Kamal Oh Kamalia 9

“Tapi nampak mereka sepadan benar.”

Langkah kakiku mati serta-merta. Cuba membuka telinga seluas-luasnya. Mak dengan mak andak bersembang tentang siapa? Aku menyelit di belakang pintu menghala ke dapur. Entah kenapa dada aku berdebar-debar semacam.

“Tapi mereka berdua masing-masing tengah belajar. Tak ganggu ke pelajaran nanti?”

“Ala, kak Diah, kita ikat dulu bukan nak suruh kahwin cepat-cepat.”

Goyang lutut aku. Aku dapat rasakan perbualan itu lebih menjurus tentang aku dan Natrah. Aku pasti sangat. Kenapa begini?

“Hendak ke dia orang tu?”

“Itu kak Diah kena pujuk Kamallah. Rasanya Natrah tak ada masalah.”

Confirm! Mak andak Bibah dan emak sedang berbincang nak satukan aku dan Natrah. Tak boleh jadi ni. Tak mahulah aku kahwin dengan perempuan yang tak ada tulang belakang tu. Lentok sana lentok sini.

“Hmm.. janganlah kau berharap sangat Bibah. Aku rasa Kamal tu sukakan orang lain.”

Yes! I love you mak. Mak memang best! Macam tahu-tahu saja hati dan perasaan ini.

“Eh, ya ke kak Diah? Tapi Natrah kata mereka saling suka sama suka.”

Ha? Apa? Suka sama suka? Kuntilanak punya Natrah! Pandai-pandai saja mereka-reka cerita. Suka-suki dia saja buat fitnah. Jaga kau!

“Entahlah Bibah nantilah aku tanya si Kamal. Tapi janganlah kau berharap tinggi sangat. Bukan aku tak nak kita berbesan. Dalam hal jodoh ni biarlah anak-anak sendiri yang tentukan pilihan mereka. Apa-apa jadi kemudian hari tak adalah mereka salahkan kita pulak.”

“Itu saya setujulah kak. Saya pun tak berharap sangat. Cuma kesiankan Natrah tu ha, dari kecil sukakan Kamal. Nak cakap malu. Jadi dia suruh saya wakilkan.”

“Ini dah kira merisik ni Bibah oi, adat manalah kamu ikut ni?”

Aku tergelak halus. Adat songsang mak. Janji kehendak hati tercapai. Aku tolong jawabkan dalam hati.

“Kalau ikut zaman Rasulullah, Khadijah yang merisik baginda dulu, tak gitu kak Diah?”

“Yelah, itu zaman Nabi. Sekarang ni zaman Datuk Najib.”

Hampir-hampir nak meledak tawa aku bila dengar mak jawab macam tu. Terhenjut-henjut bahuku menahan gelak.

“Itulah masalahnya masyarakat kita ni kak Diah. Apa yang kita buat semua nak ikut adat. Kadang-kadang sampai menyusahkan. Kat Singapore sana tak ada nak ikut adat-adat sangat kak.”

“Itu di Singapore. Kamu sekarang kat Malaysia. Kat negeri Perak pulak tu. Adat istiadat masih dijunjung. Kalau ikut adat orang Perak, mesti ada merisik. Masa merisik kena bawa sebentuk cincin. Lepas tu meminang pula, bawa lagi satu cincin untuk bertunang. Dah capai kata sepakat barulah disatukan..”

“Kena bawa cincin lagi?”

Aku tersenyum simpul mendengar mak andak mencelah. Seronok pula dengar perdebatan dua orang wanita ini. Gaya mak bercakap macam tak berapa setuju dengan cara mak andak yang semberono itu. Mak andak pula cuba meyakinkan emak yang sangat kuat dengan adat istiadat melayunya itu.

“Bukan ke dah menyusahkan pihak lelaki? Nanti nak kena duit hantaran lagi, barang-barang hantaran juga, duit mas kahwin lagi. Kalau boleh kita ringkaskan kita buatlah, ambil yang wajib-wajib aja kak Diah. Kan senang.”

“Memanglah susah sikit Bibah. Dah kita nak ambil anak dara orang, mestilah sanggup bersusah payah. Nak pakai tu bukan sekejap, seumur hidup tahu.”

Bidas emak pula. Semakin seronok aku mematungkan diri. Terasa macam ingin menyampuk dan menyokong saja cakap-cakap emak tu, tapi bila difikirkan semula kata-kata mak andak Bibah pun ada benarnya juga.

“Itu sebab ramai anak muda kita sekarang takut nak kahwin. Banyak sangat syarat-syaratnya. Macam jual anak pula. Kadang-kadang tu mak bapak yang lebih-lebih. Bak kata pepatah lebih sudu dari kuah.”

“Kalau benda remeh-temeh ni pun pihak lelaki tak boleh nak sediakan, bagaimana nak pikul tanggungjawab yang lebih besar bila dah jadi ketua keluarga nanti? Adat tetap adat Bibah, kita hidup dalam masyarakat.”

Lembut tutur kata emak membidas setiap hujahan yang meniti di bibir mak andak. Entah apalah reaksi yang mak andak pamerkan agaknya. Mak andak dengan cara modennya, mak pula masih dengan cara kampungnya. Tidak mahu debat di antara mereka merobek hati masing-masing sehingga terjadinya perbalahan, aku keluar dari persembunyian. Melangkah perlahan menuruni tiga anak tangga menuju ke dapur.

“Ha Mal, dah bangun?”

Tegur mak andak sebaik ternampak kelibat aku. Aku suakan senyuman mesra untuknya.

“Baru lagi. Sedap bau ni, masak apa?”

“Tu mak ada buat nasi lemak. Pergilah makan. Adif mana, tidur lagi?”

“Haah.”

Jawabku pendek sambil tangan ligat mengambil pinggan untuk bersarapan.

“Mak andak tak makan ke? Pak andak mana?”

“Dah, baru lepas. Pak andak kamu ke Penang pagi tadi.”

Aku diam. Menikmati nasi lemak emak yang harum itu membuat aku tidak berminat untuk menyambung perbualan.

“Manalah si Natrah ni, tak akan tak bangun lagi? Anak dara apalah. Kak, saya jenguk Natrah kejap ya. Kesian Kamal ni ha, makan sorang-sorang.”

“Yelah.”

Mak mengangguk sambil tersenyum kelat. Aku tahu sangat maksud senyuman mak itu. Pantang dia, jika mana-mana anak gadis bangun bila matahari sudah meninggi. Habislah kau Natrah kena reject dengan mak aku bulat-bulat. Aku gelak dalam hati.


****


Satu persatu pakaianku yang sudah emak lipat aku masukkan ke dalam beg. Sudah sampai masanya untuk aku pulang semula. Gerak tanganku terhenti bila terdengar bunyi ketukan pintu kamarku. Aku menoleh. Tersengih lebar Natrah di muka pintu yang sudah tersedia terkuak.

“Boleh Nat masuk?”

Natrah bersuara manja. Sedikit sebanyak menyelinap rasa getar dalam diri bila melihat wajah cantiknya itu dan alunan lunak suaranya. Aku lelaki normal okey. Bisik suara hatiku sambil menarik nafas sedalam mungkin.

“Hmm..”

“Mal nak gerak pukul berapa?”

“Tengahari karang.”

Selamba saja aku menjawab soalannya sambil membelakangi dia. Sebenarnya pakaianku sudah selesai aku masukkan ke dalam beg. Tapi aku buat-buat sibuk mengemas buku-buku di atas meja pula. Tak tahulah kenapa aku jadi tak keruan begini. Sejak dengar usul mak andak pagi tadi, aku rasa macam tak seronok pula. Walaupun aku tahu Natrah memang sukakan aku dari kecil, tapi bila orang tua sudah mula masuk campur, aku jadi tidak enak. Malah, Natrah sekarang semakin berani menggoda aku. Silap gaya terjebak juga aku nanti.

“Nat balik bila?”

“Papa pergi Penangkan, esok baru balik. Hmm.. mungkin lusa baru balik Singapore kot.”

“Hmm.. tak nak tinggal lama lagi ke?”

“Memanglah nak. Tapi bila fikirkan balik, Mal bukan ada pun, bosanlah Nat nanti.”

“Hmm.. Mal terpaksa balik. Assignment banyak sangat.”

Aku tidak berbohong atau mereka alasan. Memang aku sangat sibuk dengan tugasan yang diberi pensyarah. Aku pulang ke sini pun sebab tak nak kecilkan hati mak. Memang dah lama pun aku tak jengah mereka.

“Iya? Hmm.. Mal..”

Suara Natrah sudah berlagu lunak. Aku yang masih tekun mengemas buku-buku di meja hanya mampu memandang Natrah sekilas. Bukan apa aku takut dengan apa yang ada dalam kepala otak Natrah tu. Macam-macam boleh berlaku kalau aku tak hati-hati.

“I’m going to miss you, Mal.”

Kan aku dah cakap. Natrah sekarang sudah semakin berani. Tidak peduli lagi tentang keayuannya tercalar. Tidak berkias-kias lagi. Aku berpaling ke arahnya bila terasa jemarinya lembut menyentuh lenganku. Aku hanya mampu tersenyum hambar.

“Bila kita akan berjumpa lagi ya?”

“Entahlah Nat, Mal pun tak tahu.”

“Mal rajin-rajinlah turun ke Singapore. Nat janji akan memberi layanan istimewa pada Mal. First class tau.”

Natrah tergelak riang. Aku masih statik dengan senyum hambarku. Tak kuasa aku nak pergi ke Singapore sana. Nak-nak pulak kau ada Natrah. Terus terbantut keinginan aku itu.

“Tengoklah macam mana.”

“Hmm.. kalau tengok-tengok tu kira tak adalah ya? Dulu pun Mal cakap macam tu juga. Tapi sampai sekarang tak pernah pun Mal jejakkan kaki ke rumah kami lagi.”

Eh, bersungut pulak dia? Suka hati akulah!

“Mal..”

“Hmm..”

“Kalau Nat tanya sikit boleh tak?”

“Apa dia?”

“Hmm, Mal dah ada special girlfriend ke?”

Mak! Selamba badak saja minah ni tanya. Tak malu ke? Aku yang dengar ni pun naik segan rasanya. Memang Natrah sekarang semakin berani. Berani menzahirkan perasaannya. Mungkin dia memang tak nak selindungkan lagi apa yang dia rasa agaknya.

“Ada.”

Aku lihat wajah dia berubah. Maaflah Natrah. Aku tak tipu kau. Memang sudah terpahat nama Azlin Nasihin di hatiku ini. Natrah tersenyum kelat.

“Ada? Betul ke?”

“Betullah. Tak akan Mal tipu pulak.”

“Ooh..”

Berlagu panjang nada suara Natrah. Bukannya aku tak kesian melihat wajah hampanya itu tapi aku tak sanggup nak menipu dia. Aku rasa lebih baik begini dari dia terus mengharap.

“Mal..”

Ish, apa lagi ni? Lunak suaranya yang lembut itu cukup menggusarkan aku. Aku pandang dia sekilas. Dah mula dah buat aksi tak ada tulang belakang dia tu. Lentok sana lentok sini. Kalau ya pun nak goda aku, janganlah sampai menggeletis macam ni, boleh goyang iman aku tau. Ish, apalah nasib dapat sepupu macam ni.

“Kenapa Mal tak pernah reply mesej Nat? Call lagilah, langsung tak nak angkat. Email pun tak balas.”

Sedikit merintih suara Natrah. Tiba-tiba aku jatuh simpati pula. Kejam ke aku ni? Apa saja yang bersangkut-paut dengan Natrah pasti aku tak akan layan. Padahal jatuh cinta itu tidak salah. Dan bukanlah salah Natrah kerana terjatuh cinta pada aku cuma aku memang tak boleh nak terima dia. Aku hanya menganggap dia sebagai adikku saja. Pernah aku mencuba, bukannya tak pernah langsung okey, bukannya aku tak bagi sedikit ruang antara aku dan dia, tapi aku memang tak boleh. Ada saja yang tidak kena. Memang aku tidak serasi menjalinkan hubungan dengan Natrah lebih dari hubungan sepupu.

“Sorry, Mal sibuk.”

“Tak akanlah tak sempat langsung? Hari-hari Nat buka email, hari-hari Nat tunggu Mal reply mesej. Mal, Nat langsung tak penting ke dalam hidup Mal?”

Ah sudah, dia mula dah! Alahai Natrah, kenapalah kau tidak langsung mahu mengerti? Kenapa langsung tidak mahu menerima erti mengalah?

“Nat, maafkan Mal. Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyikan?”

“Jadi Mal bertepuklah sekali dengan Nat.”

Wajah sayu itu aku renung lembut. Bukannya tak kesian tengok dia macam tu. Natrah sabar menanti jawapanku.

“Maaf Nat. Mal dah cuba tapi tetap tak boleh. Maaf sangat-sangat. Mal harap Nat faham.”

“Mal minta Nat faham? Macam mana perasaan Nat? Mal faham tak?”

Aku terkedu. Pipi Natrah sudah dibasahi airmatanya. Sungguh, aku terus hilang kata-kata. Sungguh, aku memang tak boleh tengok perempuan menangis. Apalagi menangis kerana aku.

“Sampai hati Mal. Nat ikhlas Mal. Nat buang malu demi cinta Nat. Mal..”

Natrah gapai tangan aku. Sedikit sebanyak membuat naluriku bergetar.

“Nat sayang Mal.”

Pengakuannya itu membuat aku terpaku. Tuhan, akukah yang buta? Dalam getar aku cuba bersuara.

“Nat.. jangan begini. Cinta tak boleh dipaksakan. Mal pasti ada lelaki yang lebih baik untuk Nat di luar sana. Mal akan doakan yang terbaik.”

“Tapi Nat sayang Mal..”

Rintihnya lagi.

“Nat terimalah kenyataan. Kita hanya sepupu. Mal tak boleh bagi apa yang Nat mahukan. Maaf.”

Aku leraikan pegangan tangannya. Melangkah meninggalkannya bersama seribu satu rasa. Rasa bersalah, rasa kasihan, rasa geram. Aku tahu aku sedikit kejam. Tapi itulah yang terbaik untuk Natrah dari dia terus berharap pada aku. Maafkan aku sekali lagi Natrah. Ruang hatiku ini terlalu sempit untuk diisi oleh orang lain selain Azlin Nasihin.

1 Suara Merdu Anda:

Unknown said...

owh...
nikah atas family la nie?
suka3
smbung agiey^^

Post a Comment