Kerana Sebuah Janji 8

Masing-masing diam membisu. Masing-masing keras macam patung memandang ke depan. Dani tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Seakan mulutnya terkunci rapat. Sedikit canggung bila pertama kali gadis itu bersama-sama dengannya di dalam kereta. Itu pun gara-gara sikapnya yang agak memaksa dan berkeras mahu menghantar Dahlia. Dia sendiri tidak mengerti dengan dirinya sendiri. Apa sudah jadi agaknya? Apa yang dia tahu semuanya bermula dari malam tadi. Malam di mana Dahlia jatuh pengsan. Malam di mana dia dapat menyaksikan seorang Dahlia dari jarak yang dekat. Malam di mana, hati lelakinya mula goyah.

Dahlia di sebelah dipandang sekilas. Gadis itu masih membisu. Merenung jauh ke luar tingkap menyaksikan pemandangan yang menyesakkan dada di pagi hari. Menyaksikan kehidupan warga kota yang tidak pernah sunyi dengan urusan masing-masing. Malah kota besar ini, tidak pernah tidur. Tidak pernah mati. Ada saja yang berlaku baik siang mahupun malam.

Merasakan suasana bisu itu adalah sesuatu yang melemaskan, Dani cuba mencari topik perbualan. Dahlia masih setia dengan kebisuannya. Marahkah gadis itu? Adakah dia terlalu memaksa tadi? Jika dia tidak berkeras tadi, pasti gadis itu akan terlambat sampai. Malah peluangnya untuk bersama Dahlia pagi ini pasti tidak akan tercapai. Dani tersenyum nipis. Memuji diri sendiri kerana bertindak cepat. Namun dia tidak menyangka pula ada sedikit getar yang menggoncang dada. Ada sedikit payah untuk berbicara. Dia akui, tidak pernah sekalipun sebelum ini lahir tutur kata yang lembut bila bercakap dengan gadis itu. Ada saja caranya unutk dia terus menyakiti hati Dahlia. Ingin membuat gadis itu tidak senang duduk di rumahnya itu.

Dahlia masih diam. Sedikit geram pada Dani kerana memaksa dia menaiki keretanya. Mujurlah dia benar-benar dah terlambat hari ini, jika tidak dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Malah, jika boleh dia langsung tidak mahu termakan budinya. Cukuplah dia menumpang kasih Zarina dan arwahnya Hishamudin. Cukuplah dia menanggapi kata-kata sinis yang sering keluar dari bibir lelaki itu. Dani tidak pernah peduli dia tersinggung atau tidak. Dani tidak pernah peduli betapa sakitnya hati mendengar bait bicaranya yang bagaikan sembilu. Sering mencucuk hati setiap kali berbicara. Namun, sudah sifat lahiriahnya yang tidak suka melawan cakap. Tidak suka membentak dan membantah. Malah, dia sedar dirinya hanya menumpang jadi dia perlu menjaga tingkah.

“Kenapa diam aja? Marah kat aku ke?”

Dani menoleh sekilas bila tidak mendengar sahutan dari Dahlia. Gadis itu masih ingin membisu.

“Dahlia,”

“Tak.”

“Habis tu kenapa senyap aja?”

“Awak nak saya cakap apa?”

Dani terdiam. Tidak tahu nak jawab apa. Penyudahnya sama-sama senyap semula. Dahlia pula hanya menunggu soalan yang bakal keluar dari bibir Dani. Tidak perlu susah payah dia memikirkan topik perbualan dengan lelaki itu, tugasnya hanya menjawab soalan saja bila ditanya.

“Kau dah okey ke?”

“Hmm.. dah. Thanks.”

Dani tersenyum nipis.

“Hmm… kalau aku tanya sikit boleh?”

“Apa dia?”

“Tentang wasiat tu.”

“Oh.. apa yang awak nak tahu?”

“Hmm.. kau dah fikirkan?”

“Awak dah fikir?”

“Aku tanya kau.”

“Hmm.. masih berfikir.”

“So, tak ada jawapan lagilah?”

“Awak dah ada jawapan ke?”

“Aku kan tanya kau, kau janganlah jawab soalan aku dengan soalan balik.”

Dani bersuara keras. Sedikit geram dengan cara Dahlia yang suka main tarik tali itu. Melihat Dani sudah mula bertukar angin, Dahlia lebih berminat untuk diam. Tidak mahu berbalah. Penat, bosan dengan sikap Dani yang selalu moody.

“Aku pun masih berfikir.”

Akhirnya Dani mengalah setelah melihat Dahlia membisu semula. Keretanya sudah memasuki perkarangan kolej. Dahlia segera turun. Dani juga bereaksi sama.

“Balik nanti naik apa?”

“Selalunya saya naik apa ya?”

Dani rasa terpukul dengan soalan Dahlia itu. Mulutnya ingin membalas kata-kata gadis itu tetapi terdiam semula bila melihat seorang lelaki menghampiri mereka.

“Hai, Dahliaku baru sampai?”

Dahlia diam. Dari ekor matanya dia dapat merasakan Dani sedang merenung tajam ke arahnya. Adam menoleh ke arah Dani. Berkerut kening melihat reaksi lelaki itu. Siapa dia? Teman lelaki Dahlia ke? Dari penampilannya, kelihatan lelaki ini lebih tua darinya.

“Hai, saya Adam. Adam Firdaus.”

Ramah dengan senyuman, Adam menghulurkan salam. Dani menyambut dengan wajah sedikit serius, namun huluran tangan Adam bersambut. Mata mereka bertembung. Adam yang agak cemburu masih mampu tersenyum nipis menanggapi wajah serius Dani. Lelaki itu di mata kasarnya sangat tidak senang dengan kehadirannya di situ.

“Dani. Dani Ikmal.”

Tangan masih saling mengenggam. Aura cemburu jelas kelihatan di mata masing-masing. Adam cemburukan Dani. Dani juga begitu. Hati tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki ini di sisi Dahlia? Dan Dahlia masih membisu melihat aksi mereka berdua. Dia tidak tahu kenapa lelaki-lelaki ini saling pandang-memandang antara satu sama lain. Seolah-olah ada yang tidak berpuas hati, ada yang tidak kena. Adakah kerana dirinya? Tidak. Mustahil. Mereka cemburu? Dahlia cuba berdehem. Ternyata kedua-dua lelaki itu tersentak. Serentak juga mereka menoleh ke arahnya.

“Saya masuk dulu.”

“Balik karang aku ambil.”

“Tak apalah, saya tumpang Balqis.”

“Pukul berapa habis kelas?”

“Hari ini pukul 4.30, saya..”

“Tunggu sini. Di sini. Aku ambil sharp 4.30, tunggu tau!”

Belum sempat Dahlia meneruskan kata-kata, Dani sudah memberi arahan.

“Ingat! Jangan ke mana-mana. Aku datang ambil.”

Sempat lagi Dani berpesan sambil masuk ke dalam kereta. Sebaik kereta BMW 5 series itu meluncur laju, Dahlia berpaling. Kuliah sudah hampir bermula. Adam juga mengekori Dahlia. Perasaan ingin tahunya meluap-luap. Siapa Dani pada Dahlia? Kenapa lelaki itu bercakap kasar dan seperti memaksa gadis itu? Dan Dahlia juga seolah-olah redha saja dengan apa yang berlaku.

“Siapa Dani?”

Soalan Adam itu membuat Dahlia tersentak. Ada lagi rupanya dia? Dahlia diam dan berjalan laju meninggalkan Adam. Dia tidak mahu dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki itu. Adam agak popular di sini. Pasti saja ramai gadis-gadis yang menggilai lelaki ini. Jadi lebih baik dia menjauhkan diri saja dari Adam. Bimbang jika diri sendiri yang bakal disakiti.

“Dahlia! I’m talking to you!”

Adam menjerit bila Dahlia berlari anak menaiki tangga menuju ke kelasnya.

“Dahlia! Dahlia!”

Suara Adam yang tidak putus-putus memanggilnya namanya itu sedikit merimaskan. Tidak mahu menjadi perhatian, akhirnya dia berhenti melangkah. Termengah-mengah Adam cuba mendapati gadis itu.

“Siapa dia?”

Dahlia diam.

“Jawab Dahlia. Siapa dia? Siapa dia pada awak? Siapa Dani tu?”

“Kenapa nak tahu?”

“Saya perlu tahu.”

“Kenapa awak perlu tahu?”

“Dahlia, please answer me.”

“Dia Dani.”

“Ya, saya tahulah nama dia Dani. Tapi siapa dia pada awak? Kenapa dia hantar dan ambil awak? Dia boyfriend awak ke?”

“Kenapa ya, awak nak tahu?”

“Saya tak puas hati bila dia bercakap kasar dengan awak. Dia seolah-olah memberi arahan yang awak tak boleh bantah langsung. Dan awak, kenapa nampak macam takut saja pada dia?”

“Saya tak takutkan dia pun.”

“Habis tu?”

“Habis tu apa?”

Dahlia pelik dengan soalan Adam. Jam di tangan dikerling. Adam mengeluh. Dia juga melihat jam yang melingkari pergelangan tangannya.

“Kita dah lewat.”

“Dahlia, tunggu kejap.”

Langkah Dahlia terhenti lagi bila mendengar suara Adam beralun perlahan. Dia membalas renungan Adam yang redup. Hati kecilnya mengakui lelaki ini memiliki rupa paras yang tampan. Patut saja ramai gadis yang memujanya.

“Saya.. saya.. saya sukakan awak.”

Dahlia terkedu. Segera melarikan matanya bila direnung tepat sepasang mata milik Adam. Jantungnya berdebar-debar.

“Saya pergi dulu.”

“Tunggu.”

Langkah Dahlia dihalang lagi. Dahlia sudah mula rasa rimas.

“Saya ikhlas. Apa yang saya cakap tadi lahir dari hati saya yang tulus. Saya benar-benar sukakan awak Dahlia. Dah lama sebenarnya. Tapi awak terlalu jual mahal. Saya harap awak dapat pertimbangkannya.”

Dahlia diam. Laju langkahnya meninggal Adam yang masih terpacak di tangga.

5 Suara Merdu Anda:

hana_aniz said...

buku bertemu ruas! 1 markah utk adam yg start dulu bgtau rasa suka dia. hohoho..

aqilah said...

biar Dani tahu yg Dahlia ada peminat!!!!!!!

nana_cunoi said...

Dani nie tua brp taun eik..
x suke la hero tua..hehehe
tp apepn citer nie mmg best..
x sabr nk tggu nest entry..

Anonymous said...

biar Dani tau ada org lain yg minat pd Dahlia,
harap cpt smbg ye...

Unknown said...

ala...xmo larh dahlia dgn adam...walaupown dani tuh ksaq...tp dyer bru nk jtoh cinte ngan dahlia...hope dahlia tri,a larh wasiat tuh...

Post a Comment