Wasiat Cinta 11

Puan Mariam serba salah. Hendak diamkan orang itu mengharap. Hendak beritahu pada Tihani, takut pula anaknya itu tidak dapat terima. Wajah Tihani yang sedang leka menonton tv direnung lembut. Anaknya itu memiliki wajah keanak-anakan. Berkulit putih kuning, bertubuh kecil molek. Kata arwah suaminya, Tihani persis sepertinya waktu muda dahulu. Dia tersenyum kecil. Arwah suaminya itu memang sayang sangat pada Tihani. Dia mengamati lagi wajah Tihani. Anaknya itu mempunyai raut wajah tirus, seperti wajahnya. Bermata bundar sepertinya juga, bibirnya kecil dan nipis serta hidung cantik tertenggek di wajah itu, tidak besar dan tidak terlalu mancung. Yang itu mungkin mirip arwah ayahnya. Puan Mariam tersenyum lagi. Manis sungguh anaknya itu. Memang patut ramai yang terpikat. Tapi kasihan, usia semuda itu sudah menghadapi dugaan yang maha hebat.

“Ummi, kenapa?”

Tersentak puan Mariam mendengar suara Tihani. Sekuntum senyuman terukir lebar di bibir comel itu.

“Oh, ummi tengok anak ummi ni, manis orangnya.”

“La.. ummi baru tahu ke?”

Tihani tergelak bila melihat umminya itu mencebik.

“Hani, tadi ada orang datang.”

“Siapa?”

“Pak Hassan.”

“Pak Hassan? Pak Hassan mana pulak ni?”

“Ala, orang kaya kat taman nilah.”

“Orang kaya? Hmm… oh! Pak Hassan yang renovated rumah dia jadi banglo tu?”

“Yelah, pak Hassan mana lagi. Yang rumah dia kat simpang depan tulah.”

“Ha, kenapa dengan pak Hassan tu mi?”

“Dia datang merisik.”

“Merisik? Merisik ummi ke?”

Tihani tersengih.

“Baguslah tu ummi, Hani ikut aja. Lagipun ummi dah lama hidup sorang-sorang. Hani tak kisah siapa bakal bapa tiri Hani tu, asalkan dia boleh jaga ummi dengan baik.”

Tihani tersengih lagi. Seronok sangat tengok umminya itu yang sudah merah padam mukanya.

“Apa pulak merisik ummi? Dia datang merisik kamulah.”

“Hah!?”

Hampir terlompat Tihani dari sofa. Dia membetulkan duduk. Bersila menghadap umminya. Dahinya berkerut-kerut seperti tidak percaya apa yang di dengarnya sebentar tadi.

“Ha, tahu pun terkejut ya? Tadi bukan main lagi menyakat ummi.”

“Merisik Hani? Untuk anaknya si Azwan itu ke?”

Serta-merta timbul wajah Azwan anak teruna pak Hassan, si kaki rempit. Samseng di taman perumahan tempat dia tinggal itu. Yang dia tahu, anak teruna pak Hassan hanya si Azwan itu sajalah. Yang muda setahun darinya.

“Bukan, untuk diri dia sendiri.”

Jelas puan Mariam lambat-lambat. Risau dengan reaksi anaknya itu. Tihani melongo. Otaknya ligat memproses kata-kata umminya sebentar tadi. Sudahnya dia menjerit dengan kuat, membuat puan Mariam tersentak.

“Hissy, kamu ni, apalah memekik macam pontianak lapar malam-malam ni? Terkejut ummi tau. Karang jaga pulak si Mikhail tu.”

“Ummi bergurau sajakan? Ummi saja nak usik Hani, kan? Kan ummi kan? Kan?”

Tihani cemas. Minta-mintalah umminya cuma bergurau saja.

“Ummi tak bergurau sayang, tengah hari tadi dia datang. Dia tanya kamu sudah ada ke pengganti Faizal? Dia cakap dia kasihankan kamu, jadi biarlah dia saja yang menjaga kamu.”

“Habis tu, ummi jawab apa?”

“Ummi jawab, ummi kenalah tanya empunya diri. Ha, jadi macam mana?”

“Tak nak! Ummi jawab aja Hani tak sudi!”

Gatal punya orang tua! Amarahnya sudah mula meresap satu badan. Sudahlah umur sebaya dengan umminya, ada hati pulak nak berbinikan orang muda sepertinya. Geram betul dia. Mahu saja dia langgar orang tua kutuk tidak sedar diri itu dengan keretanya. Tetapi dia tahu itu tidak mungkin terjadi.

“Jadi, Hani tak naklah ya?”

“Eeii, tak naklah ummi, entah apa-apa entah. Orang tua tu dah nyanyuk agaknya.”

“Ummi pun rasa dia dah nyanyuk.”

Mereka tergelak.

“Ummi, setahu Hani bini dia tu masih hidup lagikan? Kenapa gatal sangat? Kulit pun dah berkedut. Kalau sorok duit kat celah-celah kulitnya tu mesti tak ada orang tahukan, mi.”

Sekali lagi puan Mariam tergelak besar.

“Haah, hidup lagi mak Jah tu.”

Sambungnya dengan tawa yang masih bersisa.

“Kalau dah mati pun Hani tak naklah. Eeii… tak kuasa, geli!”

“Hissy, kamu ni tak baik tau cakap macam tu.”

“Ala, ummi tolak sajalah ya. Kata aja Hani dah ada calon lain.”

“Yelah, suka hati kamulah, ummi ikut aja.”

Puan Mariam menggelengkan kepala. Benarkah anaknya itu sudah ada calon lain? Kalau betul dia bersyukur sangat-sangat.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment