Wasiat Cinta 22

Tihani sedang menyiram bunga di halaman rumahnya. Rumah teres tiga bilik yang dibeli Faizal sebagai hadiah perkahwinannya. Lambang cinta Faizal.

“Sayang, inilah Taj Mahal abang untuk sayang.”

“Wah, cantiknya!”

Tihani menjerit sebaik turun dari kereta.

“Jangan jerit dulu, jom kita masuk tengok kat dalam pulak.”

Faizal menarik tangan isteri kesayangannya itu.

“Wah, cantikk!”

Jeritan Tihani semakin kuat. Bergema di segenap ruang kosong rumah yang baru dibeli itu.

“Sayang suka?”

“Suka sangat! Bila kita boleh masuk?”

“Abang ingat nak tambah grill, lampu hiasan dan letak wallpaper dulu. Mungkin dalam hujung bulan ni, kita boleh pindah masuk sini.”

“Terima kasih ya bang, sayangg.. abang.”

Tihani mengucup pipi suaminya. Faizal hanya tersenyum lebar. Terhibur dengan telatah isterinya itu. Sungguh dia bahagia hidup bersama Tihani. Alam pengantin baru masih dinikmatinya.

“Ini saja yang abang mampu.”

“Inilah namanya rezeki anak bang.”

Lamunannya terhenti bila terdengar bunyi enjin motor yang kuat dan bingit. Meluncur laju sebuah motorsikal mat rempit melintasi rumahnya. Bukan main laju lagi. Sengaja dipulas-pulasnya handle motor itu. Untuk menarik perhatian barangkali.

Sebaik terpandang Tihani yang sedang menyiram bunga, Azwan memperlahankan motornya dan berpusing balik menghala ke rumah gadis itu.
Tihani terkejut melihat Azwan singgah di rumahnya dan mematikan enjin motor. Apa hal pula mamat ni? Tak pernah-pernah Azwan singgah ke rumahnya. Ini mesti kes nak serang dirinya lagi.

“Hai,”

Azwan memulakan bicara.

“Awak nak apa?”

Jawab Tihani acuh tak acuh.

“Err, aku nak cakap sikit.”

“Awak, baik awak pergi dari sini. Karang mak awak nampak teruk saya kena serang lagi.”

Peristiwa di pasaraya tempoh hari masih segar bermain di kotak fikirannya. Mana mungkin dia lupa. Mak Jah telah memberi amaran kepadanya supaya jangan menganggu mereka. Dan dia juga tidak mahu dituduh pengganggu keluarga orang kaya itu. Kata-kata kesat mak Jah tempoh hari masih berbekas di hatinya.

“Ha, pasal tulah aku nak cakap.”

“Tak ada apa yang nak dicakapkan, semua dah berlaku. Baik awak pergi. Saya tak mahu dituduh mengganggu keluarga awak.”

“Aku datang ni, nak minta maaf bagi pihak orang tua aku.”

“Hah?”

Sejak bila pula Azwan ini menjadi anak yang baik? Setahunya Azwan ini kerjanya menghabiskan beras, pemalas, penganggur, kaki merempit. Suka mengganggu anak dara orang yang lalu lalang. Dirinya juga tidak terlepas diganggu oleh Azwan and the gang.

“Aku nak minta maaf bagi pihak keluarga aku. Aku pun tak tahu kenapalah ayah aku tu gatal sangat. Sampai mak aku geram kat kau, maki hamun kau. Sorry ya.”

Wajah Azwan kelihatan sedikit kesal.

“Tak apalah, dah berlaku pun.”

“Mana boleh tak apa. Aku betul-betul minta maaf ni.”

“Okey, saya maafkan. Sekarang awak boleh pergi.”

“Amboi, menghalau nampak? Yelah aku pergi ni.”

Azwan tersengih. Enjin motorsikalnya dihidupkan semula.

“Tihani! Kau sekarang makin lawa ya?”

Azwan tersengih lagi. Tihani pula mencebik. Mahu saja dia memancutkan air pili ke muka lelaki itu.

“Pergilah cepat dan jangan datang lagi.”

Azwan yang masih tersengih macam kerang busuk itu berlalu pergi dan meninggalkan kesan bunyi yang amat bingit.

“Apa hal tu?”

Kepala puan Mariam terjengah-jengah di muka pintu.

“Si Azwan rempit ummi, datang minta maaf.”

“Minta maaf? Kenapa? Apa yang dia buat kat kamu?”

Puan Mariam mula cuak. Tak habis-habis keluarga itu mengganggu anaknya. Mula-mula pak Hassan, kemudian mak Jah kini Azwan pula.

“Tak ada apalah, ummi ni cepat betul buruk sangka. Dia minta maaf bagi pihak orang tuanya.”

“Aik? Sejak bila budak tu jadi baik?”

“Sejak hari ini kot mi.”

Tihani tergelak. Puan Mariam mencebik lalu masuk semula ke dalam rumah semula.


*****


Selesai makan malam Tihani mengambil angin di buaian besi. Merenung jauh ke langit yang tinggi. Bintang yang berkelipan sungguh indah laksana permata yang bertaburan. Matanya beralih ke arah telefon bimbitnya. Bunyi sms masuk. Tihani memerhati nombor si pengirim. Encik Saiful?

‘I missed you.’

Ringkas saja mesej itu. Cukup membuat hatinya bergetar halus. Dia tidak membalas. Tidak tahu nak balas apa. Nada pesanan ringkas telefonnya berbunyi lagi.

‘Saya sedang memikirkan awak saat ini.’

Tihani tersenyum. Baru saja dia ingin membalas, telefon bimbitnya menerima panggilan masuk. Dia tersentak.

“Hello.”

“Hai, tak tidur lagi?”

Saiful gugup.

“Belum, awal lagi.”

“Dapat sms saya?”

“Dapat. Apa yang encik fikirkan?”

“Hmm.. rindu kat awak. Fikir awak tengah buat apa sekarang, dah makan ke belum, pakai baju apa, pakai bedak sejuk ke?”

Tihani tergelak.

“Encik ni, ada ke pakai bedak sejuk? Kelakarlah.”

Saiful turut tersenyum. Rasa bahagia mendengar suara ceria Tihani.

“Please sayang, jangan panggil saya encik. Kita bukan dekat office. Panggil Saiful aja.”

Tihani terkedu. Sayang? Dia panggil sayang? Beraninya dia!

“Sayang? Are you still there?”

“Ya, encik janganlah panggil saya begitu. Panggil Hani pun cukup.”

“Okey, sorry my dear Hani and you too. Don’t call me encik. Formal sangatlah.”

“Tapi saya tak biasa. Kalau tak boleh panggil encik, saya panggil Mr.? Atau Bos ke?”

Tihani tersengih.

“Nope! Encik tak boleh, Mr. pun tak boleh, bos lagilah tak boleh.”

Suara Saiful tegas. Ada ke patut nak panggil Mr.? Bos? Ini tak boleh jadi. Kalau begitu sampai bila-bila pun hubungannya dengan Tihani tidak akan mesra.

“Okey macam ni, kat office awak boleh panggil saya encik Saiful macam staff lain. Tapi bila di luar office panggil saya Saiful aja. Deal?”

“Okey.”

Mereka terdiam seketika. Melayan perasaan masing-masing.

“Hani, saya betul-betul sukakan awak.”

Tihani menggelabah. Saiful sudah masuk topik yang dia tidak suka nak dengar.

“Encik… err, Saiful please..”

“Tak akan saya tak ada peluang langsung?”

“Awak, saya.. saya..”

“Awak dah ada orang lain?”

“Bukan macam tu. Hati saya ni masih pada arwah.”

“Sampai bila Hani? Sampai bila? Dah setahun lebih ni.”

“Awak tak boleh suruh saya lupakan dia macam tu aja.”

Memang dia tak boleh pun. Sampai bila-bila pun dia tak boleh. Terlalu banyak kenangannya bersama Faizal.

“Saya bukan suruh awak lupakan dia, sayang. Saya minta awak beri peluang pada diri awak, supaya mencintai dan dicintai.”

“Saya rasa saya tak layak dicintai.”

“What? Siapa cakap begitu?”

“Saya sendiri.”

Tihani tersengih. Walaupun dia tahu Saiful tidak boleh nampak. Saiful mengeluh berat. Buntu memikirkan cara untuk memujuk gadis itu.

“Hani, awak terlalu istimewa di mata saya. Mungkin di mata orang lain jugak. Cuba jangan merendah diri begitu. Kalau awak nak tahu, awaklah yang paling layak menerima cinta saya. Nama awak dah lama terukir dalam hati saya ni.”

“Tapi saya ni janda anak satulah, awak.”

“Ada saya kisah? Saya tak peduli langsung!”

Saiful geram. Memang dia tidak pernah peduli status gadis itu. Cintanya pada Tihani telah membutakannya.

“Memanglah awak tak peduli, keluarga awak macam mana pulak? Kalau big bos tahu, kena pecat saya nanti.”

Saiful diam. Cuba memproses kata-kata Tihani sebentar tadi. Ada benarnya juga. Bagaimana penerimaan keluarganya jika mereka dapat tahu gadis idamannya itu adalah janda anak satu?

“Kenapa diam? Betulkan cakap saya?”

“Hani sayang, I don’t care! I love you so much. Saya sanggup buat apa saja.”

“Sanggup? Sanggup tinggalkan keluarga demi saya? Sanggup tinggalkan harta demi saya?”

Tihani ingin menduga Saiful. Lelaki itu diam. Sanggupkah dia meninggalkan segala kesenangan yang dikecapi selama ini demi cinta Tihani? Tihani tersenyum sinis. Sudah dapat jawapan Saiful. Mungkin benar lelaki itu mencintainya. Tetapi lelaki itu juga tidak sanggup mengambil risiko. Memang dasar lelaki bermulut manis!

“Err, Saiful saya kena letak ni, anak saya menangislah.”

“Okey sayang, jumpa esok okey.”

“Ok bye.”

Saiful termangu di biliknya. Memandang ke siling. Mencerna perbualannya bersama Tihani sebentar tadi. Andaian Tihani benar belaka. Bagaimana kalau keluarganya tidak merestui hubungan mereka? Saiful masak benar dengan sikap mummynya yang terlalu menjaga air muka. Terlalu menjaga nama baik. Abang dan kakaknya juga menjadi mangsa ego mummynya itu. Mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Kononnya mahu mengembangkan bisnes, lalu dijodohkan anak masing-masing. Dia juga tahu dirinya pun tidak akan terlepas menjadi mangsa. Dia tidak mahu itu berlaku. Dia mahu berkahwin dengan Tihani. Mahu hidup dan menghabis hari tuanya bersama gadis itu.

5 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

fendi mana ek?

aqilah said...

ala......sibuk betullah si saiful ni!!!!!!!!!!!

IVORYGINGER said...

alahai penyibuk betul la saiful ni.
mana fendi??? cepat lah btindak. msk je miminag terus tihani tu klu dia jual mahal.
apapun tetap nk tihani ngan fendi. he...

Eijan said...

Cerita menarik...cuma nak komen mengenai background dan warna font yg digunakan...dicadangkan supaya menggunakan background dan warna font yang berwarna lebih terang dan contrast dengan backgound....sakit mata nak baca sebab warna font yg sgt lembut...

Nozi Danisya said...

eijan..
background blog ni warna hitam dear, so, font biru lembut..sudah sgt terang dan jelas..maybe your lappy lambat download background layout ni.. :) btw, thanks for reading n comments..

Post a Comment