Kamal Oh Kamalia 8

Aku membawa mereka berjalan-jalan di Zoo Taiping. Biasalahkan dah bawa budak-budak, tempat apa lagi yang paling afdal? Bukannya aku tidak nampak muncung si Natrah tu. Mengalahkan itik serati. Bersungut-sungut dari tadi. Lantak kaulah. Siapa suruh ajak aku keluar. Aku manalah tahu nak berdating-dating ni. Bercinta pun tak pernah. Tapi jika Azlin Nasihin yang bersamaku sekarang bukan di sinilah destinasiku. Pastinya tempat-tempat romantik yang boleh aku jadikan kenangan yang terindah. Dan sudah pastilah kanak-kanak riang yang ada bersamaku ketika ini tak boleh ikut. Buat kacau daun saja. Aku tersenyum.

“Apa senyum-senyum? Sukalah ek bawa Nat pergi tempat macam ni?”

“La.. senyum pun salah ke? Mal nak tergelak tengok badak tu. Ha, cuba Nat tengok badak air tu.”

Aku tergelak besar. Bukan kerana badak air yang sedang berkubang itu tetapi melihat muncung Natrah yang semakin tebal dan panjang. Betul-betul lawak.

“Kalau setakat pergi Zoo, kat Singapore pun ada. Lagi best!”

“Eh iya? Nanti kalau Mal pergi sana boleh Nat bawa Mal pergi Zoo ya?”

“Hii.. apa yang best sangat pergi Zoo ni? Bosanlah!”

Natrah bersandar pada tiang besi yang menjadi penghalang pada para pengunjung. Aku tidak mengendahkan kata-kata Natrah itu lalu menghampiri adik kembarku yang begitu riang bersama adik sepupuku Adif. Entah apa yang Adif terangkan pada Amni dan Amna tu. Baik aku tumpang sekaki dari melayan rajuknya Natrah.

“Dif! Lapar tak? Jom makan?”

“Boleh juga bang. Siapa nak makan aiskrim angkat tangan?”

“Nak! Nak!”

Terkinja-kinja Amni dan Amna mengangkat tangan. Seronok sangat nak makan aiskrim agaknya. Si Adif ni cukup pandai melayan mereka. Aku sungging senyum lebar.

“Manjakanlah dia orang Dif.”

“Ala, tak apalah bang. Sekali-sekala. Seronok layan dia orang berdua ni. Lagipun Adif tak ada adik. Yang ada, tu.. cekmek molek yang monyok tu.”

Aku tergelak bila bibir Adif menghala ke arah Natrah yang sedang cemberut. Buat muka protes dari jauh. Minta dipujuklah tu. Tak kuasa aku nak layan.

“Apa kena tu bang? Panjang muncungnya?”

“Tak nak datang sini. Bosan katanya.”

Serentak itu aku dan Adif tergelak besar. Gelihati melihat wajah cuka Natrah dari jauh. Tapi, macam tahu-tahu pula dia kami berdua sedang mentertawakannya. Besar langkahnya menghala ke arah kami.

“Ala, kalau abang nak tahu tempat dia paling tak bosan ialah shopping complex. Yang lain semuanya bosan.”

Aku sambung gelak. Hanguslah poket aku kalau aku bawa Natrah ke shopping complex. Paling tidak pun mahu longgar tempurung lutut aku mengikut ragam dia.

“Syy.. dia datang, dia datang.”

Bergoyang-goyang bahu aku menahan tawa. Gelihati masih belum mahu pergi. Natrah pula sudah tercegat di depanku.

“Amboi seronok nampak? Gelak apa?”

“Ha? Oh.. tak ada apa-apa.”

“Tipu! Korang berdua mengumpat Nat ya?”

“Mana ada! Jangan buat fitnah, tak baik tahu?”

Natrah mencebik. Mungkin tidak percaya dengan bohonganku. Lantas matanya menghala ke arah Adif. Adiknya itu bermuka selamba.

“Kau gelakkan akak ya Dif? Jahat ya kau, bilang sama mama!”

“Akak ni, kecoh la.. mana ada kita orang gelakkan akak.”

“Tipu!”

“Tipu apanya? Ni hal orang lelakilah. Akak mana tahu?”

“Betul ni?”

“Betul.”

Gelagat Adif yang sungguh meyakinkan itu membuat aku tabik spring pada dia. Dengan mudah saja dia menangani kakaknya itu. Pasti sudah biasa sangat dengan kerenah Natrah agaknya.

“Okey. Tapi kalau akak dapat tahu Adif tipu akak, siap!”

Adif hanya mampu tersengih sambil menjungkit kening ke arahkku. Aku memberi isyrat yang sama sebelum Natrah menoleh ke arahku tiba-tiba.

“Mal..”

Dah, dia buat lagi. Natrah bersuara lunak sambil memaut lenganku dan melentokkan kepalanya. Aksi terlebih manjanya itu membuat aku terasa segan dipandang orang. Malah lebih segan lagi bila Adif dan adik kembarku menjadi penontonnya. Perlahan aku meleraikan pautan kemas Natrah.

“Mal!”

Natrah merengek manja sambil menghentak kaki. Tanda protes kerana aku cuba menolaknya. Aku hadiahkan senyuman terpaksa.

“Tak manis dipandang orang Nat. Malu kat adik-adik.”

Teguran aku itu membuat wajah Natrah mencuka dan memerah. Malu barangkali aku menegurnya secara terbuka begitu. Nasiblah kan, siapa suruh kau tak jaga tingkah laku.

“Let’s go girls.”

Adif memimpin tangan kecil Amni dan Amna. Kedua kembar comelku itu hanya menurut perintah tanpa banyak ragam. Aku mengekori mereka dari belakang.

“Kita nak pergi mana ni?”

Soal Natrah cuba menyaingi langkah besarku. Terkedek-kedek dengan kasut tumit tingginya itu. Wajahnya kembali ceria. Inilah satu perkara yang aku suka tentang Natrah. Walaupun dia mudah merajuk tetapi dia cepat sejuk. Agaknya sedar merajuk diri itu adalah perbuatan sia-sia. Agaknya sedar bahawa aku tidak akan sekali-kali memujuknya.

“Makanlah, dah dekat pukul 3.00 petang dah ni.”

“Hmm.. patutlah Nat rasa pedih perut.”

Dia tergelak manja. Benarlah kata Zaid, Natrah bukan saja cantik tapi manja. Tawanya saja cukup menggetarkan hati lelaki. Jika dia bukan sepupu aku, mungkin saja aku juga akan goyah.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment