Kamal Oh Kamalia 16

Hari ini adalah hari terakhir aku belajar dengan kak Effa. Pejam celik pejam celik dah seminggu berlalu. Aku sudah dapat menguasai teknik dan gaya yang di ajar dengan lancar dan jayanya. Malah lebih bangga aku tidak kekok memakai baju kurung. Sangat selesa. Latihan-latihan yang aku buat sambil memakai baju perempuan telah lulus pada pandangan mata kak Effa. Silap haribulan boleh dapat sijil ni. Aku tersenyum bangga.

“Hai lebar senyuman?”

Suara kak Effa membuat senyumanku mati serta-merta. Ish, potong stim betullah kak Effa ni. Aku hanya tersenyum malu pada kak Effa.

“Hmm.. kak..”

“Hmm?”

“Saya nak tanya pasal kos ni. Berapa ya kak?”

“Kamu dah banyak duit sangat ke?”

“Taklah banyak. Sikit-sikit tu adalah. Setakat nak bayar kak Effa tu bolehlah kot.”

“Betul ni? Jangan menyesal pulak.”

Eleh, nak mengugut akulah tu. Tapi dalam pada tu aku cuak juga. Entah-entah mahal tak?

“Berapa kak?”

Aku memberanikan diri bertanya.

“10,000.00?”

Hampir tersedak aku dibuatnya. Sepuluh ribu? Biar betul kak Effa ni? Cekik darah betul! Aku berwajah kelat sambil terkebil-kebil merenung kak Effa.

“Tak mampu?”

Aku geleng perlahan.

“Sepuluh ribu rupiah. Tak mampu?”

“Ha? Akak..”

Kak Effa tergelak. Ada ke dikira dalam rupiah? Bengong betul kak Effa ni. Nasib baik aku tak kena heart attack tadi.

“Main-main ajalah. Tu pun nak gelabah.”

“Seriuslah kak. Berapa?”

“Dahlah Kamal. Akak malas nak berkira dengan kamu ni.”

“Tak bestlah macam ni kak.”

“Kamal dengar sini. Akak punya charges mahal tau. Kamu tak mampu nanti. Kali ni akak tolong kamu. Tapi kamu kena janji dengan akak. Pikat dia sampai berjaya. Boleh?”

“InsyaAllah kak. Saya cuba.”

“Bagus. Lagi satu, apa yang akak ajar ni untuk kamu memahami siapa perempuan. Bukan untuk kamu ubah diri kamu. Jangan kamu terpesong pulak ya. Kalau tak dengan akak sekali dapat sahamnya.”

Aku tergelak. Setelah berpamitan dengan kak Effa aku melangkah dengan seribu satu rasa. Bercampur baur perasan aku ni. Teruja ada, takut pun ada. Dapatkah aku tempuhinya nanti? Aku hanya berserah pada takdir. Walaupun aku memilih jalan yang agak terpesong, tapi demi Azlin Nasihin aku sanggup.

***

Aku tenung nombor telefon Azlin Nasihin. Kalau mata aku ni macam mata superman yang boleh keluar api tu, mesti dah tembus dah ni. Teragak-agak jari aku menekan nombor telefonnya. Apa yang aku nak cakap ya? Nanti tak dilayannya aku macam mana? Aku tarik nafas dalam-dalam. Mencari sedikit kekuatan bersama gemuruh di jiwa. Lantas aku memberanikan diri mendail nombornya.

“Hello, assalamualaikum.”

“Walikumusalam, Cik Azlin Nasihin ke?”

Aku mempraktikkan suara halusku. Jangan dia dengar bunyi macam bapok sudahlah. Sehalus mungkin suara itu aku kawal. Pernafasan dari perut kata kak Effa.

“Ya saya. Siapa ni?”

“Oh, saya dapat nombor ni dari seorang kawan.”

“Okey, boleh saya bantu?”

“Hmm.. cuma nak tanya pasal housemate tu, dah penuh ke?”

“Oh, itu. Belum lagi. Tak ada siapa yang call pun setakat ni.”

Memanglah! Dah nombor telefonnya aku rembat dulu. Jangan haraplah orang lain nak dapat.

“Hello?”

“Ha, ya.. sorry.”

“Awak berminat ke?”

“Minat. Tu yang call ni. Boleh ke?”

“Boleh sangat. Kita jumpalah ya?”

Yes! Pucuk di cita ulam yang datang.

“Okey, bila?”

“Esok?”

“Sure.”

Dia tergelak manja.

“Okeylah kita jumpa esok di rumah saya pukul 10.00 pagi. Boleh?”

“Sure.”

Hati aku melonjak girang sebaik menamatkan perbualan dengannya. Tak sia-sia usaha aku selama ini. Menjadi juga suara bapok aku ni. Aku rebahkan badan. Mula membayangkan wajah manisnya. Perbualan tadi adalah yang pertama kali. Pertama kali berbual panjang dengannya. Memang macam mimpi. Macam manalah kalau hari-hari dapat bersembang dengan dia agaknya? Ish, parah dah aku ni. Hmm, esok aku nak pakai baju apa ya? Penampilan pertama haruslah yang cantik-cantik. Nak kena make-up ke? Tak payahlah kot. Bukan nak pergi parti pun. Aku cuma nak jadi perempuan biasa-biasa saja. Harap-harap berjayalah. Amin.

“Apa hal yang kau dok amin sambil baring tu Mal?”

Iqbal dah tersengih depan pintu. Ada saja mamat ni. Kalau tak mengacau hidup aku sehari tak boleh gamaknya. Agaknya rasa macam miang satu badan kot. Aku berkalih dari baring terus mengiring. Sedar-sedar saja bahuku sudah terdorong ke depan.

“Oi, lu apa hal mat? Main kasar nampak?”

“Dah tu kenapa tak jawab soalan aku? Orang tanya elok-elok ada ke bagi punggung aja. Cis!”

“Jangan kacau akulah. Aku sibuk ni.”

Iqbal pandang keliling bilik aku. Meraba-raba tilam aku. Jenguk bawah katil aku. Apa yang dicarinya? Kemudian dia meribas-ribas selimut aku. Pelik pulak aku tengok kelakuan dia yang macam orang hilang akal tu.

“Oi tenuk, kau cari apa?”

Dia pandang aku sekilas. Matanya melilau sekeliling. Ish, naik rimas pulak aku tengok. Macam hilang sesuatu saja?

“Aku hempuk jugak kau karang. Kau cari apa ha tenuk?”

“Something.”

“Something? Apa dia?”

“Tadi bukan kau cakap kau sibuk ke?”

“Haah, kenapa?”

“Tu yang aku cari tu. Nak kata buat assignment tak nampak sekeping kertas pun atas meja. Nak kata tulis diari tak nampak apa pun atas katil kau? So, kau sibuk apa?”

Aku tepuk dahi. Itu ke yang dicarinya? Iqbal tersengih. Terus melompat atas katil aku.

“Habis yang kau cari sampai bawah katil tu kenapa? Nak buat gimmick?”

“Manalah tahu.. kau sorok perempuan.”

“Oit! Mulut kau longkang tau tak? Blah la.. balik bilik kau!”

Iqbal tidak mengacuhkan aku. Terus saja dia merebahkan badannya di sebelah aku. Seketika kami senyap melayan perasaan.

“Aku call dia tadi.”

“Siapa? Natrah?’

“Natrah apanya. Azlinlah.”

“Ha? Kenapa? Dia layan kau tak?”

“Layanlah. Tu pun kerana hal housemate yang dia cari tu.”

“Ok tak dia layan kau? Kau buat suara perempuanlah eh? Agak-agak dia cam tak?”

“Aku rasa tak kot. Sebab okey aja dia layan aku. Siap gelak-gelak manja lagi. Tu yang buat aku makin geram tu.”

Iqbal tergelak.

“Sabar Mal, jangan geram-geram kat anak dara orang. Tu baru kau dengar dia gelak aja. Macam mana kalau kau lepak dengan dia nanti? Aku percaya mesti banyak lagi aksi-aksi manja dia, yang buat kau geram, yang buat kau tak tahan. So, baik kau control perasaan kau tu sikit. Jangan nak ingat geram aja. Mission kau ni mission yang bahaya tau tak? Syaitan ada di mana-mana untuk menyesatkan kau.”

Aku terdiam mendengar khutbah yang keluar dari mulut Iqbal. Tapi aku akui apa yang dia cakap tu benar belaka. Jika aku tewas dalam ujian ini maka aku akan terjerumus dalam perangkap syaitan yang direjam.

“Berhati-hatilah bila bersama Azlin nanti. Aku dah cuba nasihat, aku dah cuba larang. Kau tak nak dengar. Kau kata kau tahu apa yang kau buat. Kau ikut kata hati. Padahnya nanti kau tanggunglah sendiri. Jangan cakap aku tak bagi warning pada kau. Jangan nak cakap aku tak nasihat kat kau. Aku sepak punggung kau nanti biar kau tertungging.”

“Baiklah ustaz Iqbal.”

Kami diam lagi. Sedikit sebanyak nasihat Iqbal tadi menusuk ke hati. Menyerap ke jiwa raga. Aku ni bukannya teruk sangat sampai tak boleh nak terima segala nasihat dan pendapat orang, cuma aku rasa macam tak ada jalan lain lagi untuk aku mendekati gadis pujaan aku itu.

“Esok dia nak jumpa aku.”

“Ha? Serius?”

“Yup.”

“Bila? Kat mana?”

“Kat rumah dialah. Dia suruh datang pukul 10 pagi. Kau temankan aku ya?”

“Eh, kenapa pulak? Bukannya aku boleh masuk pun. Nanti dia fikir apa pulak.
Nanti dia ingat aku ni boyfriend kau. Belum apa-apa lagi dah bawa jantan ke rumah. Karang tak pasal-pasal kena reject. Macam mana?”

Betul juga.

“Ha, ajaklah Dina sekali. Aku cakaplah Dina tu kawan aku.”

“Hmm, nantilah aku tanya dia. Pukul 10 eh?”

“Yup.”

“Bal, aku nak pakai baju apa eh esok?”

“Ish, sikit punya banyaklah baju yang dibeli. Pakailah baju apa pun. Bukan dia nak tengok baju kau, dia nak tengok rupa ayu kau aja.”

Iqbal tergelak.

“Tapi first impression tu penting Bal. Nanti dia tengok aku selekeh aja dia tak nak pulak.”

“Kan dah belajar grooming dengan kak Effa? Ha, praktikkan ajalah.”

Kami diam lagi.

“Aku pakai baju kurunglah ya?”

“Suka hati kaulah. Tapi aku nasihatkan kau sikit ni.”

“Apa dia?”

“Kau janganlah lawa-lawa sangat. Karang aku pulak yang terjatuh cinta pada kau.”

“Hoi!”

Iqbal berlari ke luar bilik aku demi mengelak sebiji bantal mendarat ke badannya. Aku merengus geram. Suara Iqbal yang galak mentertawakan aku, tidak aku endahkan. Biarkan ia berlalu begitu saja.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment