Kamal Oh Kamalia 3

Hari ni aku ternampak Azlin kat Kafeteria. Tengok dia gelak dari jauh dah cukup buat aku bahagia. Dia gelak cantik. Bibir dia nipis tapi lebar. Kalau dia gelak boleh nampak gigi taring dia yang tumbuhnya senget sedikit. Itulah yang buat dia cantik bila gelak. Suka betul aku tengok. Ah, sudah aku ni, kalau dah suka tu sampai gigi taring dia pun aku puji. Haru biru betul. Kalau dia makan sorang-sorang hendak saja aku pergi dekat dia, tapi dia bawa geng. Empat orang pulak tu. Bilalah aku dapat tegur dia. Dah lama rasanya nak buat macam tu. Asyik tak menjadi saja. Tiba-tiba bahu aku ditepuk. Aku menoleh. Iqbal dan Dina rupanya.

“Tak habis-habis lagi?”

Aku menyiku Iqbal. Segan pulak dengan Dina. Gadis itu tersenyum manis.

“Dina dah tahulah. Tak payah nak sorok-sorok lagi.”

“Oh ya ke? Err.. Dina, kau kenal tak girl tu?”

“Azlin Nasihin?”

Aku mengangguk.

“Tak pernah bersembang pun dengan dia. Cuma kalau terserempak tu, adalah aku senyum-senyum dengan dia.”

“Iya? Hmm, rasa-rasanya kalau aku senyum kat dia, dia balas tak?”

“Eh, tak tahulah aku. Dengan aku okey aja. Dengan kau, aku tak tahulah dia layan ke tak.”

Ini yang aku malas ni. Rasa tak yakin saja. Nak senyum takut tak dibalas. Buat malu kaum saja. Nak tegur lagilah tak berani. Aku pamer muka kelat.

“Macam nilah Mal, kau try dulu senyum kat dia. Kalau respon dia baik, barulah kau tegur.”

“Masalahnya aku nak senyum macam mana? Dia pandang muka aku pun tak.”

Iqbal tergelak. Ni yang aku malas ni. Iqbal ni bukan saja murah sengih, malah ramah gelak. Sikit-sikit nak gelak, sikit-sikit nak gelak. Macam aku buat lawak Mr. Bean pulak.

“Woi, agak-agaklah. Kot ya pun nak gelak pandang-pandanglah keliling.”

Aku tegur sambil pamer muka kelat lagi. Dina menampar bahu Iqbal.

“Awak, sudahlah. Tak baik gelakkan Kamal tau.”

“Okey sorry-sorry, tapi gelihatilah, tak tahan tengok muka Kamal ni wak..”

Aku jeling geram. Si Iqbal ni, siap kau balik rumah karang!



***********


Sambil bersiul-siul, aku basuh motor. Dah dua minggu tak basuh motor kesayangan aku ni. Motor aku ni, arwah abah yang beli. SPM aku agak cermerlang juga dan motor ini adalah ganjaran yang aku dapat dari abah. Abah kata dia bangga dengan kejayaan aku. Harapan abah supaya aku jadi contoh buat dua orang adik kembar aku, Amni dan Amna. Sekarang abah dah tak ada. Dah pergi tinggalkan kami sekeluarga. Tugas abah aku kena pikul sepenuhnya termasuklah menjadi wali kepada kedua-dua orang adik perempuan aku tu suatu hari nanti. Nasib baik juga ada pencen abah untuk mak teruskan hidup. Kalau tak, mahu aku berhenti belajar nak tanggung keluarga.

Aku ni datang dari keluarga sederhana saja begitu juga Azlin. Dia anak askar pencen, aku anak polis pencen. Aku sungging senyum. Macam dah jodoh saja aku dengan dia ni. Kisah hidup pun lebih kurang. Bezanya orang tua dia masih hidup. Aku mengeluh. Bila agaknya aku dapat pikat Azlin. Dalam hati aku ni cuak juga. Mana tahu dia sudah ada kekasih hati, terkulat-kulatlah aku memandang dia dari jauh.

“Basuh motor ke Kamal?”

Aku tersentak mendengar suara nyaring itu. Aku menoleh ke belakang. Oh, makcik Bedah Mancung rupanya. Terkejut aku. Kenapa aku gelarkan dia makcik Bedah Mancung? Sebab gigi dia jongang habis. Sampai nak tutup mulut pun tak boleh. Aku lempar senyuman buat makcik Bedah Mancung.

“Haah makcik. Kotor sangat motor ni. Sekarang baru ada masa nak basuh.”

Saja aku beramah-tamah dengan makcik Bedah Mancung ni. Wanita ni agak busy body sikit orangnya. Selalu buat mesyuarat tingkap di kawasan kejiranan ni. Ada pulak tu pengikut-pengikut dia.

“Eloklah. Dari kamu melepak tak tentu hala, cuci motor tu ada juga faedahnya, Boleh exercise, kan?”

“Ya makcik. Betul tu.”

Aku senyum tak ikhlas. Makcik Bedah Mancung ni bukan boleh dilayan sangat. Jenuh nak stop.

“Tak balik kampung ke hujung minggu ni Kamal?”

“InsyaAllah balik kot makcik. Mak pun dah suruh balik.”

“Ha, eloklah. Balik jenguk orang tua kamu tu. Sementara mereka hidup nilah kita kena jenguk selalu. Esok ni bila dah tak ada, baru terhegeh-hegeh nak rindukan mereka. Betul tak Kamal?”

“Ya, ya. Betullah tu makcik.”

Entah kenapa kata-kata makcik Bedah Mancung itu menyucuk ke ulu hati. Seolah-olah memerli aku. Abah dah tak ada. Masa ada hayatnya dulu aku jarang balik. Bila abah dah tak ada barulah aku rasa rindu sangat pada arwah abah. Kata-kata makcik Bedah Mancung itu tadi tepat terkena batang hidung aku. Aku tarik nafas dalam dan kedipkan mata beberapa kali. Mata aku terasa berkaca-kaca. Sayu.

Aku menoleh kebelakang semula. Makcik Bedah Mancung terbongkok-bongkok membetulkan pasu bunga dia. Cepat-cepat aku habiskan kerja dan menyimpan semua peralatan mencuci tadi ke tempatnya semula. Tiba-tiba saja aku hilang mood. Ni semua makcik Bedah Mancung punya pasal!

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment