Kamal Oh Kamalia 17

Dia menyambut kami dengan senyuman lebar di wajah. Manis. Aku bagai terpukau melihat keindahan di wajah itu. Berseri-seri, putih dan sangat halus kulitnya. Sebiji jerawat pun tidak menyinggah di wajah itu. Tidak berkelip mataku melihat gadis pujaan aku itu di depan mata kini. Tersenyum sambil menghulurkan salam. Bagai dipukau aku menyambut tangan lembutnya itu. Bergetar naluriku saat pertama kali bersentuhan dengannya.

“Jadi yang mana satu nak tinggal kat sini?”

Aduh, lunak merdu suara kau Azlin. Berlagu indah mengalun di telingaku. Boleh cair tahi telinga aku ni. Aku masih kaku sambil tersenyum manis padanya. Seboleh mungkin aku kawal tingkah aku. Dengan baju kurung warna jingga berbunga kecil serta tudung juga warna senada, aku pasti penampilan aku kali ini cukup sederhana. Tanpa secalit mekap di wajah, hanya sapuan lip balm saja. Itu pun Dina yang suruh pakai sebelum kami datang ke sini tadi.

Aku tersentak bila terasa Iqbal menyiku rusuk aku. Tenuk betul si Iqbal ni. Kalau aku melatah spontan tadi tak ke keluar suara macho aku? Dalam geram aku menjeling.
“Inilah orangnya. Dia ni pemalu sikit.”

Ramah Dina bersama senyuman manisnya. Azlin juga tersenyum senang sambil merenung aku.

“Tak perlu malulah. Kita kan nak tinggal sebumbung. Oh ya, saya Azlin Nasihin binti Idris. Panggil Lin cukup.”

Alamak, aku terlupa! Siapa nama aku? Apa nama aku? Macam manalah boleh tak ingat nak reka satu nama perempuan ni? Alahai, macam mana ni? Aku mula gelabah. Tiba-tiba terasa meruap-ruap satu badan aku. Risau terkantoi aja ni. Aku tarik nafas dalam. Rileks Kamal rileks.

“Saya Kamal…lia. Ya, Kamalia.”

Spontan nama itu meluncur laju dari bibirku. Kamalia? Aduh, macam manalah nama itu yang keluar pulak? Tak ada commercial value langsung! Aku lihat Iqbal dan Dina mengulum senyum. Ha, tahan gelaklah tu! Macamlah aku tak tahu. Dua-dua muka dah merah padam.

“Oh, Kamalia. Nak panggil apa ya? Lia ke?”

Sebaik mendengar soalan Azlin, Iqbal terus meledak tawanya diikuti Dina. Hantu kubur betul dia orang ni! Terkekek-kekek ketawa sambil tangan menekan perut. Memang sehati sejiwa. Patut saja boleh jadi pasangan kekasih. Azlin Nasihin kelihatan terpinga-pinga dan aku cuma mampu tersengih.

“Kenapa? Apa yang tak kena?”

Soalan Azlin membuat aku cuak. Aku siku rusuk Iqbal menyuruh dia diam. Kalau dapat gelakkan aku memang tak sedar diri langsung. Siap korang kalau plan aku ni tak jadi!

“Oh, tak ada apa. Sorry ya.”

Cepat-cepat Dina memohon maaf di atas sikap mereka yang agak keterlaluan itu.

“Panggil Mal aja.”

Dalam mengawal suara halus aku cuba tersenyum.

“Mal? Macam nama lelaki ya?”

Aku jeling Iqbal dan Dina lagi. Mereka masih mengulum senyum tapi kali ini pandangan mereka di hala ke lain. Buat-buat tengok jalan rayalah, tengok pokoklah. Memang nak kena betullah dia orang ni. Tidak terfikirkah mereka kelakuan mereka itu boleh menimbulkan syak wasangka dari Azlin? Macam orang tak pergi sekolah!

“Err.. dari kecil dipanggil begitu.”

“Oh ye ke.. so, jomlah masuk boleh tengok bilik Mal.”

“Okey.”

Aku dan Dina melangkah ke dalam meninggalkan Iqbal di keretanya. Berdebar-debar aku ketika masuk ke rumah itu. Rumah orang perempuan, siapa yang tak rasa cuak? Macam tak percaya saja aku akan tinggal bersamanya di sini. Aku mengekorinya ke bilik yang bakal menjadi milikku tak lama lagi. Selesa. Ada katil bujang dan almari.

“Sorrylah. Tak ada hiasan apa-apa pun. Mal boleh decorate bilik ni ikut citarasa Mal ya.”

Aku mengangguk perlahan. Dina tersenyum lebar sambil mengangkat kening. Entah apa yang dia cuba beritahu, aku sendiri tak faham. Lantak kaulah!

“Dapur di sana dan bilik air pula di sana.”

Tutur Azlin dengan lembut. Sopan betul tingkahnya. Membuat aku serba tak kena saja dari tadi. Macam mana nak berdepan dengan dia hari-hari ni? Sehingga kini masih saja debar aku belum surut, apa lagi nak hadap hari-hari. Sabarlah wahai hati.

Azlin menjemput kami berdua duduk. Kami hanya berbual-bual kosong. Perbualan itu banyak dikuasai oleh Dina dan Azlin saja. Aku hanya menyampuk sekali-sekala. Tak tahu sebenarnya nak menyembang apa sebab mereka sudah buka bab-bab orang perempuan. Sedang aku tak tahu sangat pasal alat solek, pasal salun, pasal spa. Hanya mengangguk, pura-pura faham. Tapi sekurang-kurangnya aku tidak lokek senyuman. Itu adalah tip yang kak Effa beri jika aku tak tahu nak berbual-bual. Azlin juga menjelaskan tentang bil-bil dan kadar sewa yang aku patut kongsi dengannya dan aku memberitahunya akan berpindah dalam masa terdekat.

***

Salam Mal.

Sorry kacau Mal lagi. Jangan marah ek. Nat dan family sihat dan Nat harap Mal pun sama. Nat rindu Mal. Rindu sangat-sangat. Rasa nak peluk Mal aja macam dulu-dulu. Hehehe..

Oh ya, minggu depan Nat start cuti semester. Lama tau Nat cuti. Nat rasa nak balik Malaysialah. Tapi Nat tak duduk kampung. Nat nak cari kerja sambilan. Nat akan lepak kat KL dengan kawan. Nanti bolehlah kita jumpa selalu, kan Mal? Hehehe.. tak sabar rasanya. Mal tunggu Nat tau.

Okeylah sampai sini dulu.

Salam rindu- bye.


Aku masih merenung bait-bait ceria Natrah lewat email itu. Dia nak datang sini? Habislah! Jangan sampai rosak program aku sudahlah. Apa mahunya Natrah ni? Padahal di Singapura jauh lebih baik peluang pekerjaan berbanding di sini. Malah gaji di sana lebih mahal. Apa perlu bersusah payah nak ke sini? Tak faham betullah aku. Ini tak lain tak bukan disebabkan aku. Sebab nak jumpa aku selalu. Aku garu kepala. Mula terasa rimas dengan Natrah. Pasti dia akan menyusahkan aku nanti.

“Mal, tunggulah!”

“Cepatlah! Lembab betul.”

Natrah berlari-lari kecil bersama aiskrim di tangan. Mengejar langkahku yang agak laju menuju ke tali air belakang rumah. Bersama buku cerita yang baru saja dibeli oleh ayah. Setiap kali aku mendapat buku cerita baru, tali air di belakang rumah inilah menjadi destinasiku. Tapi setiap kali itulah Natrah akan selalu mengekori aku.

“Mal, ada buku baru ek? Nat nak pinjam ya, boleh?”

“Lepas Mal habis baca!”

“Ok. Nat tunggu.”

Kami sama-sama duduk berlunjur sambil bersandar di sebatang pokok Ketapang. Sambil makan aiskrim Natrah bernyanyi-nyanyi kecil. Aku mengerling dia dengan geram.

“Boleh diam tak?”

“Ala, Nat nak hiburkan Mal aja.”

“Tak payah. Bising!”

Natrah buat tak tahu saja. Dah biasa dengan sikap aku yang suka tengking-tengking dia. Jarang sangat dia merajuk. Apa lagi menangis. Natrah memang jenis yang tidak mudah putus asa.

“Argghhh!!”

Jeritan Natrah membuat buku di tanganku terlepas. Aku lihat aiskrimnya sudah jatuh ke rumput. Dia pula kaku merenung ke arah satu tempat.

“Nat, kau kenapa?”

“Tu.”

Muncungnya menghala ke satu arah. Katak? Aku nak tergelak. Muka dia pucat habis! Tiba-tiba datang idea nakal nak menyakat dia. Aku cari ranting kayu. Tujuan aku nak cuit katak tu sikit. Sekali aku cuit, katak tu melompat ke arah Natrah membuat gadis itu menjerit bagai orang histeria lantas terus melompat ke atas riba aku dan memelukku erat. Aku tergamam seketika. Walaupun usiaku baru dua belas tahun tapi apa yang aku rasa itu sungguh tidak selesa.

Itu cerita lama dan Natrah tidak pernah lupa. Sehingga kini gadis itu terus memburu kasih dari aku yang aku sendiri tidak mampu nak bagi. Bagaimana lagi harus ku lakukan? Walaupun berkali-kali menolak dia tetap begitu. Dia tetap degil. Masih aku ingat lagi kali pertama dia meluahkan rasa hatinya padaku semasa di tingkatan dua.

“Mal, andainya Nat jadi bunga, Mal nak jadi tangkainya tak?”

“Soalan apa ni Nat?”

Aku pura-pura tidak mengerti.

“Ala, Mal jawab ajalah.”

“Hmm.. malaslah. Pergi baliklah jangan kacau Mal.”

“Jawab dulu.”

“Jawab apa?”

“Kalau Nat jadi bunga Mal nak jadi tangkainya tak?”

“Tak nak.”

“Kenapa?”

Suaranya mula mengendur dan sedikit bergetar. Mungkin tidak menyangka jawapan itu yang diterimanya.

“Saja.”

“Mana boleh saja. Setiap yang berlaku pasti ada alasan.”

“Tak ada alasan.”

“Okey. Tapi kalau Mal tak nak jadi tangkainya, Mal nak jadi apa?”

“Jadi racun. Boleh spray terus layu.”

Aku tergelak besar. Natrah memukul bahuku dengan bukunya. Muncung bibirnya jangan diceritalah, dah boleh buat sangkut baju gayanya.

“Teruklah Mal ni. Tak romantik langsung!”

“Nak romantik buat apa? Buang masa!”

“Mal ni kan.. tak faham ke buat-buat tak faham?”

Aku diam tanpa menoleh ke wajahnya. Jemariku ligat membuat latihan matematik.

“Mal, dengar tak ni?”

“Nat jangan bising boleh tak? Buat cepat exercise kau tu.”

Natrah tarik muncung sekali lagi.

“Mal memang sengaja tak nak faham kan?”

Aku mula terasa rimas. Nak tumpu perhatian pada latihan matematik pun dah tak boleh. Suruh balik tak nak balik. Nak kata study ke buat exercise ke tak juga. Entah apa yang ada dalam fikiran dia pun aku tak tahu.

“Mal, tengoklah sini bila Nat cakap!”

Aku mengeluh berat. Meletakkan pensil dan menghadap wajahnya yang sudah pun sedikit muram. Aku mengangkat kening sebagai isyarat bertanya.

“Siapa Nat selama ni pada Mal?”

Mak! Soalan apa ni? Berdegup hebat rentak jantung aku.

“Jawab Mal.”

“Err.. sepupu.”

“Selain tu?”

Aku geleng kepala perlahan dan mengalih pandanganku ke arah lain. Tak mampu untuk melihat ke matanya yang aku pasti sangat sudah pun berkaca-kaca.

“Mal, apa ertinya kalau Nat selalu saja mengikut Mal ke mana saja Mal pergi?”

Aku diam. Buntu.

“Jawablah Mal. Nat perlu tahu.”

Natrah bersuara perlahan. Ada sedikit getar yang mengiringi suaranya itu. Pasti gadis itu menahan sebak.

“Sebab kita sebaya dan satu sekolah. Sebab Nat sepupu Mal dan rumah pun dekat-dekat aja.”

Natrah tergelak sumbing. Aku renung wajah itu. Muram dan terpancar kesedihan. Aku harus bagaimana? Memujuknya? Itu bukan kepakaran aku. Buat tak tahu saja? Kasihan pula.

“Nampaknya Mal memang tak tahu kan? Mal, dengar ya apa yang Nat nak cakap ni.”

Aku merenungnya lalu mengangguk perlahan.

“Mungkin di mata Mal, Nat ni amat merimaskan. Ke hulu ke hilir asyik nak ikut ajakan? Macamlah tak ada kawan lain kan? Tapi percayalah Mal, Nat bukan sengaja mahu menyusahkan Mal. Cuma.. cuma Nat tak mahu berpisah dengan Mal itu aja. Nat mahu Mal sentiasa ada depan mata Nat. Mal nak tahu kenapa?”

Aku geleng perlahan.

“Sebab Nat.. Nat sayang Mal. Bukan setakat hubungan sepupu aja tapi lebih dari itu.”

Natrah tertunduk. Sedang aku rasa bagai nak terkeluar saja jantung mendengar bait bicaranya yang langsung tidak berkias itu. Cukup berterus-terang. Aku yang mendengarnya pun rasa malu.

“Maaf kalau Nat terlalu berterus-terang pada Mal. Sungguh, Nat tidak berniat nak menganggu pelajaran Mal dengan kata-kata Nat ni. Cuma Nat mahu satu kepastian. Nat mahu Mal tahu isi hati Nat selama ini. Demi Allah Mal, Nat tak mampu nak simpan lagi.”

Aku terkelu tatkala melihat airmatanya yang sudah pun menitis ke pipi lalu jatuh di tangannya. Getar hatiku hanya tuhan saja yang tahu. Aku harus bagaimana sekarang? Aku tarik nafas sedalam-dalamnya. Ingin membuang jauh-jauh rasa getar yang mula bertandang. Gila!

“Nat, dengar sini. Mal hargai apa yang Nat rasa pada Mal. Tapi maafkan Mal sebab Mal tak dapat nak balas. Nat sudah Mal anggap macam adik kandung Mal. Nat tak ada abang. Jadi Mal kena protect Nat dan Mal memang tak kisah kalau Nat sentiasa ikut Mal. Cuma untuk memberi rasa yang sama, itu tak mungkin berlaku.”

“Kenapa tak cuba bagi Nat peluang? Bukan ke Nat patut dapat peluang tu?”

“Betul. Tapi peluang tu langsung tak ada untuk Nat. Mal tak boleh tipu diri sendiri demi menjaga hati Nat kan? Itu lagi tak adil bukan? Lebih baik Nat tahu dari sekarang. Itu yang sebaiknya.”

Dan kata-kata aku tu membuat sendu Natrah makin kuat. Hingga membuat hatinya rajuk bukan sedikit. Hingga tidak mahu berjumpa denganku lagi. Sedikit sebanyak membuat hari-hari aku tidak ceria. Mungkin kerana sudah terlalu biasa dia mengekoriku ke mana saja. Natrah ibarat bayang-bayang aku saja. Namun, semakin kami dewasa semakin pulih hubungan kami. Aku bersyukur jika Natrah sudah boleh menerima hakikat itu. Namun sangkaanku nyata meleset sama sekali.

“Nat tak akan berputus asa Mal.”

Itu kata-kata terakhirnya padaku di saat-saat perpisahan kami. Natrah mengikut pak andak yang bertukar kerja dan menetap di Singapura sehingga kini. Maka sejak itu aku jarang sekali melihatnya. Setiap kali dia pulang ke kampung, aku masih di asrama. Sehinggalah baru-baru ni. Pertemuan yang membangkitkan semula kasih dan rindu Natrah padaku. Sedang hati ini telah ku serahkan kepada pemilik yang bernama Azlin Nasihin.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment