Wasiat Cinta 19

“Happy birthday to you..,”

Bergema lagu harijadi yang dinyanyikan oleh mereka sekeluarga. Walaupun anak kecil itu masih belum mengerti dengan apa yang berlaku, tetapi mereka sekeluarga tetap berpadu suara mendendangkan lagu tersebut. Untuk menghibur Mikhail, supaya Mikahil tidak berasa tersisih. Tidak berasa dirinya seperti anak yatim. Tihani meniup lilin bersama Mikhail. Mikhail juga berusaha meniup lilin itu apabila disuruh mamanya untuk berbuat demikian. Pecah ketawa mereka berempat bila melihat lilin yang ditiup tidak juga padam-padam, tetapi air liurnya yang tersembur-sembur mengenai kek dan membasahi bibirnya yang mungil itu.

“Itu penambah perisa tu. Mesti sedap kek ni nanti, confirm punya.”

Fendi cuba berlawak. Membuat mereka semakin galak ketawa. Tihani juga ketawa sambil matanya merenung Fendi. Dia perasan sejak akhir-akhir ini Fendi pandai berjenaka. Sejak bila dia sendiri tak tahu. Dah macam Faizal pula. Bila mengenangkan Faizal wajah Tihani bertukar mendung. Kalaulah dia ada.

‘Abang anak kita sudah setahun umurnya.’

Fendi perasan akan perubahan Tihani. Baru sebentar tadi dia berjaya buat Tihani ketawa. Sudah lama benar dia tidak melihat Tihani ketawa begitu. Sejak Faizal meninggalkannya. Tetapi kini wajah itu mendung semula.

“Hani, kenapa?”

Soalan Fendi membuat puan Rosnah dan puan Mariam berpaling. Ketawa mereka perlahan-lahan hilang.

“Haah sayang, kenapa ni?”

Puan Rosnah merangkul Mikhail. Tangan cucunya itu sudah mahu mencapai garfu di meja. Tihani tunduk. Bibir matanya mula memberat.

“Hani teringatkan Faizal, bu. Kalaulah dia ada bersama kita sekarang. Kalaulah dia sempat sambut harijadi pertama Mikhail ni. Tapi dia tak sempat ibu, ummi, dia tak sempat.”

Airmata lencun di pipinya. Teresak-esak menangis. Suasana yang ceria tadi sudah bertukar sedih.

“Sabarlah sayang, tak baik cakap macam tu.”

Puan Mariam menggosok-gosok belakang Tihani. Cuba mententeramkan anaknya itu. Hati tuanya juga menjadi sebak.

“Ya Hani, sabar ya. Jangan fikirkan sangat. Yang sudah tu sudahlah.”

Puan Rosnah pula cuba memujuk. Hati tuanya juga dipalu pilu. Matanya memberi isyarat kepada Fendi untuk memujuk Tihani. Fendi yang sedari tadi kaku faham akan isyarat ibunya itu.

“Hani, jangan menangis. Along percaya, angah sedang melihat Mikhail sekarang. Along percaya pasti dia sedang tersenyum melihat Mikhail. Dan along juga percaya yang angah tak mahu Hani terus-menerus sedih begini. Percayalah cakap along.”

“Betul ke?”

Tihani mengesat airmata. Dia tersenyum kelat. Kata-kata Fendi tadi membuat dia tersedar tentang Qada’ dan QadarNya. Fendi mengangguk sambil tersenyum lawa menyerlahkan lesung pipitnya. Senyuman itulah membuat jiwa Tihani bergetar halus sejak akhir-akhir ini.

“Okey! Sekarang kita potong kek ya.”

Tiba-tiba wajahnya yang mendung tadi sudah bertukar ceria semula. Mendakap Mikhail dan memegang tangannya untuk acara memotong kek yang berbentuk Doraemon itu. Puan Rosnah dan puan Mariam berpandangan lalu tersenyum dan menggelengkan kepala. Fendi hanya tersenyum nipis melihat gelagat Tihani yang tiba-tiba saja sudah bertukar mood.


****************


Mikhail sudah tidur. Tihani mengemas ruang tamu yang berselerakan dek pembalut hadiah. Hadiah dari Fendi. Fendi membelikan set permainan keretapi. Tihani tersenyum. Membelek permainan keretapi itu. Cantik, pasti mahal.

“Ehem!”

Tihani tersentak lalu menoleh ke belakang.

“Eh, along. Tak tidur lagi?”

“Belum mengantuk.”

Fendi melabuhkan punggung duduk di sebelah Tihani. Tangannya mencapai kepala keretapi mainan itu.

“Terima kasih ya along. Susahkan along aja bagi hadiah segala.”

“Tak apalah bukan untuk siapa pun, anak buah along jugak. Ibu dengan ummi mana?”

Fendi melihat keliling. Hanya ada Tihani seorang saja. Lehernya dipanjangkan ke arah dapur. Gelap.

“Dah tidur kot, letih sangatlah tu. Badan masing-masing pun bukan kuat lagi.”

Tihani memasukkan set keretapi yang berselerakan ke dalam kotaknya semula. Fendi juga mengutip eksesori permainan itu. Merangkak-rangkak mereka mengutip serpihan permainan yang bertaburan. Sehingga kepala mereka terhantuk sesama sendiri.

“Aduh!”

Tihani menggosok dahinya. Fendi juga berkedut kening menahan sakit. Melihat Tihani menggosok dahi, sepantas kilat tangannya menyentuh dahi Tihani. Sedikit merah. Kuat juga terhantuk tadi.

“Are you ok?”

Fendi meniup dahi Tihani yang sudah kemerahan.Tihani kaku. Jantungnya kini berdegup kencang. Muka Fendi terlalu dekat dengan mukanya. Lebih kurang empat inci saja. Melihat Tihani kaku dan diam, barulah Fendi tersedar yang dia terlalu hampir dengan gadis itu. Tubuhnya menahan getar.

Tihani mendongak dan Fendi membalas redup renungan gadis itu. Tangan Fendi pula, dari dahi Tihani, perlahan-lahan turun mengusap pipinya. Menyentuh bibir gadis itu bersama getaran di jiwa yang maha hebat. Matanya tepat merenung ke mata Tihani. Perlahan merapatkan wajahnya ke arah Tihani lalu mengucup lembut bibir gadis itu.

Tihani terpana. Fikirannya kosong. Bulat matanya merenung Fendi. Perlahan Tihani menolak dada bidang lelaki itu. Fendi dapat merasakan nafasnya tak keruan. Cuba sedaya-upaya menahan gelora yang menghempas hebat naluri lelakinya. Mata mereka masih bertaut.

“Hani, I love you.”

Kencang degupan di dalam dadanya masih belum surut, ingin saja dia mendakap tubuh gadis itu.

“Along, apa ni?”

Airmata Tihani menitis. Sedih. Dia telah mengkhianati Faizal. Curangkah dia? Rasanya dia tidak membalas kucupan Fendi itu tadi.

“I’m so sorry, along salah. Along pun tak sedar.”

“Tak sedar? Along sengajakan?”

“Tak sayang, tak! Along sendiri tak tahu apa yang along dah buat. Along minta maaf.”

“Along kata tak akan desak Hani bukan?”

“Along tahu. Tapi, tadi along tak boleh kawal diri. Along tak sedar. Ianya spontan. Along betul-betul minta maaf. Along sayang Hani. Sayang sangat! Hani tahu tak?”

Tihani tunduk. Tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Tidak mampu membalas renungan tajam lelaki itu. Dia bukan marah. Dia bukan benci. Tapi dia rasa bersalah. Bersalah pada Faizal.

“Hani, I’m really really sorry. Tolong maafkan along. Tolong jangan benci along.”

Fendi mencapai jemari gadis itu lalu menggenggamnya erat. Tihani masih diam. Perlahan tangannya ditarik semula. Pantas dia bangun dan berlalu meninggalkan lelaki itu.

“Hani, please.. Hani! Hani!”

Jerit Fendi bila melihat Tihani berlari ke kamarnya.

“Arghh!!”

Satu tumbukan dilepaskan pada sebuah kusyen kecil di sisinya. Dia geram. Dia kesal. Kenapalah dia bertindak bodoh seperti itu? Ini adalah kesalahan pertamanya kepada Tihani. Kesalahan yang besar. Pasti Tihani amat kecewa dengannya. Dia sudah membuat Tihani marah. Dia sudah membuat gadis itu membencinya.

3 Suara Merdu Anda:

Strawberi Comei said...

best2...smbg2..xsabar nk tgu next n3...

Ana Joe said...

sian hani stil teringtkn ex-hsband dy,,

hani said...

yg pergi tetap pergi, hani teruskan hidup gan fendi yg begitu mencintainya...masukan nxt n3 cepat2 ye...

Post a Comment