kat aku. Kak Effa suruh kau buat apa?”

Aku mengeluh. Nak cerita ke tak nak ni? Kalau cerita karang confirm kena gelak punya.

“Hmm… macam-macam.”

“Macam-macam? Apa dia?”

Iqbal sudah membetulkan duduknya. Dari berlunjur kini bersila.

“Dia ajar aku cara berdiri dan duduk dengan betul.”

“Ha okeylah tu. Aku tak nampak apa masalahnya pun?”

“Memanglah tak ada masalah, cuma seksa aja.”

“Ala, kalau setakat berdiri dan duduk dengan betul tu apalah yang seksa sangat.”

“Mahunya tak? Duduk mestilah tegakkan badan, tegakkan bahu, lentikkan pinggang naikkan dada. Kalau berdiri pulak, tak boleh nak terkangkang, macam orang berkawad aja. Kena kepit. Senak aku Bal.”

Pecah ketawa Iqbal mendengar rungutan aku itu. Memang sudah aku agak itu reaksi dia. Aku turut tergelak kecil melihat Iqbal ketawa terbahak-bahak.

“Seronok eh gelakkan aku?’

“Mahunya tak. Patutlah kau cakap seksa.. aku dengar pun dah seksa.”

“Tahu tak apa.”

“Lepas tu jari tak boleh nak ketuk-ketuk meja macam selalu yang aku buat tu.”

“Ha, kenapa pulak?”

“Dia kata kena sorok sikit sebab jari aku kasar tak macam jari perempuan.”

Sekali lagi Iqbal meledak tawa. Aku hanya menjeling geram.

“Itulah kau, tak ada kerja cari kerja. Kan dah susah.”

“Aku tak kira Bal. Janji aku dapat mendekati Azlin tu. Geram aku dengan minah tulah.”

“Hai, lain macam aja bunyi geram tu?”

Iqbal angkat kening sambil tersenyum nakal. Aku baling kusyen kecil ke muka dia. Sambil tergelak dia menyambutnya.

“Jangan nak fikir yang bukan-bukan eh. Aku geram sebab dia jual mahal sangat. Dia bolayan aku ni.”

Iqbal sambung gelak.

“Agaknya Bal, macam tu ke orang perempuan selama ni ha?”

“Maksud kau?”

“Yelah, cara duduk cara berdiri semua nak kena jaga. Tak ke seksa namanya tu?”

“Kau ni kalau aku kata bengap karang marah pulak. Dah semulajadi dia orang macam tu. Allah bagi dia orang body contur yang hebat tau tak. Cuba kau tengok senang-senang aja dia orang boleh pakai high heel. Kadang-kadang tu sampai empat lima inci. Steady aja aku tengok. Then cuba kau tengok kalau dia orang mengandung. Senang aja bawa perut ke hulu ke hilir. Tak ada pun dia orang merungut.”

“Betul jugak eh.”

“Memang orang prempuan ni makhluk Allah yang paling indah Mal. Dia orang ni memang istimewa. Very special. Oleh kerana dia orang ni lemah dan lembut, kita sebagai lelaki nilah yang kena protect dia orang, bukan rosakkan dia orang.”

“Wah, kau bukan main lagi Bal. Pakar motivasilah pulak.”

“Well, see the leg la..”

Aku mencebik. Pantang aku ampu sikit mulalah datang riaknya tu.

“Sekarang kau dalam proses menyelami dunia wanita. Itu sebab kau rasa seksa sikit. Sebab benda yang kau buat tu bukan fitrah kau. Kau lelaki sejati. Tapi otak mereng kerana sorang perempuan.”

“Oit! Kurang asam kau. Agak-agak dah beli insuran untuk mulut tu tak?”

Iqbal tersengih.

“Ala, janganlah touching.”

Aku diam. Berfikir sejenak. Apa pulak latihan aku untuk esok ya? Harap-harap kak Effa tidaklah kejam sangat. Aku bukan nak jadi wanita elegan pun. Aku cuma nak jadi perempuan biasa aja. Tapi bila difikirkan semula lebih baik aku belajar saja nanti karang kantoi pula depan Azlin Nasihin.

“Boleh aku tanya kau?”

“Apa?”

“Sampai bila kau nak menyamar ni?”

“Entah! Sampai aku berjaya pikat dialah kot.”

“Aku ni bukan apa, kalau terkantoi nanti, kau habis!”

Berderau darah aku mendengar kata-kata Iqbal itu. Harap-harap segalanya berjalan lancarlah.

***

Terjeda aku depan komputer ribaku ini. Merenung jauh pada sebuah email dari pengirim yang tidak pernah jemu menghantarnya padaku. Bukan kerana tidak biasa tapi kirimannya kali lebih membuat aku terkejut. Makin aku diam makin menjadi pula dia ni. Apa yang aku cakap dulu tidak berbekaskah di hati dia? Aku hampir buntu melayan kerenah Natrah yang semakin berani meluahkan rasa tanpa rasa silu pada aku. Sepatutnya lelakilah yang memulakan langkah dahulu tapi ini terbalik pulak. Bila fikir balik zaman sekarang mana ada kisah lagi tentang siapa yang harus mulakan dulu. Tiada lagi istilah perigi mencari timba. Zaman sekarang adalah zaman siapa cepat dia dapat. Siapa lambat jawabnya terkulat-kulat. Eh, dapat macm pantun pulak bunyinya. Ah, tak kisahlah apa yang aku tahu aku masih lelaki konservatif. Aku rasa lain macam jika perempuan yang mulakan langkah dulu. Seperti Natrah ni. Sikap berterus-terangnya membuat aku serba salah dan resah.

Salam Mal,

Maaf kalau Nat kacau Mal study. Nat pun tengah study ni. Tapi apa yang Nat baca semua tak masuk dalam kepala. Entahlah Mal, Nat asyik ingatkan Mal aja. Nat tahu walaupun Mal dah berulangkali menolak Nat, tapi Nat masih tak boleh terima.

Nat sayang Mal. Mal boleh nampakkan? Nat sanggup buat apa saja untuk Mal. Kalau Mal suruh Nat balik Malaysia dan duduk dekat dengan Mal pun Nat sanggup. Nat sanggup berjauhan dari family asalkan dekat dengan Mal. Nat harap sangat pergertian dari Mal. Kadang-kadang Nat tak boleh kawal rasa rindu ini. Nat rasa dah macam orang gila aja. Asyik tersenyum tesengih bila terimbas kenangan kita dulu-dulu. Memang Nat gila pun. Gilakan Mal! Hehehe…

Okeylah Mal. Nat stop kat sini dululah. Nanti Mal boring pulak kan? Sorry banyak-banyak kalau Nat kacau Mal ya.

Sayang selalu,

-Natrah-

Aku mengeluh berat. Tak tahu nak buat apa lagi dengan budak Natrah ni. Tak faham bahasa ke perempuan ni? Dah aku kata tak suka tu, tak sukalah. Berapa kali harus aku ulang? Seperti biasa, seperti email-emailnya sebelum ni aku hanya tong sampahkan saja. Tak kuasa aku nak membalasnya. Secara tidak langsung aku memberinya jawapan secara diam. Aku berharap sangat Natrah faham apa yang cuba aku sampaikan.

Aku rebahkan badan. Antara Natrah dan Azlin Nasihin dua-duanya sama cantik sama bijak. Kelebihan Natrah adalah aku sudah mengenalinya dari kecil. Aku tahu perangai dia macam mana, dia suka apa dan apa kelemahannya, tapi untuk Azlin Nasihin aku tidak tahu apa-apa. Sedangkan namanya sudah melekat dalam hatiku. Maka dengan itu wajarlah aku mendekatinya. Secara semulajadi sudah pun aku lakukan. Ternyata dia menolak. Sekarang aku akan cuba dengan cara gila ini. Berhasil atau tidak itu perkara kedua. Yang penting aku mencuba.

“Tolonglah mak. Mal tak nak.”

“Habis tu mereka mengharap Mal. Mak nak buat apa lagi?”

Aku merengus geram.

“Mak nak ke Natrah jadi menantu mak?”

“Kalau boleh mak tak naklah. Macam tak ada orang lain. Tak berkembang keturunan kita nanti.”

“Ha tahu pun mak. Yang penting ialah hati Mal ni mak. Mal tak suka dia pun. Mal anggap dia macam adik Mal aja. Memang tak boleh lebih dari tu pun.”

Mak diam. Diam mak itu membuat aku cuak.

“Mak tahu. Habis tu dia orang dah merisik ni macam mana?”

Aku tersenyum sumbing.

“Perempuan merisik lelaki? Mak biar betul. Mana semua adat-adat yang mak junjung tu?”

Mendengar kata-kata aku, mak mengeluh perlahan.

“Entahlah Mal. Dari segi agama tak salah.”

Pulak dah? Mak aku ni macam mana? Tadi bukan main lagi aku dengar mak mempertahankan segala adat yang dia junjung selama ini.

“Mak, dengar ni. Salah ke tak salah ke, Mal tetap tak nak. Mak jangan nak pandai-pandai nak satukan kami. Tolonglah mak. Mal rayu kat mak ni.”

Mak bungkam. Mungkin tersepit di antara permintaan aku dan mak andak. Aku harap mak mendahului perasaan aku.

“Mak, bahagia Mal, bahagialah mak. Mak sanggup ke tengok Mal derita?”

“Apa alasan mak nak bagi Mal?”

“Mak reka apa saja alasannya. Mal ikut aja. Mak, tolonglah mak. Mal ni belajar pun tak habis lagi. Kerja pun belum lagi. Kenapa yang sibuk-sbuk nak satukan Mal dengan dia ni? Mal tak faham betullah.”

“Natrah tu dah lama sukakan kamu. Tak kesian ke?”

“Mak mana boleh kahwin atas dasar kesian mak. Tak ke mana perginya.”

Mak diam lagi.

“Mak besar harapan Mal kalau mak tolak. Mal ni anak sulung mak. Jasa mak pun Mal belum balas. Duit gaji Mal pun mak belum rasa kan mak?”

Mak tersenyum.

“Lagipun Mal dah janji dengan arwah ayah. Jaga mak dan adik-adik. Kalau awal-awal mak dah suruh Mal kahwin apa ceritanya? Dah menambah satu lagi beban buat Mal. Tolong ya mak? Jangan setuju.”

“Tengoklah.”

“Mak janganlah tengok-tengok. Mal harap sangat ni. Tengahari karang Mal nak balik dah. Mal percaya sepanjang Mal tak ada nanti mesti dia orang pujuk mak habis-habisan. Mal harap mak jangan buat keputusan tanpa pengetahuan Mal ya mak? Kalau mak susah sangat nak bagi alasan, mak buruk-burukkan Mal pun tak apa.”

Itu kisah dua hari lepas. Sebaik mak andak pergi mengejutkan Natrah dari tidurnya, tanpa berlengah aku dan mak buat mesyuarat tingkap. Cakap pun macam bisik-bisik aja. Bimbang jika tertangkap. Aku tahu mak susah hati. Aku lagi susah hati. Mana mungkin aku menerima Natrah menjadi suri hidup aku tanpa sekelumit rasa kasih. Mana mungkin aku menerima dia seandainya aku sendiri masih terumbang-ambing. Bukan saja dia malah mana-mana gadis pun belum layak untuk aku sunting untuk bersama aku hingga ke akhir hayat. Apa yang aku mahu sekarang adalah rancangan aku untuk memikat Azlin Nasihin berjaya. Aku harap Allah ampunkan dosa aku atas perbuatan aku yang melampaui batas agama ini.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment