Wasiat Cinta 7

Dari tingkap bilik, Tihani memandang Fendi yang sedang mendukung Mikhail. Tangannya sekejap menunjuk ke arah ayam-ayam yang berkeliaran, sekejap menuding ke atas, mendongak melihat burung sambil mulutnya terkumat-kamit. Barangkali sedang bercakap dengan Mikhail. Anaknya itu pun bukan main asyik lagi melihat ayam-ayam yang mencakar tanah. Sekejap kepalanya ke kiri, sekejap kepalanya ke kanan melihat pergerakan ayam-ayam itu. Seperti faham saja apa yang paklongnya cakapkan. Tihani tergelak kecil. Mikhail memang tidak banyak ragam. Tidak menyusahkan. Seperti tahu saja dirinya itu anak yatim. Malah anaknya itu agak serasi dengan semua orang. Pantang diagah, tersengih saja. Comel sungguh!

Matanya beralih merenung Fendi pula. Wajahnya saling tidak tumpah seperti Faizal. Warna kulit, bentuk fizikal, rambut dan senyuman semuanya sama. Cuma yang berbeza, Faizal mempunyai tahi lalat di dahi dan Fendi pula mempunyai lesung pipit. Memang menawan jika bekas abang iparnya itu tersenyum. Kadang-kadang sekali lihat seperti Faizal pula yang mendukung anaknya itu. Hatinya tersayat pilu. Kalaulah itu benar-benar Faizal, pasti dialah wanita yang paling bahagia di dunia ini.

“Kak Hani, maksu panggil breakfast.”

Tihani tersentak. Dia menoleh sambil tersenyum.

“Kak Hani tengok apa?”

Tanpa meminta izin terlebih dahulu, Mimi masuk ke dalam bilik Tihani. Memanjangkan lehernya menjengah keluar jendela. Patutlah! Geram hatinya bila yang dilihat itu adalah Fendi, yang sedang mendukung Mikhail di halaman rumah.

“Cepatlah, maksu tunggu tu.”

Tihani cuak. Mimi cemburukah? Dia mengekori langkah gadis itu menuju ke dapur.

“Ha, Hani mari makan. Tapi sebelum tu pergi panggil along dulu.”

“Tak apa biar Mimi panggilkan.”

“Tak payah. Biar kak Hani yang panggil, kamu tolong maksu.”

“Tapi..,”

Mimi ingin menyambung tetapi segera berlalu ke rak pinggan mangkuk setelah melihat puan Rosnah memberi isyarat mata kepada Mimi supaya jangan membantah. Tihani yang menyaksikan adegan itu segera ke halaman rumah untuk memanggil Fendi.
Pelik pula tindakan ibu mertuanya itu. Seperti sengaja memberi ruang antara dia dan Fendi. Sudahlah kejadian semalam masih berbekas di hatinya. Sedaya mungkin dia cuba membuang jauh rasa pelik yang bertandang. Mungkin dirinya terlalu merindui Faizal.

“Mikhail cayang, buat apa tu? Tengok ayam ya? Mari kat mama.”

Tihani menghulurkan tangan mahu mengambil Mikhail. Fendi tersenyum lebar. Saat dia menghulurkan Mikhail kepada Tihani, secara tidak sengaja juga tangannya terpegang jemari Tihani. Mereka berpandangan. Kaku seketika. Mikhail yang tergantung di tengah-tengah mula menggeliat. Pantas saja Tihani menyambar Mikhail dan mendakapnya.

“Ibu panggil makan.”

Perlahan suara Tihani, menahan getar. Rasa itu datang lagi. Aneh sungguh dirasakannya. Dia berlalu meninggalkan Fendi yang terkebil-kebil menahan debar di dada. Bagai kejutan elektrik meresap ke seluruh tubuhnya. Sama seperti apa yang berlaku semalam di depan pintu kamar Tihani. Dia menarik nafas dalam, seperti semalam juga, cuba mencari kekuatan. Langkah dihayun perlahan menuju ke rumah bersama gelora di jiwa yang maha hebat.

2 Suara Merdu Anda:

bibi said...

bestnye..hehe..thanx kak.suka2..

bid said...

bez la jln cter... cm kalu pnjgkan lgi jln cter lgi bes....
dh lmer xbc cter cmnie...
gud luck

Post a Comment