Kamal Oh Kamalia 22

Diam tak diam sudah tiga bulan aku tinggal sebumbung bersama Azlin. Memang boleh dikategorikan sebagai bersekudukan tapi bezanya, aku tidak pernah mengambil kesempatan pada Azlin apa lagi mahu buat benda yang tidah senonoh pada dirinya. Dalam diam aku bersyukur Allah masih menguatkan imanku. Sehingga hari ini aku masih bertahan. Mujur Azlin masih belum mengesyaki apa-apa.

Setakat ini aku sudah boleh menyesuaikan diri dengan lenggok dan caraku bercakap. Perlahan-lahan tingkah Azlin aku hadam. Sedikit sebanyak aku meniru gaya dia. Apa saja tentang dirinya. Cara minum, cara pegang cawan, cara duduk, macam-macamlah yang aku tiru. Sehinggakan cara merajuk pun aku terikut-ikut sekali. Aku tergelak kecil. Demi kau Azlin aku sanggup lakukan apa saja sehingga meletak ke tepi sifat maskulinku.

Kadang-kadang tingkahku itu terbawa-bawa ke rumah sendiri. Hingga terlanjur bersikap ala perempuan tatkala bersama Iqbal. Bohonglah jika aku katakan Iqbal tidak mengutuk aku habis-habisan. Setiap kali aku tersasul, akan jadi modal Iqballah untuk mentertawakan aku. Peliknya aku tidak pula marah. Tiba-tiba terlintas kata-kata Iqbal beberapa hari lepas.

“Risau aku ni.”

Wajah gusar Iqbal aku pandang dengan rasa hairan. Tiba-tiba saja cakap pasal risau. Ada masalah ke sahabatku itu?

“Kau kenapa? Ada problem ke?”

“Nak kata problem macam bukan, tapi kalau dibiarkan pasti jadi problem besar.”

“Berkias-kias pulak, terus-terang ajalah. Aku tak faham ni.” Aku mencebik sambil menjeling ke arah Iqbal yang mengusap-usap janggut halusnya. Dari gayanya itu, aku bagai dapat menebak apa yang ingin diperkatakan Iqbal itu adalah berkisar tentang diriku.

“Oii, cakaplah. Problem apa? Kalau boleh aku tolong, aku akan tolong. Cakap aja.”

“Hmm.. kau tu.”

“Aku? Kenapa dengan aku?”

“Aku tengok dah sebiji macam perempuan dah. Risau aku.”

“Kau risau apa? Aku steady lagilah.”

“Manalah tahu kot-kot kau berubah angin jadi perempuan betul. Macam cerita Waris Jari Hantu tu. Siapa pelakonnya? Ha, Rusdy Ramli.”

“Ek eleh, itu cerita aja ngok! Lagipun dalam cerita tu si Rusdy Ramly tu memang lembut sejak azali. Tu sebab dia tukar perwatakan. Sebab memang jiwa dia lembut.”

“Habis kau tak tukar perwatakan? Dah dua alam aku tengok.”

“Aku lain. Aku tetap jantan okey? Aku buat macam ni demi Azlin.”

“Eh, aku tak fahamlah, kau ni nak pikat dia, tapi menyamar jadi perempuan. Cuba kau cerita kat aku, macam mana gayanya kau nak ngurat dia? Tak akan perempuan ngurat perempuan kot?”

“Tulah kau tak tahu. Aku akan cuba jadi rapat dengan dia, cuba jadi sahabat dia, supaya senang aku nak tahu segalanya tentang dia. Apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Barulah senang aku nak pikat dia.”

“Entah apa-apa!”

“Apa pulak? Kau bukan tak tahu, sampai sekarang Azlin tak pernah bagi peluang pada Kamal untuk mendekati dia. So, nak tak nak aku terpaksalah jadi Kamalia.” Aku lihat Iqbal mencebik. Aku tahu aku buat kerja gila. Memang aku gila pun. Aku gilakan seorang gadis yang bernama Azlin Nasihin. Seorang gadis yang telah mencuri hatiku. Tidak pernah aku merasa perasaan sebegini sebelum ini. Hanya dia, hanya dia yang berjaya membuat tidurku tidak lena.

Lamunanku berkecai tatkala telefon bimbitku berdering. Melihat pemanggilnya saja cukup membuat aku menyampah. Dalam satu hari jika tidak mengganggu aku tak sah agaknya? Deringan itu mati bila aku tidak tercuit langsung untuk menjawabnya. Lantak kaulah Natrah! Sejak gadis itu berada di Malaysia, sejak itulah telefon bimbitku ini tidak diam. Jika telefonku ini boleh bercakap pasti sudah membebel dengan panggilan yang tidak diundang itu.

Natrah, tidak pernah jemu mengejarku. Apa yang dia pandang pada diriku ini entahlah. Sebagai lelaki, aku tertanya-tanya juga. Tiada perasaan malukah gadis itu? Orang tidak sudi lagi mahu menyorong-nyorong kasih? Maaf Natrah, tidakkah kau faham bahawa cinta itu tidak boleh dipaksa-paksa? Terbitnya rasa cinta itu biarlah dari hati bukan kerana terpaksa atau simpati. Tolonglah mengerti.

Aku mengeluh lagi. Mood untuk aku buat assignment, lesap. Penyudahnya aku tutup komputer ribaku dan berbaring di katil. Ingin cuba lelapkan mata. Ingin cuba buang jauh-jauh bayangan Natrah. Aku hanya inginkan dia, kekasih hatiku itu.

“Azlin..” Aku mengorak senyum lebar bila nama itu meniti di bibirku perlahan. Kalaulah aku boleh meluahkan apa yang aku rasa pada Azlin sekarang, bukankah bagus? Kalaulah Azlin membalas rasa hatiku ini, bukankah indah? Akan aku canang satu dunia betapa bahagianya kami berdua. Aku tidak akan membiarkan sesiapa pun yang menganggu hubungan murni kami. Aku senyum.

“Lin kena bagi peluang pada diri Lin. Tak akanlah Lin nak membujang sampai ke tua?” Soalan itu pernah ku ajukan padanya saat kami bercakap soal hati dan perasaan. Dia kulihat hanya mengeluh berat. Sukar benar hendak aku tafsirkan tentang hatinya kini. Tiada ruangkah untuk aku?

“Bukan Lin tak mahu Mal, hati Lin ni masih ada dia. Dia pergi membawa cinta Lin bersama. Susah untuk Lin berpaling.”

“Mengapa Lin tak mahu mencuba?”

“Lin takut.”

“Mengapa perlu takut Lin? Hidup ini mesti diteruskan. Cuma Lin perlu memberi ruang pada hati Lin dan peluang pada orang lain.” Aku memancing reaksinya.

“Memang mudah berkata-kata Mal, tapi susah nak buat.”

Seraut wajahnya bergayut hiba. Keruh yang bertandang membuat aku sedikit menyesal memulakan perbualan ini. Seboleh mungkin aku tidak mahu dia terluka lagi. Ingin sekali aku mendakapnya waktu itu agar terlerai segala lara jiwanya. Namun bila kufikirkan semula, aku tidak berani. Dia mungkin saja tidak tahu getaran hatiku ini, tetapi aku tidak boleh mengambil kesempatan. Semoga Allah melindungi aku dari godaan syaitan.

Aku menghela nafas berat. Sukar benar memainkan dua perwatakan. Jika aku tak kuat iman, aku pasti hanyut. Astaghfirullahalazim. Apakah tindakan aku betul selama ini?

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment