Wasiat Cinta 9

Seperti biasa selepas makan malam, Fendi akan melepak di pangkin halaman rumah. Dari jauh dia melihat Faizal termenung. Seperti berfikir sesuatu. Serius saja mukanya.

“Angah, kenapa ni? Ada problem ke?”

Fendi menegur sebaik melabuhkan punggung di sebelah Faizal. Faizal diam, tidak bereaksi.

“Angah? Are you ok bro?”

“Along, kalau angah tanya, along jawab dengan jujur tau.”

Akhirnya Faizal bersuara setelah lama mendiamkan diri.

“Apa dia? Macam serius aja?”

Fendi mula pelik. Jarang sekali adik kembarnya itu serius sebegini. Selalunya dialah yang paling ceria.

“Along, err.. along suka Hani?”

Lambat-lambat Faizal menyoal. Fendi tersentak. Ya Allah!

“Apa yang angah merepek ni? Teruk sangat ke along ni, sampai tak tahu hukum-hakam?”

“Jawablah dengan jujur along, angah tak marah. Jangan risau.”

“Hanikan isteri angah, tak mungkinlah.”

“Betul ke? Along pasti?”

“Astagfirullahalazim. Angah.. angah, berdosa tau haram hukumnya.”

“Tapi, along tetap sukakan Hani, kan?”

Gulp! Dia perlukan oksigen. Dia seakan tidak dapat bernafas. Faizal tahu? Bagaimana Faizal tahu? Fendi mula tidak senang duduk. Betul-betul tidak senang duduk. Kali ini dia terima saja apa yang bakal Faizal lakukan. Sekiranya penumbuk Faizal boleh menghilangkan rasa marah kepadanya, dia bersedia menadah muka. Jika dengan membelasahnya boleh menghilang rasa bersalahnya kepada Faizal, dia tidak akan melawan. Memang patut pun dia dihukum begitu. Memang tidak boleh dimaafkan!

“Kenapa along beralah pada angah? Kenapa along tak berusaha mendapatkan dia?”

“Hah?”

Fendi terpinga-pinga tidak faham dengan maksud Faizal.

“Angah terbaca diari along. Sorry.”

“Kau baca diari along?”

Oh no, no, no! Diari itu lebih banyak berkisar tentang perasaan dia kepada Tihani. Setiap ruang ada saja nama Tihani. Pasti Faizal sangat terpukul. Ini yang dia tidak mahu, ini yang dia tidak suka. Menjadi persaing adiknya itu.

“Kenapa along tak berterus-terang aja? Angah boleh cari lain, kan angah ramai awek. Along pulak hanya ada Tihani.”

Faizal kesal. Kenapa Fendi sentiasa beralah kepadanya? Dari kecil hinggalah ke besar.

“Dahlah tu, lupakanlah. Dah berlalu pun. Hani kan dah jadi milik angah.”

Mana mungkin dia akan merebut Tihani dari Faizal, jika Tihani sendiri tidak tahu tentang perasaannya. Dia hanya bertepuk sebelah tangan. Sedangkan gadis itu hanya nampak cinta Faizal saja.

“Mana boleh! Along selalu nak jadi hero. Sekali-sekala bagilah angah pulak.”

Faizal cuba melawak. Dia dapat merasakan aura tegang mula hadir. Mana mungkin isteri kesayangannya diminati lelaki lain. Dan lelaki itu adalah kembarnya sendiri. Dia rasa sungguh tercabar.

“Along cuma minta satu aja. Jaga Hani baik-baik, bahagiakan dia. Okey bro?”

“Kalau angah minta benda yang sama, along boleh buat?”

“Angah ni merepek apa? Along dah tak ada hati dah.”

“Along jangan tipulah. Dari cara along pandang dia dan layan dia pun dah boleh nampak.”

Fendi terkedu. Over sangatkah dia berhadapan dengan Tihani?

“La, mana ada! Along anggap dia macam adik aja. Trust me ok?”

Diam. Masing-masing cuba mengawal emosi.

“So, macam mana? Boleh ke along jaga dia? Bahagiakan dia?”

“Tak tahu.”

“Along, janji dengan angah boleh?”

Matanya tepat memandang Fendi. Fendi membalas renungan itu. Rasa bersalah menyerbu tatkala melihat mata Faizal sudah berkaca-kaca.

“Along janji, along akan ambil alih tugas angah untuk menjaga Hani dan zuriat kami. Along janji, along tak akan sia-siakan Hani. Along janji, akan besarkan anak angah seperti anak along sendiri. Along mesti bahagiakan mereka. Janji along! Janji dengan angah!”

Fendi terkasima. Airmata Faizal lencun di pipi. Faizal menangis?

“Angah! Jangan buat tindakan bodoh! Along tak dapat tunaikan janji angah dan along memang tak nak!”

Menyirap darahnya mendengar kata-kata Faizal sebentar tadi. Mana mungkin dia merampas isteri adiknya. Tidak mungkin! Kalau dia sekejam itu, sudah lama dia lakukan dulu. Sebelum Faizal cuba memikat Tihani.


Memori lapan bulan lalu seakan masih segar di kotak fikiran Fendi. Matanya dipejam rapat. Cuba mententeramkan emosinya yang bercelaru. Sedikit terganggu kebelakangan ini. Sampai kini rasa bersalah menghantui dirinya. Permintaan Faizal, sungguh berat untuk dia laksanakan. Sejak Faizal tahu perasaannya pada Tihani, sejak itu juga dia cuba menjauhkan diri dari pasangan itu. Seboleh mungkin dia mengelak. Dan rupanya itu adalah kali terakhir memorinya bersama Faizal. Kesal! Sungguh kesal dirasakan. Kesal dengan diri sendiri yang sengaja membenarkan jiwanya mencintai Tihani. Kesal kerana membiarkan hatinya selalu merindui Tihani. Kesal kerana tidak merelakan dan melepaskan Tihani dari hatinya. Kesal dengan kebodohan diri sendiri. Dan yang paling dikesali, dia tidak sempat meminta maaf kepada adiknya itu. Itulah yang membuat dia rasa bersalah sehingga kini.

2 Suara Merdu Anda:

Post a Comment