Kamal Oh Kamalia 24

Aku terpegun. Malam ini Natrah cantik sekali. Memakai gaun labuh hingga ke kaki tetapi bertali halus di bahu. Seksi betul sepupu aku ni. Tak kusangka Natrah yang comot dulu telah menjadi dewasa dan secantik ini. Pasti mana-mana lelaki pun akan terpikat melihat penampilannya malam ini. Aku juga hampir goyah dibuatnya. Dia tersenyum menggoda.

“Err.. dah siap? Jomlah. Cepat pergi cepat kita balik.”

“Okey. Jom.”

Aku memandu kereta Natrah dengan perlahan. Masing-masing diam saja dari tadi. Aku pelik dengan diriku tika ini. Entah apa yang aku rasa sekarang. Lain macam. Haruman Natrah mengasyikkan, penampilannya malam ini mempersonakan. Apakah aku sudah tergoda? Tidak! Tak mungkin! Setiaku hanya pada Azlin. Namun jauh di sudut hatiku, aku mengakuinya. Natrah lain benar malam ini. Dia hanya diam dan kelihatan feminin.

“Err.. diam aja Nat?”

Natrah tersenyum manis. Cukup-cukup manis pada penglihatan aku. Ah, sudah kau Kamal. Tak tetap pendirian betul! Dengan sepupu sendiri pun jadi? Gila! Aku cuba berdehem perlahan. Cuba mengusir debar yang menggila tika ini. Sabarkan hati Kamal, sabar.

Kami sampai di sebuah villa yang dikatakan oleh Natrah. Sebanyak enam biji kereta berkonvoi ke villa itu dari pejabat Natrah tadi. Setelah aku keluar dari perut kereta, bola mataku meratah setiap inci panorama villa indah itu. Bagai langit dengan bumi ku rasakan hidupku dengan pemilik villa ini. Aku sedikit canggung. Kelihatan teman-teman Natrah agak sosial dan bebas bergaul. Pelajar seperti aku masih sangat baru dengan dunia sosial begini. Namun aku berlagak biasa dan cuba mengikut rentak Natrah dan mematuhi arahannya. Mungkin Natrah tahu aku kekok dengan suasana ini. Demi air mukanya aku ukirkan juga senyuman.

Natrah aku lihat sangat manja denganku malam ini. Tidak mahu berenggang langsung. Tangannya sentiasa melingkari lenganku. Aku tahulah aku telah menjadi pasangannya untuk malam ini, namun dalam masa yang sama aku tidak selesa. Mungkin juga perasaanku yang terganggu sejak awal tadi membuat aku bergetar hingga saat ini. Senyuman Natrah tidak lekang dari bibir bila menerima pujian demi pujian dari teman-temannya. Memang benar Natrah lain sekali malam ini. Lebih cantik dari biasa. Namun tidak keterlaluan andai aku tafsirkan dia di antara yang tercantik di pesta ini.

“Hello Nat, welcome.”

Natrah tersenyum sambil menyambut huluran seorang jejaka yang amat tampan di kornea mataku. Mungkin berdarah campuran.

“Thanks. This is Kamal. Mal, ini Ryan.”

Lelaki bernama Ryan itu tersenyum lebar sambil menghulur salam padaku. Tanpa berlengah aku menyambut salam perkenalannya sambil membalas senyumannya.

“Kamal Lutfi.”

“Ryan Imad. Come, join us at the ball?”

“Sure.” Jawap Natrah sepatah sambil tersenyum manis. Dia mengatur langkah sambil menarikku. Aku hanya menurut.

“Handsomekan dia Mal? Berdarah Melayu-Arab.”

Aku mengangguk perlahan mendengar Natrah seakan berbisik kepadaku. Bimbang agaknya didengar Ryan yang mendahului kami di depan. Entah kenapa bila Natrah memuji Ryan, menyelinap rasa tidak enak di benakku. Apa yang tidak kena? Terasa telingaku panas semacam. Aku tak suka apa yang aku rasa ni.

Sebaik kaki menjejak mini ballroom di villa ini, aku terpegun. Selama ini aku hanya melihat di televisyen saja, kini aku merasainya sendiri dunia sosial mereka yang penuh kemasyhuran agaknya. Pasti yang berada di sini bukan calang-calang orang. Tiba-tiba terasa diri sangat kekampungan. Aku hanya berseluar slack dan kemeja putih berjalur hitam dengan kasut yang agak lusuh. Semua ini pakaian kuliahku. Sebagai pelajar dan hidup dalam keluarga sederhana, aku memang tidak mampu untuk bermewah-mewah. Itu semua tidak penting bagiku. Apa yang aku tahu, aku kena habiskan pengajianku dengan sempurna dan mencari pekerjaan yang baik untuk memberi kesenangan kepada ibu dan adik-adikku.

Suasana di pesta ini sungguh meriah. Masing-masing menari dengan pasangan. Aku yang tak tahu menari ni hanya duduk di satu sudut. Bosan. Natrah sedang bersuka-ria bersama teman-teman pejabatnya. Aku rasa bagai terpinggir saja. Buat apa ajak aku jadi couple kalau tinggalkan aku terkontang-kanting begini? Tiba-tiba pandanganku menangkap sekujur tubuh yang amat aku kenali. Terkedip-kedip mataku untuk memastikan apa yang aku lihat itu adalah benar bukan ilusi semata-mata. Terasa mahu saja gugur jantung aku melihatnya. Azlin?

Dia tersenyum manis bersama teman-teman yang mengelilinginya. Bagaimana dia boleh berada di sini? Pakaiannya walaupun tidak seseksi Natrah, namun agak menggiurkan juga. Haruskah aku menegurnya? Haruskah aku memulakan langkah itu lebih awal?

“Mal, tengok siapa?” Suara manja Natrah menyapa telinga. Aku melemparkan senyuman padanya sambil menggeleng perlahan. Pasti Natrah perasan akan renungan tajamku pada Azlin tadi. Buktinya dia masih melihat ke arah yang sama aku lihat.

“Budak perempuan tu?”

“Nat kenal ke?”

“Rasanya dia sepupu Ryan.”

Membulat mataku. Azlin Nasihin sepupu Ryan Imad? Patutlah..

“Mal kenal dia ke?”

Aku mengangguk perlahan.

“Kat mana?”

“Kawan sekolej. Tapi tak pernah bertegur sapa pun. Eh, macam mana Nat kenal dia?”

“Ryan kan bos Nat. Dia selalu jugalah datang office jumpa Ryan. Dengar cerita, boyfriend dia dah meninggal. Arwah boyfriend dia tu kawan baik Ryan.”

Aku mengangguk faham. “Tapi apa tujuan dia selalu datang jumpa Ryan?”

“Entah, manalah Nat tahu. Hai, Mal ni macam berminat aja?”

“Erm, memang minat pun.”

Natrah terdiam. Aku tak tahu apa yang sedang dia fikirkan. Nampak macam terkejut. Ah, biarlah sekurang-kurangnya aku jujur padanya.

“Err, tak nak cuba nasib? Manalah tahu?”

“Dah, tapi bolayan.”

Dia tergelak kecil. Kemudian termenung seketika.

“Err, Nat nak pergi toilet sekejap ek.”

Belum sempat aku mengangguk, dia sudah berlalu dengan cepat. Bukan main besar langkahnya. Sakit perut sangatlah tu. Aku tergelak dalam hati. Mataku mencari semula kelibat Azlin. Tetapi hampa, dia sudah hilang dari pandangan. Tak mengapalah, esok aku akan tanya dengan terperinci.

****

Malam ini aku tidak dapat melelapkan mata. Sekejap terfikir tentang Natrah, sekejap tentang Azlin pula. Aku punya dua rasa yang berbeza. Di benakku masih tertanya-tanya tentang Azlin. Banyak yang aku tak tahu pasal dia. Bagaimana aku hendak bertanya padanya tentang kehadirannya di parti tadi? Aku sebagai Kamalia tidak wujud di parti itu. Jadi bagaimana? Haruskah aku meminta pertolongan Natrah untuk merisik-risik tentang Azlin dan Ryan Imad itu? Nanti apa kata Natrah pula? Sedangkan diriku ini adalah lelaki pujaannya sejak kecil. Pasti dia berkecil hati pula. Aku tidak mahu dia berasa hati denganku.

Natrah… lain benar dia malam ini. Tidak seperti biasa. Hubungan rapatnya dengan Ryan Imad membuat aku tertanya-tanya sendiri. Istimewakah hubungan mereka? Tapi kenapa aku yang tidak keruan? Biarlah hubungan mereka macam mana pun, tiada hubung kait dengan aku. Tapi aku rasa tak puas hati! Ryan Imad.. bukan calang-calang lelaki. Kemunculan dia dalam hidupku malam ini membuat aku sedikit tercabar. Apakah hubungan dia dengan kedua-dua orang gadis yang istimewa dalam hidupku ini? Azlin Nasihin dan Natrah, sukar untuk aku tafsirkan kedudukan kedua-duanya dalam hatiku ini.

Aku bangun menuju ke dapur. Suis kupetik menjadikan dapur itu terang- benderang. Aku mengambil gelas yang elok bersih terlangkup di sinki lalu menuangkan air suam ke dalamnya. Sambil bersandar di sinki aku meneguk air sedikit. Panas benar malam ini. Seakan mengerti hatiku juga hangat dengan benda yang aku sendiri tak pasti. Cemburukah aku? Pada siapa? Azlin atau Natrah? Yang pastinya aku tidak suka kedua-dua gadis itu mendekati Ryan. Entah kenapa aku rasa kehadiran Ryan Imad itu mencabar aku.

“Hoi!”

Tersedak aku dengan sergahan Iqbal yang tiba-tiba. Dia apa lagi, mengekeklah ketawa. Seronok agaknya dapat membuat aku terkejut. Aku menjelingnya geram. Sambil berdehem beberapa kali dek peritnya tekak.

“Kau tak ada kerja ke Bal?” Aku menjerkahnya semula. Iqbal tersengih.

“Tak ada,” jawabnya selamba. Aku meletakkan semula gelas air di sinki. Membilas sedikit lalu menelangkupnya semula.

“Kenapa tak tidur lagi?” Soal Iqbal kembali.

“Kau?”

“Aku siapkan assignment, ni baru rasa mengantuk.”

“Dah siap ke?”

“Ada sikit aja lagi. Ha, kau balik pukul berapa tadi? Seronok?”

Aku mengeluh. Seronok apanya?

“Oit, aku tanya ni, pukul berapa kau balik tadi? Seronok ke pergi parti orang kaya?” Soal Iqbal tidak berpuas hati dengan kebisuan aku.

“Entahlah..,” aku menjawab lemah sambil mengatur langkah ke ruang tamu. Perlahan aku duduk sambil mencapai alat kawalan jauh. Televisyen lama bersaiz dua puluh sembilan inci itu aku pandang kosong. Entah apa rancangan yang ada tengah-tengah malam begini.

“Entahlah?” Iqbal yang mengekoriku dan turut sama duduk itu memandangku kehairanan. Aku hanya menjungkit bahu.

“Apa yang tak kena? Cuba cerita kat aku?”

“Aku tak tahu nak cerita dari mana?”

“Isk, cerita dari mulalah.”

Aku diam. Dari mula? Dari mana ya? Dari perasaanku yang tiba-tiba berasa lain macam bila melihat pesona Natrah? Ah, pasti Iqbal akan ketawa hebat. Aku menelan liur.

“Err..Natrah.”

“Natrah? Kenapa dengan dia? Dia flirt kau ke?” Soal Iqbal yang kelihatan kurang sabar.

Aku menggeleng perlahan. “Nope, she looks so feminine today and polite.”

“Oh, control ayu eh?”

“Lebih kuranglah. Tapi Bal, dia cantik sangat malam ni tau. Lain dari biasa. Dengan perwatakan dia yang berubah tiba-tiba, buat aku tertanya-tanya tau.”

“Apa nak dihairankan, dia pergi parti exclusive macam tu mestilah kena jaga perangai.”

“Tapi..,”

“Tapi apa Mal?”

“Hati aku ni rasa lain macam.”

“Lain macam? Lain macam, macam mana?”

“Entah. Macam nervous tau. Nak pulak bila dia asyik-asyik puji bos dia si Ryan tu. Sentiasa dengan mamat tu, aku ditinggal sorang-sorang. Kata couple?”

Tiba-tiba meledak tawa Iqbal dengan kuat membuat bahuku sedikit terangkat dek kerana terkejut. Ish, apa hal pulak gelak kuat-kuat tengah-tengah malam ni?

“Habis! Mal, Mal. Sah!”

“Apa yang habis? Apa yang sah?” Ingat aku tengah akad nikah ke? Main sah-sah?

“Kau jealous!”

Membulat mataku mendengar kata-kata tanpa lapik dari Iqbal itu. Biar betul?

“Gila!”

“Memang kau gila! Wei, dia sepupu kaulah, wakes up!”

“Mana ada aku jealous?”

“Habis kalau bukan jealous, apa namanya?”

“Entah, tak puas hati kot?”

“Jealouslah tu ngok!”

Seakan putus nafas aku rasakan saat ini. Aku? Cemburu? Tak mungkin.. tak mungkin. Cemburu dengan sepupu sendiri? Mengarut!

“Erm.. di mulut lain, di hati lain. Benci konon, menyampah konon. Rupa-rupanya, sayang jugak eh kau kat dia?”

“Shut up!”

Iqbal tergelak lagi. Kemudian bahuku ditepuk perlahan. “Relekslah kawan. Bukan salah pun.”

Aku mengeluh lagi. “Ada lagi satu,” aku merenung Iqbal. Lelaki itu hanya mengangkat kening.

“Aku nampak Azlin. Rupanya dia sepupu si Ryan tu. Bukan main rapat lagi.”

“Eh really? Wah, ini berita yang tidak sedap didengar ni.”

“Itulah,” jawabku pendek.

“Ryan ni siapa? Handsome ke?”

“Bos Natrah, sepupu Azlin. Mix Melayu-Arab mestilah handsome. Kaya pulak tu.”

“Whoaa.. ini lagi berita yang tak sedap didengar. Betul-betul pesaing hebat. Awal-awal lagi kau dah kalah.”

“Tahu tak apa.”

Sekali lagi Iqbal menepuk bahuku. “Sabar, releks. Tak akan lari gunung dikejar.”

Aku hanya tersenyum kelat memandang Iqbal lalu mengangguk perlahan. Menahan jiwa yang sedikit gundah.

3 Suara Merdu Anda:

Amira Sakinah Sulaiman said...

interesting..*clap.clap


smbungannya?

KISAH AKU said...
This comment has been removed by the author.
Eddy said...

Mana sambungannya?

Post a Comment