Wasiat Cinta 5

“Ha, dah sampai pun si bucuk ibu ni.”

Puan Rosnah tersengih memandang Fendi.

“Ibu… apa ni, malulah along.”

Fendi geram. Sudahlah suara ibunya ini bagai pembesar suara, mahu saja satu kampung mendengarnya. Pantas dia mencium tangan lalu memeluk ibunya.

“Rindunya kat ibu.”

Sambil mencium pipi ibunya bertalu-talu. Namun perbuatannya itu terhenti bila terpandang Mimi yang tercegat di pintu sambil tersengih.

“Eeii, along ni tak malulah, macam budak-budak.”

Mimi tersengih sambil menghulurkan salam.

“Ala, apa salahnya. Cium mak sendiri, bukan cium anak dara orang. Kenapa, Mimi pun nak along cium jugak ke?”

Fendi tersenyum nakal sambil mengangkat kening.

“Maksu, tengok along ni. Uwekk, tak ingin!”

Mimi menjelirkan lidah tanda dia tidak suka diusik begitu. Walaupun pada hakikatnya dia teramat bahagia sekali.

“Along, cuba tak usah menyakat, dah jom masuk.”

Puan Rosnah menepuk perlahan bahu Fendi. Fendi merenung Mimi sambil tersengih lalu mengekori ibunya masuk.

“Pukul berapa Hani sampai bu?”

Soalnya sebaik melabuhkan punggung di kerusi rotan. Mendengar saja nama Tihani disebut oleh Fendi, Mimi menarik muka. Cepat-cepat dia berlalu ke dapur untuk membuat minuman.

“Entah, tadi ibu telefon dia kata on the way. Kejap lagi sampailah tu. Sabarlah sikit,”

Puan Rosnah mengulum senyum. Fendi mengerti maksud senyuman ibunya itu. Tetapi dia berpura-pura tidak nampak. Malu barang kali. Matanya beralih pula ke arah Mimi yang sedang menatang dulang minuman untuknya.

“Lama ke Mimi cuti?”

Soalnya sekadar berbasa-basi. Cuba mewujudkan suasana mesra di antara dia dan Mimi. Bukannya dia tidak nampak tadi betapa panjangnya muncung si Mimi bila nama Tihani disebutnya tadi. Cemburulah tu.

“Seminggu.”

“Oh.. so, macam mana study? Tahun ni lastkan?”

“Haah, tahun ni last. Habis cuti ni, final exam pulak.”

“So, dah prepare? Buat betul-betul tahu?”

Dia mahu melihat kejayaan Mimi yang sudah dianggap seperti adik kandungnya saja. Tetapi tidak pada gadis itu, Mimi menyimpan rasa pada dirinya. Walaupun Mimi tidak pernah meluahkan secara langsung kepadanya. Tetapi dari layanan dan sikap Mimi terhadapnya, dia dapat menebak hati gadis itu. Dan lelaki matang sepertinya dengan mudah saja dapat melihat bahasa tubuh gadis itu. Malah telahannya seolah-olah benar belaka, bila arwah kembarnya sendiri yang beritahu kepadanya tentang perasaan gadis itu.

Mimi hanya tersengih saja kepada Fendi. Masakan tidak, dia lebih suka study last minute. Tak akanlah dia nak beritahu kepada Fendi begitu caranya mengulang kaji. Jenuhlah dia hendak menadah telinga nanti. Silap haribulan mahu bernanah telinganya mendengar leteran si Fendi buah hatinya itu. Fendi hanya mampu menggelengkan kepala melihat Mimi tersengih seperti kerang busuk. Dia tahu sangat maksud sengih si Mimi itu. Nak kena bagi tazkirah sikit gayanya ni. Bisik hati Fendi. Belum sempat dia membuka mulutnya untuk mengeluar kata-kata azimat buat Mimi, pandangannya beralih ke halaman rumah bila mendengar deruan enjin kereta Honda Accord berwarna hitam milik Faizal. Kini kereta itu sudah pun bertukar tangan, sudah menjadi milik Tihani dan kereta Tihani pula sudah dijual. Itu pun atas cadangannya juga supaya Tihani tidak menanggung beban yang banyak.

“Haa.. dah sampai pun cucu nenek ni. Lama nenek tunggu tau.”

Suara ibunya itu mengganggu lamunannya. Sedar-sedar saja ibunya itu sudah berada di halaman rumah menyambut ketibaan Tihani. Mimi juga sudah berada di muka pintu. Dari dalam rumah, dia dapat melihat senyuman manis Tihani sambil mengendong Mikhail. Anak saudaranya, darah dagingnya juga. Dia dapat melihat kecerian pada wajah Tihani. Rambutnya juga sudah dipotong pendek. Nampak lebih comel. Ah, samada Tihani berambut panjang atau pendek tetap saja cantik di matanya. Wajah itu ditenungnya dari jauh. Senyuman tidak lekang di bibir. Cantik sungguh! Kali terakhir dia melihat Tihani ketika gadis itu habis berpantang. Itu pun pada kenduri tahlil buat Faizal dan sekaligus majlis cukur jambul anak buahnya itu. Waktu itu wajah Tihani mendung sekali. Luluh hatinya saat itu bila melihat kesedihan Tihani. Fendi tersenyum bila melihat Tihani menyalam tangan ibunya dan berpelukan. Melihat sketsa airmata di antara bekas mertua dan menantu itu. Sungguh, saat ini ingin saja dia berlari dan mendakap tubuh Tihani agar gadisnya itu berasa tenteram dan agar dirinya dapat meleraikan rindu yang menggunung tinggi. Tetapi dia masih waras. Masih lagi dapat mengawal tingkahnya. Segan dilihat ibunya dan Mimi.

“Ibu sihat?”

Soal Tihani saat mengakhiri adegan airmata yang spontan dilakonkan mereka berdua.

“Alhamdulillah, sihat sayang.”

Puan Rosnah mengambil Mikhail yang berada di dalam pelukan Tihani.

“Hani sihat ke?”

“Hani sihat bu, ummi kirim salam. Ini ha, buah tangan dari ummi.”

Tihani menghulurkan satu plastik buah mempelam yang dipetik umminya semalam di belakang rumah.

“Ni lagi satu.”

Tihani tersenyum sambil menunjuk bekas berisi puding yang juga dibuat umminya malam tadi. Beriya-iya sungguh umminya itu mahu mengirimkan ole-ole.

“Walaikumsalam. La, susah-susah aja kirim semua ni. Dah sihat sangat ke ummi kamu tu?”

“Ala, macam ibu tak tahu ummi tu. Kalau dah boleh sediakan semua ni, kira sihatlah tu.”

“Terima kasihlah ya. Mimi, bawa masuk barang-barang ni.”

Panggil puan Rosnah bila terpandang Mimi di muka pintu. Lambat-lambat Mimi melangkah. Malas betul dia hendak menyambut kedatangan Tihani. Nasib baiklah dia kini berada di rumah maksunya. Sambil tersenyum kelat dia menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Tihani.

“Apa khabar kak Hani?”

Soal Mimi sekadar berbasa-basi. Segera tangannya mencapai barang-barang yang dibawa Tihani tadi.

“Akak sihat aja, cuti ke ni?”

Tihani tersenyum lebar. Memang dia sudah tahu, jika Mimi ada di rumah mertuanya itu, pasti sedang bercuti selain mahu berjumpa Fendi bekas abang iparnya itu. Dia sudah maklum tentang perasaan Mimi kepada Fendi setelah diberitahu oleh arwah suaminya dulu.

“Haah.”

Tihani memandang sekeliling. Masih tidak berubah rumah mertuanya ini. Kali terakhir dia ke sini sewaktu kandungannya berusia tujuh bulan. Itu pun kerana mertuanya nak buat adat melenggang perut. Maklumlah cucu sulung, terujanya lain macam. Tiba-tiba pandangannya terhenti pada sebuah kereta Toyota Vios milik Fendi.

“Along ada ke bu?”

“Haah, ada kat dalam. Jomlah masuk.”

“Okey.”

Sambil tangannya mengeluarkan beg dari kereta dan mengatur langkah mengekori bekas mertuanya itu.

“Assalamualaikum.”

Fendi sudah berada di muka pintu untuk menyambut beg pakaian Tihani sambil tersenyum lebar.

“Walaikumsalam, along pun ada? Apa khabar?”

“Sihat, along pun baru setengah jam sampai.”

Fendi gementar saat melihat senyuman manis gadisnya itu.

“Hani duduklah dulu, along letak beg kat bilik ya.”

Tihani mengangguk.

“Mimi, ambil gelas satu lagi. Potong sekali puding tu.”

“Baik maksu.”

Mimi berlalu sambil mencuka. Tak pasal-pasal kena jadi pelayan kepada Tihani. Geram sungguh dia, menyibuk saja! Dasar janda tak sedar diri! Bentak hati kecilnya.

“La, patutlah nenek cium ada bau acam, melabur rupanya ya.”

Puan Rosnah tergelak besar. Tihani juga turut ketawa lucu melihat muka ibu mertuanya itu yang sudah berkerut-kerut menahan bau.

“Itu tandanya dia sayang nenek, kan cayang?”

Usik Tihani sambil mengangkat punggung.

“Kejap ya bu, Hani ambil pampers dia.”

Terus saja dia naik ke atas menuju ke bilik. Tihani melangkah laju sehingga bertembung dengan Fendi. Satu tindakan refleks terhasil dari pertembungan itu dan dengan pantas saja tangan Fendi merangkul pinggang Tihani supaya gadis itu tidak jatuh terlentang. Mata bertentang mata, mulut mereka terkunci.

Diam. Lama.

Seakan mahu pecah saja jantung Fendi dek debaran yang melanda jiwanya. Tihani juga dapat merasakan kehangatan tubuh Fendi yang sedang mendakapnya. Dia mula tersedar yang dirinya kini berada di dalam dakapan lelaki itu. Cepat-cepat dia menolak dada bidang Fendi.

“Maaf..”

Bergetar suara Fendi menahan gelora di jiwanya.

“Tak apa, Hani yang salah.”

Tihani cuba mengukir senyum yang tak berapa menjadi. Dia tahu itu. Cepat-cepat dia masuk ke bilik. Termenung sekejap di birai katil cuba mencerna apa yang berlaku sebentar tadi. Pelik. Kenapa jantungnya berdebar-debar? Malahan seakan tidak mahu surut degupan jantungnya ini. Aneh betu! Rasa apa ni?

“Astaghfirullahalazim.”

Tangannya meraup muka. Dia perhatikan sekeliling bilik itu. Bilik dia dan Faizal. Masih tidak berubah. Susun atur perabotnya tetap sama. Membangkitkan rasa rindu pada arwah suaminya itu. Dia dapat merasakan kehadiran Faizal di dalam bilik itu saat ini. Cepatnya masa berlalu. Kasih sayang Faizal masih utuh di hatinya. Dia bingkas membuka beg untuk mengambil pampers Mikhail.

1 Suara Merdu Anda:

Miss FF said...

cerita semakin menarik~ dan panjang dari biasa.. he3..

Post a Comment