Kamal Oh Kamalia 23

“Azlin, boleh tanya tak?”

“Apa dia?”

“Hmm.. Lin dah ada boyfriend ke?”

Azlin tersentak lalu menoleh padaku.

“Kenapa Mal tanya macam tu?”

“Eh, tak ada apa-apa, saja tanya. Kalau tak nak bagitau pun tak apa. Mal tak marah.”

“Hmm.. pernah dulu.”

Kali ini aku pula merenungnya. Malah tepat ke anak matanya. Pernah?

“Tapi.. cinta Lin tak kesampaian.”

“Kenapa? Dia tinggalkan Lin?”

“Ya. Dia tinggalkan Lin untuk selama-lamanya.”

Aku terkasima. Merenung wajahnya yang sudah bertukar mendung dan sayu. Pasti sukar untuk dia menerima kehilangan itu. Tidak semena-mena hatiku dipagut pilu. Kasihan kau Azlin.

“Maaf, Mal tak patut tanya.”

“Tak apa. Benda dah berlalu. Sudah tiga tahun pun.”

“Erm, tak mahu cari pengganti?”

Azlin merenungku sayu lalu tersenyum hambar sambil menggeleng perlahan. “Tiada yang sebaik dia setakat ini.”

“Pasti ada, cuma Lin kena bagi peluang.” Ya, bagi peluang padaku untuk melindungi dan membahagiakanmu Azlin. Kau hanya perlu lakukan itu. Bukakan pintu hatimu untuk bercinta lagi.

“Masih belum mampu Mal. Dia tetap di hati Lin, tak boleh lupa sampai bila-bila.”

“Boleh Mal tahu dia meninggal sebab apa?”

“Accident.”

Aku mengangguk perlahan. Wajah Azlin yang mendung dan sayu itu kurenung lama. Aku janji Azlin, aku akan berusaha membahagiakan kau.


******


Berpeluh-peluh aku menunggu di tengah panas ni. Semua gara-gara si Natrah yang nak sangat-sangat jumpa aku di sini. Apa halnya entah? Batang hidung dia pun tak muncul-muncul. Aku lihat jam di pergelangan tangan. Sudah empat puluh minit aku jadi orang bodoh di sini. Natrah ni nak main-mainkan aku ke? Okay tak apa, aku bagi peluang lima minit saja lagi. Kalau tak ada juga aku terpaksa angkat kaki.

“Hai Mal!”

Terangkat sedikit tubuhku dek sergahan Natrah itu. Serta-merta aku menoleh ke belakang. Kelihatan wajah manisnya sudah tersengih-sengih. Aku pamer muka tidak puas hati.

“Apa hai-hai? Tak reti nak bagi salam?”

“Eh, assalamualaikum Mal.” Dia tersenyum manja. Nakal saja rupanya tika ini.

“Erm, walaikumusalam.”

Natrah tergelak kecil lalu memaut lenganku. Dia mula dah! Aku memang tak berapa suka dengan sikap terbuka Natrah yang satu ini. Tanpa segan-silu menyentuh aku di khalayak. Dilihat orang apa pula mereka kata nanti?

“Jom!” Dia menarikku. Aku terdorong ke depan sedikit sebelum memaku kakiku dengan kemas supaya dia tidak berjaya menarikku lagi.

“Nak ke mana ni? Tadi kata ada hal?”

“Alah, jomlah! Nanti Nat kasi tau ek?”

Nak tak nak aku mengekorinya juga. Kami masuk ke kedai mamak. Itu pun di atas permintaan aku juga. Aku beralasan dah lama tidak menikmati mee goreng mamak. Nasib baik Natrah setuju. Kerana dia juga sudah lama tidak menikmati menu yang sama. Maka terselamatlah aku dari cadangan awalnya untuk menjamu selera di coffee house berhampiran. Jika tidak nayalah aku untuk memenuhi seleranya itu. Natrah ni bab makan boleh tahan juga. Terbanglah duit poketku nanti.

“Ada apa Nat nak jumpa Mal sangat-sangat ni?” Soalku sebaik memesan makanan.

“Saja. Nat rindu Mal.”

“Ha? Itu aja? Nat tau tak Mal ni tak ada masa?”

“Ala Mal tu memang tau, kalau dengan Nat asyik tak ada masa aja.” Dia sudah mula cemberut. Aku hanya buat-buat tak nampak. Malas nak layan. Aku merengus kasar dan membuang pandang ke arah jalan raya. Bengkak di hati cuba ditahan.

“Mal, janganlah marah. Nat gurau aja. Nat memang ada benda nak cakap ni. Nak minta tolong Mal boleh?”

“Erm, tolong apa?”

“Erm.. jadi teman Nat untuk malam esok?”

“Ha? Maksud Nat apa?”

“Gini, malam esok boss Nat ada buat birthday party. Tapi setiap tetamu yang datang kena bawa couple. So, Nat nak Mal jadi couple Nat malam esok. Boleh?”

“Ish, tak naklah.”

“Ala Mal, please..”

Bab ni yang aku malas ni. Natrah kalau bab merayu-rayu ni bagi kat dia. Boleh cair hatiku ini.

“Bolehlah Mal. Nat tak ada kawan kat sini. Tak akan Mal nak Nat couple dengan lelaki yang bukan-bukan? Entah datang dari mana, main tangkap muat aja? Sampai hati ke Mal nak buat Nat macam tu? Dibuatnya lelaki tu ambil kesempatan pada Nat macam mana? Mal nak tolong jawab pada papa dan mama?”

Terkedu sekejap aku dengan hujah-hujah Natrah itu. Memang benar apa yang dikatakannya. Walaupun dia amat menjengkelkan, aku tetap sayang dia. Dia tetap sepupu aku, darah daging aku.
“Tengoklah macam mana. Mal banyak kerja.”

“Ala, tangguhkanlah sekejap. Bukannya lama. Dua tiga jam aja.”

“Mal tak janji.”

Ku lihat Natrah mengorak senyuman manis. Pasti amat berpuas hati dengan jawapan aku itu. Ah, aku terlupa. Natrah memang hadam benar dengan perangai aku. Sudah kenal di mana kelemahan dan kekuranganku. Semestinya dia menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Party tu buat kat mana?”

“Kat villa keluarga dia.”

“Di mana?”

“Erm, malam esok Nat ambil Mal pukul lapan. Kita berkumpul di office dan berkonvoi dengan officemate yang lain. Boleh ek?”

“Tengoklah macam mana. Mal tak janji. Baik Nat buat plan B.”

“Ala, Nat tak nak plan B–plan B ni. Apa yang Nat tau, Nat mesti ambil Mal malam esok. Ya?”

Ish, apa main paksa-paksa pula ni? Suka-suka saja dia nak mengarah itu ini. Aku tak nak pergi nanti baru tau. Tapi, sampai hati ke nak hampakan Natrah? Sudahlah kau tolak cinta dia Kamal. Tak baik buat dia macam tu. Sekurang-kurangnya temanilah dia sekejap demi keselamatan dia juga. Jika jadi apa-apa nanti kau akan menyesal Kamal. Aku mengeluh berat.

“Okeylah. Tapi jangan lama-lama. Mal banyak kerja nak buat.”

“Ok I promise you. Thanks Mal.” Natrah tersenyum manis dan merenung tepat ke mataku. Aku membalas tipis lalu melarikan anak mataku ke arah lain. Bimbang dengan aksi manja Natrah itu bisa membuat hati lelakiku goyah. Aku hanya ingin setia pada Azlin. Setakat godaan Natrah itu aku masih mampu bertahan.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment