Wasiat Cinta 2


Fendi menghempaskan tubuhnya di atas katil. Penat sungguh dirasakan hari ini. Menghadap pesakit yang banyak kerenah. Matanya dipejam rapat sambil tangan memicit-micit dahi yang mula rasa berdenyut. Memikirkan laporan yang masih belum disiapkan, esok pagi pula ada mesyuarat yang harus dihadiri dan ditambah lagi dengan kehadiran doktor-doktor pelatih yang menjadi tanggungjawabnya. Otaknya mula membuat perhitungan samada untuk bangun mandi atau terus saja lena. Dalam berkira-kira begitu deringan telefon bimbit membuatkannya tersentak. Dengan malas dia mengeluarkannya dari poket seluar.

“Hello.”

Fendi bersuara malas sambil mata terpejam.

“Assalamualaikum along.”

“Walaikumsalam, ibu.”

Matanya masih lagi pejam.

“Hai, malas aja suara kamu ni, tidur ke?”

“Along penat bu. Baru balik ni, baju pun tak buka lagi. Ibu sihat?”

“Ibu sihat aja, tak usah risaulah pasal ibu. Kamu tu yang kena jaga diri, jaga kesihatan, jaga makan. Kamu dah makan?”

“Dah, ibu tak payah risaulah pasal along. Along bukan budak-budak lagi, tahulah along jaga diri ya.”

Tidak mahu mendengar omelan ibunya itu. Kalau dibiarkan sampai subuh pun tak habis.

“Ibu dah makan? Ibu masak apa hari ni?”

Sambungnya. Risau juga ibu yang sudah tua itu tinggal berseorangan setelah ayah pergi buat selama-lamanya.

“Dah, baru aja lepas. Ibu tak masak, si Mimi yang masak.”

“Mimi? Dia ada? Bila dia balik?”

Terbayang sepupunya si hitam manis.

“Haah, cuti semester katanya. Dia ada tanya kamu.”

“Tanya along? Tanya apa bu?”

Fendi membuka matanya. Tangannya masih memicit-micit dahi.

“Entahlah, asyik bertanya bila kamu nak balik? Agaknya dia rindukan kamu kot.”

“Hissy, ke situ pulak ibu ni. Tak ada maknanya rindu.”

Fendi rimas. Tidak suka dengan usikan ibunya itu.

“Oh, bukan ya? Ibu ingat dia rindu.”

Puan Rosnah tergelak.

“Ibu nak tanya ni, kamu tak nak balik ke? Hani telefon ibu tadi, katanya nak datang hujung minggu ni nak bawa Mikhail sekali.”

“Hani?”

Mendengar ibunya menyebut nama Tihani bingkas dia duduk. Denyutan di kepala seakan lenyap sebaik mendengar nama itu.

“Nak balik hujung minggu ni? Betul ke bu? Kalau macam tu along pun nak balik jugaklah, rindu pulak kat Mikhail.”

Tanpa berfikir panjang terus saja menyatakan persetujuannya untuk pulang. Senyum terukir lebar di bibirnya.

“Rindu Mikhail ke, rindu kat mama Mikhail ni?”

“Erkk..,”

Fendi tersentak. Aduh, kantoi! Sukar benar dia hendak merahsiakan sesuatu dari ibunya itu. Ibunya pula bagai tahu saja menebak hati lelakinya. Terasa air liurnya tersekat di kerongkong.

“Betullah tu, rindu Mikhail.”

“Amboi, sebut aja nama Hani bersemangat ya? Kalau tak tadi, suara macam orang tak makan sepuluh hari.”

Puan Rosnah tergelak lagi.

“Kiranya jadilah balik ni ya? Boleh ibu masak sedap-sedap hujung minggu ni. Dah lama kita tak makan bersama.”

“InsyaAllah bu, tak ada aral muncullah muka anak kesayangan ibu ni nanti.”

“Hmm, baguslah kalau macam tu. Okeylah ibu nak solat ni, kamu pun jangan tinggalkan solat tahu?”

“Ya bu, along tahulah. Okey ya bu, jaga diri baik-baik.”

“Yelah, tak usah risau pasal ibu ni. Assalamualaikum.”

“Walaikumsalam.”

Talian dimatikan. Dia mengeluh perlahan. Terbayang wajah lembut dan comel Tihani. Bekas adik iparnya, isteri kepada arwah kembarnya, Faizal. Dan satu-satunya gadis kesayangannya. Ah, rindunya…

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment