Kerana Sebuah Janji 12

Asyik sekali matanya memerhati Dahlia menyiram pokok bunga. Wajah putih bersih itu nampak ayu dari jauh. Nampak tenang bagai tiada masalah yang hadir mengacau-bilau jiwanya. Tingkah Dahlia yang lembut sambil mengusap-ngusap bunga mawar itu mampu menggarit sedikit senyum tipis di bibir lelakinya. Benar kata mama, gadis itu manis sekali. Gadis itu sopan tingkahnya. Kenapa baru sekarang dia menyedari semua itu?

Gerak langkah Dahlia menjadi perlahan tatkala terasa ada sepasang mata sedang asyik memerhatinya. Mencari-cari empunya siapakah sang mata itu, Dahlia terkedu. Rasa segan menyimbah raut wajahnya bila menangkap sepasang mata Dani merenung lembut ke arahnya. Empat pasang mata itu bertaut mesra. Namun, getar yang hadir datang menyapa di jiwa membuat keadaan renung-merenung itu seketika cuma. Dahlia mula rasa tidak selesa. Kenapa Dani tengok dia begitu? Sudah lamakah dia diperhatikan? Dahlia ingin segera beredar tapi langkahnya mati bila Dani memanggil namanya.

“Sinilah kejap, aku nak cakap sikit.”

Dalam terpaksa Dahlia akur jua. Menapak perlahan ke arah lelaki itu yang enak santai di beranda rumah lantas dia melabuhkan punggungnya berhadapan Dani. Wajah serius lelaki itu direnung penuh tanda tanya.

“Kita perlu berbincang.”

Dahlia diam. Menunggu butir ayat seterusnya yang keluar dari bibir berkumis nipis itu. Bibir yang dihiasi lebam hasil dari santapan rokok yang menjadi teman karib lelaki itu.

“Tentang wasiat tu.”

Dahlia masih diam. Sikapnya itu mengundang geram di hati Dani. Baginya berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah. Kata putus harus dia dapatkan segera dari Dahlia. Dani tidak mahu membuang masa lagi. Syarikatnya sedang nazak. Kewangannya sangat tenat. Hanya pertolongan gadis itu mampu merubah segalanya.

“Kau dengar tak ni?”

“Dengar. Awak cakap ajalah, saya dengar.”

“Duit kat bank makin susut. Kewangan syarikat juga dah tenat. Paling lama bertahan pun 2 tahun lagi. Tender kat Brunei pun mungkin akan terlepas.”

Dani mengeluh. Matanya tepat merenung wajah yang tenang di hadapannya itu. Cukup bersahaja, cukup selamba. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Seolah-olah tiada apa yang merunsingkan fikiran gadis itu.

“Dahlia..”

Dani menarik nafas dalam. Sedalam-dalamnya. Dia tahu, apa yang bakal dia luahkan sebentar lagi belum tentu berhasil. Dia juga tahu tidak mudah baginya untuk melamar gadis itu. Tidak semudah dia melamar Juliana. Kerana lamarannya pada kekasihnya itu disertai bunga-bunga cinta dan impian. Betapa tidak relanya jiwa melamar gadis yang bukan menghiasi sanubarinya. Betapa segannya dia ingin melamar gadis itu menjadi suri dalam hidupnya semata-mata harta yang ingin dia warisi. Ada jalur kesal melintas di benaknya. Kesal dengan sikap sang ayah yang tidak mahu berbincang dan membuat keputusan sesuka hati tanpa kerelaan jiwanya.

“Dahlia, kita…”

Ada getar yang menjadi pengiring alunan suaranya. Mencari kata-kata yang sesuai untuk membujuk raih simpati Dahlia. Dia tahu, dia bukanlah lelaki romantis kerana cuba melamar gadis itu di waktu petang begini. Tanpa candle light dinner. Tanpa bunga. Malah tiada sebentuk cincin mahupun coklat sebagai penyeri. Dia hanya ingin menamatkan sebuah persoalan yang masih tergantung jawapannya. Jika dia tidak terdesak begini pasti akan dirancangnya sebaik mungkin bagi menambat hati nurani gadis di hadapannya itu. Dani mencari-cari sepasang mata cantik itu yang sedang merendahkan pandangannya. Lebih rela menunduk segan dari bertaut mesra dengan matanya.

“Kita.. kita kahwin?”

Bagai terlepas satu bongkah beban yang dipikulnya selama ini sebaik saja kata-kata itu berjaya diluahkan. Dani lega. Paluan debar yang menggila saat ini terus kencang menanti giliran Dahlia menyatakan keputusannya. Dani cuba bersabar dan memberi sedikit ruang untuk Dahlia. Gadis itu kaku di situ.

