Kamal Oh Kamalia 7

“Apa khabar pak Andak, mak Andak?”

Aku tunduk salam tangan pak Andak Kasim dan mak Andak Bibah. Kemudian seorang budak lelaki berumur lebih kurang empat belas tahun menghulurkan tangannya. Aku sambut huluran itu sambil tersenyum.

“Adif kan?”

Adif tersenyum lebar dan mengangguk laju.

“Apa khabar abang Kamal?”

“Baik.”

Dah besar dah budak ni. Dulu aku selalu dukung dia. Sekejap betul masa berlalu. Mereka sekeluarga pun dah lama tak balik ke Malaysia. Seronok sangat agaknya tinggal di Singapura tu.

“Mal, tolong bawa buah ni ke dapur.”

Arahan mak aku patuh. Aku ambil besin sederhana besar untuk meletakkan perlbagai jenis buah-buahan itu. Sebaik aku berpaling, nyaris aku berlaga dengan seorang gadis.

“Hai, Kamal!”

“Natrah!”

Gadis itu tersenyum manis. Makin lawalah dia. Dengan rambut perang celup dan biji matanya yang sudah pun bertukar warna kelabu, dia kelihatan trendy.

“Ingat tak datang.”

“Mestilah Nat datang. Dah lama tak balik Malaysia.”

“Iyalah negara orang lagi best kan?”

“Mana sama dengan negara sendiri Mal.”

Aku mencebik. Iya sangatlah tu.

“Mal, mangkuk tingkat ni nak letak mana ek?”

“Letak ajalah kat atas meja tu, Nat bawa apa tu?”

“Entah, mama.”

Eh, tersengih pulak dia. Memang dasar tak ke dapurlah ni.

“Mal, yok bawa Nat pusing-pusing kampung.”

“Malaslah. Mal pun baru sampai tengahari tadi. Ingat nak rest aja. Esoklah ya?”

“Hii.. Mal ni, boringlah. Macam anak dara pula. Apa barang duduk terperap kat rumah.”

Natrah tarik muncung. Lantak kaulah. Peduli apa aku! Kalau Azlin tu, hendak juga aku memujuknya. Setakat Natrah, kejap saja muncungnya tu. Dari kecil dah kenal dia. Natrah ni manja dan nakal budaknya. Tapi baik. Dari kecil aku tahu dia suka pada aku. Tapi aku dah anggap dia macam adik aku saja. Kira rapat jugaklah aku dengan dia ni dulu. Pergi sekolah sama-sama, main pun sama-sama pendek cerita banyak benda yang kami buat bersama. Tapi tanpa aku sedar Natrah ada hati pada aku. Itu pun Zaid kawan sekampung aku yang cakap. Kalau tak, sampai sudahlah aku tak tahu.

“Mal, jomlah. Nat tunggu kat bawah ya?”

“Eh, nanti! Esok ajalah. Mal penatlah, ya?”

“Ala, Nat yang dari jauh pun steady lagi, tak akanlah lelaki segagah Mal tak larat kot?”

Ish, perempuan ni. Tak faham rupanya. Aku dah menolak tu tetap juga dia nak paksa. Inilah satu-satunya sikap Natrah yang aku tak suka. Degil! Aku nampak mak melangkah ke dapur. Bagus! Bolehlah aku angkat kaki.

“Mal masuk bilik dulu, nak kemas sikit.”

Aku bagi alasan. Terpulanglah pada dia nak percaya ke tidak. Lama-lama aku berada dengan dia pun boleh goyang juga iman aku. Sepupu aku ni boleh tahan cantik. Zaid pernah kata aku bodoh. Sebab tak nampak keistimewaan Natrah. Bukan aku tak nampak, bukan aku tak perasan semua tu. Dia sepupu aku. Rapat pula tu. Mestilah aku nampak semuanya. Tapi dalam hati aku ini tak ada taman. Tak rasa apa yang aku cari. Tidak seperti rasa aku pada Azlin. Apa yang aku rasa pada Azlin tidak wujud pada Natrah. Jadi aku hanya boleh menganggap dia sebagai sepupu aku atau adik perempuan aku. Itu saja. Nak lebih dari itu? Aku tak mampu nak bagi.



*****


Selepas makan malam aku melepak di beranda dengan pak andak. Macam-macam cerita yang aku dengar. Semuanya tentang pengalaman pak andak berada di negara orang. Sesekali terselit beberapa nasihat dan pengajaran untuk aku jadikan pedoman. Aku hanya mengangguk senyum bila pak andak meminta aku mengikuti nasihatnya. Pak andak ni tegas orangnya tapi jika dia buat kelakar sekali-sekala mahu pecah perut aku dibuatnya.

Mak Andak muncul bersama sedulang kopi O. Berkepul-kepul asap yang menari-nari dari muka cawan itu. Aku tersenyum sebaik mak andak menghulurkan secangkir kopi buatku.

“Terima kasih mak andak.”

“Sama-sama.”

Aku melilau mencari kelibat emak. Namun mak andak khabarkan emak sedang bersolat Isya’. Emak memang begitu, sepanjang aku membesar belum pernah aku melihat mak melewat-lewatkan solat fardhu. Beruntung arwah ayah memiliki mak. Bukan saja taat pada suami malah pada suruhan Illahi. Dapatkah aku mencari isteri solehah seperti mak? Apakah cirri-ciri itu ada pada Azlin Nasihin? Ah, menyebut namanya saja membuat hatiku bergetar. Aku tersenyum sendirian.

“Hai, Mal apa yang diangankan tu?”

“Ha?”

“Tersenyum sorang-sorang. Ingatkan siapa?”

“Eh, mana ada siapa mak andak.”

Pak andak dan mak andak saling berpandangan lalu tersenyum. Aku dapat rasakan senyuman mereka tu ada makna.

“Betul ke Mal tak ada siapa-siapa ni?”

Aku hanya mampu tersengih. Tak akanlah aku nak buka cerita aku syok sama Azlin pulak. Mahunya aku diketawakan empat puluh hari empat puluh malam kot. Ish, tak sangguplah aku. Mungkin belum masanya lagi untukku berterus-terang. Pada aku orang yang pertama akan diberitahu tentulah mak aku.

“Lama ke pak andak ada kat sini?”

“Eh, tak kejap aja. Sebenarnya pak andak ada seminar kat Penang lusa.”

“Ala, dah alang-alang balik Malaysia ni lepaklah lama sikit, bawa budak-budak tu berjalan ke?”

“Hmm.. tak payahlah kau susah-susah nak cakap macam tu Mal. Dah jenuh dah mak andak ni cakap, tak boleh juga. Nak kena balik cepat.”

Pak andak ketawa.

“Tak usahlah awak nak muncung-muncungkan mulut macam tu, buruk benar abang tengok.”

Aku turut tergelak bila melihat wajah mak andak sudah mencuka tanda protes. Betullah kata orang, buruk benar jika orang tua merajuk.

“Ala, tak apalah mama, kalau papa tak nak bawa kami berjalan-jalan, Kamal kan ada.”

Hampir terlompat aku dari kerusi rotan yang ku duduk itu saat mendengar suara lunak Natrah yang muncul tiba-tiba. Sungguh tidak bernas ideanya itu. Aku hanya mampu tersenyum hambar pada mata-mata yang sedang memandang ke arahku.

“Boleh ke Mal?”

Soal pak andak. Sempat aku menjeling ke arah Natrah. Gadis itu tersenyum manis semanis gula saja lagaknya. Nak tak nak aku mengangguk perlahan. Terlalu perlahan dan berharap tiada siapa yang perasan.

“Yey! Thanks Mal. Janji ek, esok bawa Nat jalan-jalan?”

Eh, suka pulak dia? Seronoklah tu niat asalnya tercapai. Jangan harap aku nak keluar berdua-duan dengan kau Natrah. Aku akan bawa satu batillion menemani kau dan aku.

“Hmm.. bukan Nat aja, kita bawa Adif, Amni dan Amna sekali.”

Wajah yang manis dan ceria tadi sudah bertukar hambar sebaik nama adik kembarku dan adik lelakinya disebut. Aku cuba tahan ketawa bila melihat wajah cemberut Natrah tapi aku tak berjaya bila pak andak dan mak andak sudah meledak ketawa. Apa lagi, aku pun tumpang sekakilah.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment