Kamal Oh Kamalia 20

Aku kegelisahan. Mengiring ke kiri tak kena, pusing ke kanan pun tak kena. Kepala aku asyik teringatkan Azlin. Aku meninggalkan dia dalam keadaan dirinya yang tidak mengizinkan. Ikutkan hati memang aku tak mahu pergi. Ikutkan hati, ingin saja aku berada di sisinya sentiasa. Aku sanggup bersengkang mata untuk menjaga dia.

Aku pandang telefon bimbitku. Melihat jam di skrin itu yang telah pun menunjukkan pukul dua belas setengah malam. Teragak-agak jemariku ingin menekan nombor Azlin untuk bertanya khabar. Bimbang pula mengganggu tidurnya. Sudahnya aku meletakkan semula telefonku itu di atas meja kecil di sebelah katil.

Aku bangun menuju ke dapur. Terasa haus pula tekakku ini. Peti sejuk aku buka dengan malas. Serta-merta lampu peti sejuk itu menerangi ruang dapur yang gelap gelita. Aku mencapai jus oren dan menapak ke sinki untuk mengambil gelas yang sudah elok tertiarap di situ. Aku melabuhkan punggung di kerusi sambil menuangkan jus oren itu dengan tidak berhati-hati. Ah, cemerkap pula aku tengah-tengah malam begini. Jus oren itu sudah tertumpah sedikit di atas meja. Aku mengeluh berat. Inilah akibatnya mata ke lain, fikiran ke lain. Asyik fikir tentang Azlin saja sehingga tidak keruan aku dibuatnya. Aku benar-benar bimbang. Aku berharap Azlin dapat bertahanlah malam ini. Jika esok tidak kebah juga demamnya, aku sendiri akan membawa dia ke klinik. Samada dia rela atau tidak, aku tidak peduli.

Tidak semena-mena perut aku berbunyi. Laparlah pula. Nak makan apa agaknya? Aku bingkas dan membuka semula peti sejuk bersaiz sederhana itu. Meninjau-ninjau jika ada makanan untuk mengalas perut. Langsung tiada! Inilah nasib orang bujang. Selalu kekurangan makanan. Aku mengeluh lagi. Nampaknya hanya jus oren sajalah yang mengalas perutku sepanjang malam ni.

Aku kembali ke kamarku semula. Merebahkan badan dan cuba memejam mata. Berharap sangat aku dapat tidur. Namun bayangan Azlin muncul semula. Ah, parah aku ni! Tak dapat ku lupakan sayu renungan Azlin saat menghantar aku ke muka pintu. Wajah yang lesu dan sedikit pucat itu langsung tidak mencacatkan keayuan wajahnya. Ingin saja aku mendakap tubuhnya tika itu. Namun aku tahu di mana batasku. Walaupun di mata Azlin aku adalah Kamalia, aku tetap tidak boleh melakukan sesuatu di luar batas. Aku tidak mahu mengheret gadis kesayanganku ke lembah dosa. Biarlah aku menanggungnya sendiri. Cuma aku berharap rahsia ini tidak terbongkar sebelum waktunya.

Aku bangun sekali lagi. Duduk bersandar di kepala katil. Sudah berputus asa sedikit dengan mataku yang tetap segar dan tidak mahu lelap walaupun seculin. Aku mencapai komputer ribaku lalu meletakkannya di atas riba yang dilapik bantal. Mahu membaca e-mail. Cahaya dari komputer ribaku sedikit menyilau mata. Terpaksa aku mengecilkan mataku ini untuk membaca tulisan yang agak halus terpapar di skrin. Satu-persatu e-mail yang berbaris di peti masuk aku buka dan yang mana aku rasa tidak perlu terus aku buang. Seketika mataku tertancap pada sebuah e-mail yang baru masuk. Kiriman dari Natrah lagi. Apa mahunya kali ini? Segera aku klik untuk membukanya.

Salam rindu Mal.

Sihat? Nat sihat saja. Nat cuma nak kasi tahu, Nat akan tiba di KL lusa. Mal boleh ambil Nat di airport? Nat datang bersama seorang kawan. Kami sama-sama mahu tinggal di Malaysia sepanjang cuti semester ini. Segalanya telah Nat uruskan. Mal jangan risau ya? Cuma Nat perlukan Mal di airport itu saja. Sekejap pun jadilah ya? Nat tunggu. Bila dah sampai nanti Nat sms Mal okey?

Bye. Salam sayang.

Natrah.


Aku mengeluh. Jadi satu kerja pula aku nanti. Dia ingat aku ni drebar dia ke apa? Silap haribulan aku akan jadi pemandu pelancong dia pula. Itu tidak mustahil berlaku. Pasti Natrah akan menggunakan alasan ingin membawa temannya melihat sekitar Kuala Lumpur. Ah, bosan sungguh! Namun aku pasti tidak boleh mengelak.

***

“Oit, awalnya kau bangun?”

Iqbal menegurku sebaik terlihat kelibatku yang agak kelam-kabut sedikit pagi ini. Untuk seketika aku tidak mengendahkan tegurannya itu. Aku lebih berminat melayan resahku sejak dari semalam. Fikiranku kini hanya ada Azlin dan kerana dialah aku bangun awal pagi ini. Aku ingin menjenguknya. Kebetulan kuliahku pada sebelah petang, jadi aku menggunakan kesempatan ini untuk berjumpa dengannya dahulu. Bukan sahaja bimbang tapi lebih kepada rindu. Jiwaku ini sarat dengan rinduku padanya.

“Buat tak tahu aja kau eh bila aku tanya? Memang melampau. Ingat aku tiang ke kat sini?”

Iqbal menyekeh kepalaku lalu melabuhkan punggungnya di atas katilku. Sambil aku menguap tanganku menggosok baju kurung berwarna kuning air itu. Iqbal tergelak.

“Kau gelak apa?”

Aku mengangkat kening kerana pelik dengan tingkahnya itu. Tiba-tiba saja? Bila masa pula aku buat lawak hingga mencuit hati sahabatku itu?

“Gelakkan kaulah.”

“Apa hal gelakkan aku? Aku rasa aku tak buat lawak jenaka pun?”

Iqbal tergelak lagi.

“Memanglah. Kau tak payah buat lawak pun tak apa, sebab kau memang sedia lawak dah.”

Aku berkerut kening. Tak faham aku dengan maksud Iqbal itu. Aku garu kepala pula. Aku tak buat lawak dia cakap aku lawak. Aku tak cakap apa-apa dia gelak. Misteri betul Iqbal ni. Dia ingat aku raja lawak ke apa?

“Ni, yang kau kelam kabut pagi-pagi buta ni apa hal? Siap gosok baju kurung lagi. Tak sabar nak jumpa Azlin eh? Ala, karang kat kampus kau tengoklah dia. Apa susahnya?”

“Kalau dia datang. Kalau dia tak datang macam mana? Baik aku jenguk dia dulu sebelum kelas aku petang karang.”

“Ala, Azlin tu demam biasa aja. Tu pun kau nak risau. Relekslah.”

“Mana boleh rileks. Aku susah hati tahu? Sepanjang malam ni aku hanya tidur-tidur ayam aja.”

“Amboi, sampai macam tu kerisauan kau ya? Nampaknya kau betul-betul jatuh sayang sama dia?”

“Habis, kau ingat aku main-main ke dengan dia? Aku serius bro. Kalau tak, tak akanlah aku sanggup buat kerja gila macam ni?”

Iqbal tergelak sambil menggelengkan kepala perlahan.

“Mal, Mal. Aku respectlah dengan kesungguhan kau memikat dia. Cuma cara kau ni tak betul. Salah. Memalukan kaum sejenis.”

“Diamlah kau. Aku dahlah mengantuk ni. Karang aku gosok kau nak?”

“Eh, apa pasal nak gosok aku pulak? Ingat aku ni baju kurung?”

Aku merengus bila mendengar Iqbal mentertawakan aku.

“Mal, serius aku cakap, tak lama lagi penyamaran kau ni akan terbongkar.”

“Aku tahu.”

“Apa yang kau tahu? Eh Mal, kita ni hidup berjiran tau. Masyarakat sekeliling perhati aja apa yang kau buat ni. Jangan dia orang salah anggap sudah.”

“Salah anggap? Salah anggap apa pulak?”

“Ish, lembab! Setiap hari kau keluar dari rumah ni dengan pakai baju kurung, kau ingat orang tak pandang? Tu makcik Bedah mancung tu, asyiklah usya-usya. Dia tu dahlah macam CNN.”

“Pedulikan dia oranglah. Bukan kita buat benda salah pun.”

“Tak buat benda salah kau cakap? Habis yang kau tengah gosok tu apa?”

“Apa? Ni? Baju kurung. Kenapa?”

Iqbal tepuk dahi sambil pamer muka bengangnya.

“Cik Kamalia, apa pasallah otak kau lembab sangat macam kambing gurun ha? Pakai pakaian perempuan itu haram. Ada faham?”

“Ya.”

Aku seolah-olah tidak dapat focus dengan apa yang Iqbal bebelkan. Bukannya aku tidak dengar rungutan demi rungutannya itu cuma fikiranku lebih tertumpu kepada Azlin sekarang.

“Jangan sampai aku kena tuduh bawa balik perempuan ke rumah. Jangan sampai orang-orang pejabat agama datang menyerbu ke sini. Baik kau hati-hati Mal.”

“Okey.”

“Aku tak dapat bayangkan kalau apa yang aku cakap tu berlaku Mal. Manalah nak sorok muka aku yang handsome lagi menawan hati ni?”

Aku menjungkit bibir sebelah kiri. Handsome lagi menawan hati? Perasan betullah kawan aku seorang ni.

“Dahlah Bal. Pot-pet pot-pet dari tadi. Tak penat ke? Keluarlah aku nak tukar baju ni. Karang lambat pula aku nak bawa buah hati aku pergi klinik.”

Iqbal mencebik.

“Buah hati konon. Dia bukan tahu pun.”

“Pelan-pelanlah. Nanti aku beritahu dialah. Dah keluar!”

Iqbal bangun dengan malas.

“Cepat sikit. Aku dah lapar ni. Tu, aku dah beli nasi lemak.”

“Okey-okey. Kau pergi buat air dulu. Err.. aku nak kopi O.”

“Banyak kacak muka kau? Buat sendiri!”

Aku tergelak kecil. Iqbal Iqbal, dah macam perempuan mulutnya tu. Tapi sedikit sebanyak aku bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang begitu baik dan prihatin seperti dia. Bukan setahun dua aku mengenalinya, tapi cukup lama. Sehingga antara kami tiada lagi rahsia.

0 Suara Merdu Anda:

Post a Comment