Wasiat Cinta 6

Selesai makan malam Fendi duduk di pangkin. Mengambil angin malam. Damai dirasakan bila bayu lembut menyapa kulit wajahnya. Dia ingat lagi, dulu-dulu bila perut sudah kenyang, dia akan melepak dengan Faizal di sini. Selalunya dia lebih suka diam dan mendengar celoteh Faizal. Adik kembarnya itu memang suka bergurau dan mengusik. Kadang-kadang tidak kena pada masa dan tempat langsung. Boleh dikatakan dia penghibur terbaik di rumah ini. Mungkin kerana sifatnya itulah membuatkan Tihani terpikat kepadanya. Fendi tersenyum sendirian. Sayu rasa hati bila Faizal sudah tiada. Sunyi. Amat sunyi. Siapa sangka lelaki semuda dan segagah Faizal boleh terkena serangan jantung? Sehingga pergi meninggalkan anak dan isteri tercinta. Anak yang tidak sempat diazankan. Apa lagi untuk mendukung dan memberi kasih sayang. Perginya Faizal secara tiba-tiba hampir membuat Tihani hilang akal, hilang pertimbangan. Jahatlah kau angah. Sampai hati buat Hani macam tu. Along tak sangka kau beralah sampai macam ni. Kau ingat kau hero ek? Kau tahu angah, Hani hampir gila tahu tak? Along rasa, along tak boleh nak buat apa yang kau suruh tu. Hati Fendi membebel sendiri.

“Jauh termenung? Ingat siapa tu?”

Suara Mimi membuatkan Fendi tersentak. Mengelamun jauh rupanya dia. Sehingga Mimi datang pun dia tidak sedar.

“Oh, Mimi. Ingat nenek kebayan mana tadi, terkejut along,”

“Along, tak baik tau cakap Mimi nenek kebayan, nak merajuklah macam ni,”

Rengek Mimi manja. Walaupun dia tahu Fendi pasti tidak akan memujuknya.

“Kak Hani mana?”

“Ada kat dalam bilik, tidurkan Mikhail kot.”

Mimi menjawab dengan muncung yang sudah sedepa panjangnya. Dia sudah agak pasti Fendi tidak endah akan rajuknya tadi. Tersinggung sungguh rasanya bila nama Tihani pula yang disebut. Tetapi dia tahu, itu bukan salah Fendi. Lelaki itu tidak tahu tentang perasaannya.

“Along ada problem ke? Termenung panjang, sampai Mimi datang pun tak sedar.”

“Along teringatkan angah, dulu along selalu lepak kat sini dengan dia.”

“Sudahlah tu along. Yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup ini kena teruskan hidup tau. Kalau nak ikutkan sedih, memang tak akan habis sedihnya tu. Along mesti kuat, mesti tabah demi maksu.”

“Kenapa tak tidur lagi?”

Fendi cuba mengubah topik. Tidak mahu terus melayan rasa sedih. Benar kata Mimi, dia harus kuat dan dia harus tabah. Bukan saja demi ibunya malahan demi Tihani dan Mikhail.

“Belum mengantuk.”

“Kalau belum mengantuk, pergilah study. Kan final exam dah nak dekat. Suka sangat study last minute.”

Fendi menyambung tazkirahnya yang terbantut siang tadi. Dia memang tidak akan berkompromi dengan sikap malas belajar Mimi itu.

“Ala, along ni lecehlah! Orang baru nak ambil angin malam tau.”

Mimi mula panas punggung. Dia tahu telinganya pasti akan bernanah mendengar ceramah percuma Fendi. Cepat-cepat dia mengangkat punggung. Fendi tersenyum nipis. Senang saja hendak menghalau si Mimi ni.

“Okeylah, Mimi masuk dulu, good night along,”

Fendi hanya mengangguk. Memandang kosong langkah Mimi.

3 Suara Merdu Anda:

MaY_LiN said...

mimi neh..
nak ngorat je ke nye..

Anonymous said...

pendek nya....

Anonymous said...

mimi ni menyebuk je nak ngorat fendi
dah tu gi kutuk hani plak 2
kesian hanl

Post a Comment