Wasiat Cinta 16

Tihani bersiap-siap untuk pulang. Mengemas beg pakaiannya dan barang-barang Mikhail. Selepas makan tengahari nanti dia akan pulang semula ke Shah Alam. Umminya masih sibuk di dapur, membantu ibu mertuanya menyediakan juadah tengah hari. Fendi pula menghantar Mimi ke stesen bas. Gadis itu perlu pulang awal kerana ada kuliah petang nanti. Mikhail pula telah dipinjam oleh Tok Seman dan Tok Timah, jiran ibu mertuanya. Yang bumbung rumahnya boleh nampak dari tingkap biliknya itu. Tihani tergelak kecil. Boleh pula anaknya itu dipinjam-pinjam, macam barang pula.

Tihani turun semula ke dapur menjenguk sekiranya ada kerja yang perlu dibantu. Nampaknya sudah hampir siap kesemuanya. Dia menuang jus oren dan berlalu keluar menuju ke pangkin. Duduk menjuntai kaki sambil mengambil angin. Walaupun mentari sudah menegak, namun suasana di kampung memang berbeza. Redup dan nyaman. Suara burung dan ayam yang hendak bertelur bersahut-sahutan. Di pangkin itu di bawah pokok bunga tanjung, tiada langsung terasa bahang mentari. Tihani menghirup jus oren kemudian mendongak ke atas melihat awan yang berbagai bentuk. Agaknya Faizal boleh melihat atau tidak dari atas sana? Mungkin Faizal sedang memerhatikannya.

‘Abang, Hani rindu.’

Tihani tersenyum. Seolah-olah dapat melihat gambaran Faizal yang juga tersenyum dari atas, di sebalik awan seperti bermain sorok-sorok dengannya. Pandangannya beralih ke arah Toyota Vios milik Fendi yang memasuki halaman rumah. Dia tersenyum melihat Fendi yang keluar dari perut kereta. Dan sudah pastilah senyumannya itu berbalas.

“Dah hantar Mimi?”

Tihani memulakan bicara bila melihat Fendi mengatur langkah mendekatinya.

“Dah naik bas pun. Mikhail mana? Tidur ke?”

Renungannya dijatuhkan ke wajah Tihani. Hairan melihat gadis itu santai seorang diri.

“Tok Timah pinjam.”

Tihani tergelak kecil.

“Oh, sayang betul dia orang pada Mikhail ya?”

“Itulah, semua orang sayang dia. Agaknya kesiankan dia anak yatim kot.”

“Mungkin jugak. Tapi rasanya, bukan Mikhail sorang saja yang disayangi ramai. Ada sorang lagi.”

“Ya ke? Siapa orang tu?”

“Mama Mikhail.”

Fendi merenung tepat ke dalam mata Tihani.

“Betul ke? Siapa yang sayang mama Mikhail tu?”

Tihani mengukir senyum cuba menutup gugup tatkala direnung tajam oleh Fendi.

“Nenek Mikahil, Opah Mikhail dan…”

Fendi tidak dapat meneruskan kata-kata. Tiba-tiba dadanya terasa sempit, jantung berdegup tidak normal, nafasnya menjadi tidak keruan. Semuanya di adun menjadi satu rasa. Rasa takut. Takut malu. Malu andainya Tihani menolak. Haruskah dia berterus-terang sekarang?

“Dan..?”

“Paklong Mikhail.”

Akhirnya dia bersuara perlahan. Tetapi Tihani dapat mendengarnya. Jantungnya berdegup kencang. Seperti baru habis berlari acara empat ratus meter saja. Fendi merenung tepat ke anak mata Tihani sekali lagi. Kali ini dia mendapat sedikit keyakinan diri. Keyakinan yang sepatutnya muncul sepuluh tahun dulu. Saat dia jatuh hati kepada gadis itu.

“Kenapa diam?”

“Hmm.. tak tahu nak cakap apa.”

“Kelu?”

Tihani diam lagi. Memang dia kelu. Apa yang harus dia katakan? Dia tunduk sambil merenung kaki, merenung tanah, meninjau-ninjau sekiranya ternampak cacing, boleh saja dia menggunakan alasan itu untuk mengangkat punggung. Dia tidak betah untuk duduk di situ lagi. Tetapi kakinya seakan lumpuh untuk bangun. Punggungnya seakan telah dipaku di pangkin itu.

“Kalau kelu, dengar aja apa yang along nak cakap ya.”

Fendi bersuara lagi bila melihat Tihani terus membisu.

“Sebenarnya.. along, along suka Hani. Along cintakan Hani.”

Akhirnya dengan sepenuh kekuatan, dia melafazkan cintanya yang selama ini hanya subur di dalam hati. Tihani tersentak. Ini memang pengakuan berani mati. Dadanya seakan mahu meletup saja. Dia mula tidak senang duduk, betul-betul tidak senang duduk. Fendi cintakannya? Betulkah apa yang dia dengar sebentar tadi? Perlahan Tihani mengangkat muka berpaling dan merenung wajah Fendi meminta kepastian. Fendi pula, seakan mengerti pertanyaan Tihani yang lahir dari sinar mata gadis itu. Dia mengeluh perlahan.

“Along dah lama jatuh hati pada Hani. Sejak kita di Teluk Intan lagi. Sejak pertama kali along terpandang Hani jual nasi lemak.”

Fendi tersenyum mengimbas memori lama. Saat pertama kali dia melihat Tihani, pertama kali melihat senyuman Tihani, pertama kali mendengar suara gadis itu. Hatinya lelakinya luluh.

“Kiranya, cinta pandang pertamalah ni?”

Tihani memberanikan diri bersuara bersama getaran halus yang menyelinap di jiwanya. Fendi tersenyum dan mengangguk. Tiba-tiba perasaan risau muncul. Mungkin lebih tepat rasa takut yang datang. Takut ditolak, takut malu.

“Tapi along lambat, angah lebih cepat. Tak sangka dia pun rasa apa yang along rasa.”

Tihani diam lagi. Membiarkan lelaki itu bersuara, meluahkan rasa hati kepadanya.

“Bila along tahu, angah pun sukakan Hani dan Hani pun suka angah, along undur diri. Bagi chance kat you all berdua. Bagi along, kebahagiaan angah lebih penting dari diri sendiri. Dan ternyata dia gembira. Dia bahagia hidup bersama Hani bukan?”

Fendi tersenyum memandang Tihani. Terasa lega dapat meluahkan segala isi hati yang terpendam sejak sekian lama. Terasa bongkah beban yang digalasnya selama ini sudah terlepas.

“Faizal tahu?”

Lambat-lambat Tihani mengajukan soalan itu. Terharu dengan pengorbanan Fendi terhadap arwah kembarnya sendiri. Fendi mengangguk perlahan.

“Bila?”

“Hani ingat tak kali terakhir Hani dan angah balik masa nak melenggang perut dulu?”

Tihani mengangguk. Masakan boleh lupa. Malam itu angin Faizal lain macam. Dia murung.

“Hmm, masa tulah.”

Sehingga kini Fendi tidak boleh lupa malam terakhir dia bersama Faizal. Malam yang membongkar segala rahsia hatinya. Malam yang menimbulkan aura tegang antara mereka berdua. Mata Tihani membulat. Sekarang barulah dia tahu kenapa Faizal bermurung sepanjang malam. Sepatah ditanya sepatah juga yang dijawabnya. Rupanya Faizal sedang marah, Faizal sedang bersedih. Dia dan Fendi mencintai gadis yang sama. Mencintai dirinya.

“So, macam mana? Along ada peluang tak?”

“Along, Mimi macam mana? Diakan suka along.”

“Along tak suka dia, along anggap dia macam adik aja.”

“Tapi..,”

Tihani tidak dapat meneruskan kata-kata. Dia rasa serba-salah. Dia rasa bersalah. Bersalah pada Faizal. Bersalah pada Mimi. Tetapi dia takut untuk menolak. Bimbang Fendi terguris hati. Ini akan menjejaskan hubungan baiknya dengan Fendi selama ini.

“Tapi apa? Hani tak boleh terima?”

Fendi mengukir senyuman manis buat Tihani. Dia tahu gadis itu serba-salah. Dia akur kalau selepas ini Tihani membencinya.

“Hani minta maaf along, Hani tak boleh.”

Wajah Fendi sedikit kelat, sedikit kecewa. Dia sudah dapat menebak. Pedih di hati bagai ditusuk belati tajam. Ngilu dan sakit.

“Along faham, Hani confused bukan? Hani ambillah seberapa lama masa yang Hani mahu. Along sedia menunggu. Kalau sepuluh tahun dulu along sanggup tunggu apa lagi sekarang,”

Tihani senyum. Nasib baik Fendi mengerti akan perasaannya. Ya, dia perlu masa. Semua ini terlalu mendadak. Dia tidak boleh menerimanya. Terasa dirinya telah mengkhianati cinta Faizal.

“Along tak akan mendesak Hani, apa lagi memaksa. Hani fikirlah. Cuma along nak Hani tahu, along sayangkan Hani, sayang sangat.”

Redup matanya merenung Tihani. Pandangan mereka bertaut. Dari dalam rumah, puan Rosnah melihat adegan mereka di pangkin. Bibir tuanya mengukir senyum bahagia. Harapan Faizal mungkin akan menjadi kenyataan.

5 Suara Merdu Anda:

Anonymous said...

salam..
akhirnya bersambung jg...lama dah tunggu...
hani nk pilih sape ek?

hana_aniz said...

hani dgn fendi pn sgt ok!! hehe

aqilah said...

yes!!!!!!yes!!!!harap puan rosnah campur tangan........they will get married!!!!!!

MaY_LiN said...

aaaaaa..
nk pengsan..nk pengsan

aqilah said...

biar puan rosnah jad matchmaker untuk tihani dgn fendi...............

Post a Comment