Kamal Oh Kamalia 18

Sehabis sopan aku duduk di sofa sambil menonton tv di ruang rumah baruku ini. Sedaya mungkin aku mengawal cara duduk dan tingkah aku supaya aku benar-benar kelihatan lembut seperti perempuan.

“Mal, minumlah.”

Azlin meletakkan secangkir kopi sambil tersenyum manis. Getar di dadaku ini cuba ku buang jauh-jauh sambil membalas senyumannya itu.

“Terima kasih. Susah aja. Mal boleh buat sendiri.”

“Tak apalah sambil-sambil Lin buat untuk Lin apa salahnya buat untuk Mal sekali kan?”

Aku tersenyum sambil menyisip kopi yang masih panas itu. Sedapnya kopi dia buat. Ini yang buat aku semakin sayang pada dia. Ini baru kopi, agaknya apa rasa masakannya pula. Ah sudah aku ni, dah mulalah terpesong jauh.

“Mal, kat rumah tak payahlah pakai tudung. Tak panas ke?”

Alamak, macam mana ni? Aku pakai sebab nak tutup halkum dan dada aku ni. Betul kata Iqbal, tak akan dalam rumah pun nak pakai tudung? Macam tak logik. Sekarang Azlin pula yang bertanya. Aku nak jawab apa?

“Err.. dah biasa.”

“Dah biasa?”

Aku tersenyum sumbing. Tak mampu nak tengok mata Azlin yang cantik tu.

“Oh ya, Lin. Err.. malam-malam Mal tak tidur sini ya?”

“Eh kenapa pulak?”

“Sebab Mal kerja. Shift malam.”

“Iya? Kerja kat mana?”

Alamak, kerja kat mana ya? Aku garu kepala yang berselaput tudung.

“Err.. kilang.”

“Kilang mana?”

“Tu dekat kawasan perindustrian depan tu. Kilang eletronik.”

Cepat-cepat aku berhelah. Pandai sungguh kau Kamal. Makin bertambahlah saham dosa kau. Menipu dan terus menipu. Nasib baiklah memang ada kilang elektronik di sini, jika tidak habislah kau Kamal. Aku bermonolog sendiri.
Aku melakar sedikit senyum tipis padanya. Aku harap dia faham kehendakku. Azlin mengangguk perlahan. Dia kelihatan termenung seketika.

“Nampakanya malam-malam Lin tetap tinggal soranglah ya. Lin ingat ada geng.”

“Tak apalah siang-siang Mal ada.”

Aku cuba haluskan suaraku seboleh mungkin. Harap-harap bunyinya tak macam pondan yang sedang memikat pelanggannya. Bukan senang nak keluarkan suara dari perut. Ingat senang punya kerja ke? Kalau tidak kerana benar-benar terdesak aku tidak akan memilih cara ini.

“Siang Mal kerja juga ke?”

“Err… tak. Study.”

“Eh iya? Study kat mana?”

“Cosmopoint.”

Hentam sajalah. Tak akan aku nak bagi tahu kat mana aku belajar sebenarnya? Habislah identitiku.

“Oh gitu, motor kat luar tu memang Mal punya ya?”

“Haah.”

“Macam orang lelaki punya motor. Ranggi.”

Azlin tergelak kecil. Habislah aku! Dia dah mula nampak dan mula selidik. Nayalah aku kali ni. Apa pula alasanku kali ini?

“Oh, sebenarnya tu motor sepupu Mal. Dia dah beli kereta. Jadi motor tu dia bagi pada Mal.”

Azlin mengangguk perlahan. Syabas Kamal! Syabas! Kau memang bijak mereka alasan demi alasan. Harapnya menjadilah pembohonganku ini. Maafkan aku Azlin. Aku terpaksa mencipta satu demi satu pembohongan demi menutup kepincangan ciptaanku sendiri. Sungguh aku tidak berniat begitu. Namun demi dirimu aku sanggup meredah lautan api sekalipun.

“Pukul berapa masuk kerja?”

“Pukul 7 lebih karang Mal pergilah. Masuk pukul 8 malam.”

“Oh, sampai pukul berapa?”

“Err.. 6 pagi. Lepas tu Mal terus siap pergi kolej pulak.”

“Dari kilang?”

Aku angguk perlahan. Harap-harap dia percayalah. Air wajahnya kelihatan sedikit cuak. Bagai sudah dapat mengesan ceritera aku ni. Harap-harap tidaklah.

“Oh, bagus ya Mal ni. Rajin cari duit.”

Aku tersenyum kelat. Cari duit? Terpaksa menghabiskan duit lagi adalah. Sudahlah rumah sewa sini nak bayar, rumah sewa aku bersama Iqbal pun nak bayar. Bil-bil lagi. Dua rumah aku kena tanggung. Dah rasa macam ada dua isteri pula saja gayanya.

“Tak ada kerja cari kerjakan?”

Selintas kata-kata Iqbal tempoh hari bermain di kepala aku ni. Apa yang Iqbal cakap tu memang betul. Tapi tak mengapalah demi dirimu Azlin aku sanggup.

***

Aku meletakkan topi keledar di atas meja lalu menghempas punggung ke sofa. Kalau begini hari-hari lelah aku dibuatnya. Tudung aku tanggalkan, kain juga aku lucutkan. Bukan main panas lagi. Aku garu-garu kepala yang sedikit gatal akibat bertudung terlalu lama hari ini. Kesian rambutku ini langsung tak bernafas. Patut saja ramai perempuan sekarang tidak suka memakai tudung. Begini rasanya. Tapi bagiku tidak kira apa saja alasan yang mereka beri, memakai tudung itu wajib kerana rambut mereka adalah aurat yang patut disembunyikan.

Aku rebahkan badan pula. Kepala sedikit berdenyut lalu tanganku memicit pelipis kening. Untuk hari ini masih belum banyak maklumat yang aku dapat dari Azlin. Kerana aku masih memberi peluang untuk dia mengenali aku dahulu. Bertanya macam-macam tentang perihal diriku. Malah aku sendiri tiada niat untuk menyembunyikan apa-apa kecuali identitiku ini. Aku akan cuba perlahan-lahan meyakinkan dia untuk menerima cinta aku.

“Oit! Bila kau sampai?”

Iqbal agak terkejut melihat aku sudah berbaring di sofa. Di tangannya semerbak harum aroma mi segera yang baru dimasak. Asap yang keluar dari mangkuk itu melintuk-liuk menggamit aku untuk terus duduk.

“Kau buat untuk kau sorang je ke? Aku punya mana?”

“La, mana aku tahu kau nak balik. Pergi buat sendirilah.”

“Aku memang baliklah. Tiap-tiap malam aku balik. Tak akanlah aku nak tidur kat rumah dia pulak.”

“Manalah tahu.”

“Dah jangan nak mengarut. Sejahat-jahat aku ni, aku tak akan ambil kesempatan pada perempuan tau. Nak-nak perempuan yang aku sayang.”

“Aku pun harap begitulah.”

“Gaya cakap macam apa aja. Ingat aku ni teruk sangat ke?”

“Taklah teruk. Tapi apa yang kau buat ni memang teruk. Tak pernah dibuat orang.”

“Aku tahulah apa yang aku buat Bal. Kau tak usah risaulah.”

“Yelah Kamalia. Saya ikut saja apa yang Kamalia rasa betul.”

Aku menjeling Iqbal yang sudah pun tersenyum sambil tangannya mengacau mi segera. Aku sudah pun menelan liur mencium aroma yang semerbak mencucuk hidung. Laparlah pula rasanya. Aku bingkas ingin menuju ke dapur.

“Kamalia, awak nak ke mana tu?”

Laung Iqbal bila aku sudah mula masuk dapur. Terbongkok-bongkok mencari sebungkus mi segera di kabinet dapur. Ha, jumpa pun. Maggie Kari Berapi. Hah, hemtam sajalah. Perut aku sudah mula berdondang sayang ni.

“Bal!”

“Ya cik Kamalia?”

“Mana cili api kat dalam peti ais ni?”

Laung aku dari dapur tanpa mengendahkan usikan Iqbal itu. Mana pulak cili api ni? Semalam ada lagi aku tengok.

“Aku habiskan.”

“Ha? Teruklah kau Bal. Tak ingat orang belakang langsung. Aku nak makan macam mana ni? Tak ada cili api tak bestlah.”

“Cik Kamalia, tak elok makan pedas-pedas. Nanti jerawat tumbuh. Tak lawa nanti macam mana?”

Aku ke depan semula dan berdiri betul-betul di belakang Iqbal tanpa dia sedari. Di tanganku ada senduk kayu yang memang aku bawa khas untuk mengetuk kepalanya.

“Lagipun cik Kamalia, malulah sikit dengan cik Azlin yang cantik mulus pipinya itu. Awak tu muka macam kawah bulan. Spesis muka berminyak tahap boleh goreng pisang punya.”

Tanpa berlengah aku mengetuk kepala Iqbal dengan senduk kayu di tangan. Ha, rasakan kau! Sumpah jadi kera karang baru tahu!

“Apa ni? Sakitlah woi!”

“Bukan main lagi ya kau kutuk aku? Muka aku ni sikit punya licin kau kata macam kawah bulan? Meh sini aku kawahkan kau!”

Iqbal tergelak besar sambil menggosok kepalanya di bahagian yang aku ketuk tadi.

“Eh, kau tahu tak gaya kau sekarang sebiji macam makcik Bedah mancung sebelah rumah tu. Dengan baju kurung yang kainnya entah ke mana. Siap cekak pinggang dengan senduk kayu. Betul-betul macam makcik Bedah mancung.”

“Huh!”

Aku berpusing semula untuk melihat mi segera yang aku masak atas dapur. Sudah elok kembang agaknya.

“Oi, cik Kamalia! Tukarlah baju. Buruk benar pakai baju kurung, kain entah ke mana dengan bulu kaki bersepah-sepah!”

Terkekek-kekek Iqbal ketawakan aku. Suka benar nampaknya. Aku buat tak endah saja. Lebih baik aku tumpukan perhatian pada masakan aku ni. Cepat siap bolehlah aku makan dengan jayanya. Tapi kata-kata Iqbal itu tadi memang menggelikan hati. Bila aku perhatikan balik diri aku memang melucukan. Ini semua gara-gara rimas sangat pakai baju begini. Demi Azlin aku rela menderita. Aku rela sengsara.

Semangkuk mi segera Maggie Kari Berapi aku tatang ke depan. Iqbal masih belum menghabiskan makanannya. Mukanya merah padam menahan pedas. Itulah banyak sangat letak cili api sampai terjelir-jelir lidah. Sampai berhingus.

“Pedas sangat ke? Nak air?”

“Boleh jugak.”

Gelas aku yang berisi air sejuk itu ku hulurkan padanya.

“Thanks.”

Tanpa berlengah aku mengisi perutku yang lapar. Petang tadi aku hanya sempat makan dua keping roti bakar yang Azlin buat. Walaupun hanya roti bakar, tapi ia tetap sedap pada selera aku. Maklumlah buah hati pengarang jantung yang buatkan. Jika tidak sedap sekalipun aku tetap telan.

“Sekejapnya habis?”

Iqbal merenung aku dengan riak terkejut. Aku sendiri terkejut melihat mangkuk di hadapanku sudah kosong. Memang aku lapar tak terkira. Aku tersengih lebar padanya.

“Lapar beb.”

“Kau tak makan ke tadi?”

“Tak. Makan dua keping roti aja.”

Iqbal tergelak besar.

“Makin kurus melidilah badan kau nanti.”

“Nasiblah Bal. Bukan kau tak tahu orang perempuan kan suka berdiet. Jadi dengan aku sekalilah kena diet.”

Sekali lagi Iqbal tergelak. Hingga membuat aku turut tergelak sama.

“Tak apa demi Azlin Nasihin.”

Iqbal menepuk perlahan bahuku. Aku hanya mampu tersenyum. Demimu Azlin aku tabahkan hati. Akan aku redah lautan api. Eh, macam ada saja lautan api kat dunia ni, apalah kau ni Kamal. Ah, tak kisahlah.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment