Wasiat Cinta 1


Untuk sekian kalinya Tihani termenung dan mengeluh di jendela kamarnya. Mengenangkan nasib diri dan masa depan yang masih panjang. Sesekali mengerling ke arah bayinya yang baru nak mengenali dunia ini. Satu–satunya anak lelaki tunggal yang dititip oleh arwah suaminya untuk dijaga dan dibesarkan dengan sempurna. Menjadi insan yang berguna pada bangsa dan negara. Ah, mampukah dia menggalas tugas seberat itu? Wajah mulus dan suci Mikhail yang baru berusia enam bulan itu direnung lembut. Selembut kasihnya yang melimpah ruah untuk anak kesayangannya itu. Lambang cinta agung Faizal, arwah suaminya. Bukti cinta yang tidak sempat langsung ditatapnya.

“Kesian,”

Hanya itu yang mampu diluahkannya. Tidak tahu ungkapan kasihan itu ditujukan untuk siapa. Pada arwah suaminyakah kerana tidak sempat untuk melihat zuriatnya? Padahal Faizallah yang paling gembira dan sangat prihatin sepanjang dia hamil. Atau pada si kecil yang tidak mengerti apa-apa itu? Mungkin ya. Kasihannya pada anak itu melangit tinggi kerana tidak sempat menatap wajah ayah kandungnya sendiri dan tidak dapat merasai kasih sayangnya. Atau kasihan itu untuk dirinya sendiri? Bibir mata mula terasa berat. Dalam usianya yang baru mencecah dua puluh lima tahun, dia sudah bergelar ibu tunggal atau lebih tepat dia sudah bergelar janda. Gelaran yang paling ditakuti setiap perempuan sepertinya. Dan dia amat pasti gelaran itu akan mengundang pelbagai masalah kemudian hari. Airmata mula mengalir laju. Nafas terasa sesak.

“Sampai hati abang,”

Dalam esak suaranya hampir tidak kedengaran. Sedih amat dirasakan. Suaminya pergi buat selama-lamanya di saat dia betul-betul memerlukan sokongan suaminya itu, di saat dia sarat mengandung sembilan bulan. Namun dirinya bernasib baik kerana dia masih ada ummi. Ibunya yang sudah uzur dan tidak kuat lagi. Tanpa umminya itu mungkin dia juga turut tersungkur. Tangisan Mikhail buat dia tersentak. Cepat-cepat dia mendapatkan si kecil yang sudah bangun itu. Mungkin lapar agaknya.

2 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

utk perempuan yg kematian suami dipanggil balu bukan janda. Janda utk perempuan yg bercerai biasa tu :)

Miss FF said...

Permulaan cerita yang baik tapi terlalu pendek.

Post a Comment