Dahlia merasakan dirinya seakan putus nafas. Langsung dia tidak menduga dengan apa yang terzahir dari bibir Dani. Apa yang ditakutinya selama ini sudah pun terjadi. Kini, Dani benar-benar melamarnya dan lelaki itu sangat berharap. Tegakah dia membiarkan terus harapan lelaki itu? Tapi, mampukah dia memikul padah jika kata setuju yang diberi? Dahlia celaru.

“Dahlia..”

“Saya perlukan masa.”

“Lama ke?”

“Tak tahu.”

“Jangan hampakan aku dan mama.”

“Jangan berharap terlalu tinggi.”

“Aku sangat-sangat perlukan pertolongan kau Dahlia. Apa saja permintaan kau, aku akan ikut, apa juga syaratnya akan aku penuhi, please say yes Dahlia, please..”

“Awak, tolong jangan mendesak saya. Saya perlu masa, harap awak faham.”

Dani hanya mampu menelan liurnya melihat kelibat Dahlia hilang dari pandangan mata. Berlalu bersama wajah yang memerah. Hari ini dalam sejarah, dia membuang ego dan merayu pertolongan seorang gadis demi kesinambungan hidupnya, hari ini dalam sejarah juga lima kali lamarannya ditolak. Ah, baik Juliana atau Dahlia sama saja! Menyakitkan hati!

***********

“Boleh Lia? Itu aja permintaan uncle. Memang uncle tahu, permintaan ni sangat besar. Tapi, uncle memang dah berniat nak tolong Lia. Uncle dah janji dengan ayah Lia. Uncle rasa bersalah sangat, kerana uncle Lia jadi yatim piatu. Jadi, uncle dah buat keputusan dan uncle mahu Lia terima keputusan uncle ni. Boleh Lia janji?”

“Uncle janganlah cakap macam tu. Macamlah uncle ni nak mati esok.”

Hishamuddin tergelak.

“Ajal dan maut tu bukan urusan kita Lia. Uncle cuma bersiap sedia aja. Mana tahu esok uncle betul-betul mati?”

Dahlia menelan kesat air liurnya. Kehilangan kedua orang tuanya sudah cukup meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada dirinya, kini bapa angkatnya pula berkisah tentang kematian. Bagai belati menghiris dada, pedih dan nyeri.

“Dani pasti memberontak uncle, dia tak pernah suka Lia pun.”

“Dia terpaksa Lia. Kalau tidak dia akan muflis. Lia sanggup tengok aunty dan Dani muflis?”

“Tak. Uncle pun tahu Lia tak sekejam itu.”

“Jadi, Lia setuju dengan uncle?”

“Lia tak tahu uncle. Lia takut. Nanti Dani akan tinggalkan Lia selepas dapat apa yang dia nak.”

“Itu Lia jangan risau, tahulah uncle nak buat macam mana ya? Yang penting sekarang, uncle perlukan persetujuan Lia.”

“Tapi..”

“Tolong uncle ya? Janji dengan uncle.”

Melihat kesungguhan dari Hishamuddin dan tidak mahu mengecewakan lelaki itu, Dahlia menyata persetujuannya dan berjanji akan menjadi isteri Dani bila sampai saatnya kelak. Demi budi yang telah ditabur, demi arwah ayahnya, Dahlia tolak ke tepi soal cinta. Cinta tidak wujud di hatinya. Baginya biar cinta itu hadir dengan sendiri tanpa mencarinya. Lagipun keluarga angkatnya itu telah menjaganya dengan baik sekali. Semua keperluannya cukup. Malah sanggup menanggung pengajiannya. Apa lagi yang disangsi, apa yang perlu dikesali? Tidak, permergian kedua orang tuanya bukan kerana salahnya Hishamuddin tapi kerana ajal mereka sudah menjemput, janji dengan yang Maha Esa perlu dilangsaikan. Dia redha dengan kehilangan itu.

Tersentak dengan usapan lembut jemari wanita yang masih anggun itu, Dahlia segera menyeka airmata yang bergenang.

“Lia nangis?”

“Taklah aunty.”

“Jangan tipu.”

“Betul tak.”

Zarina tahu Dahlia berbohong. Mata yang berkaca dipandang redup, pipinya yang basah itu diusap lembut. Hati tuanya tersentuh. Dahlia anak yang baik. Desakan Dani sedikit sebanyak meresahkan hati gadis itu. Dan kini Dani mendesaknya pula untuk memujuk Dahlia.

“Aunty tahu, Lia tak nak perkahwinan begini, kan? Mana-mana perempuan pun tak mahu berkahwin dengan cara begini, kahwin tanpa cinta.”

Dahlia tidak dapat menahan lagi air jernih di bibir matanya. Biarkan. Biarkan ia tumpah dan membasahi pipinya. Biarkan sendu itu bergema ke seluruh udara.

“Tapi aunty mohon pada Lia, jangan hampakan kami. Aunty tahu kami sedikit selfish tapi aunty pasti kebahagiaan itu akan Lia dapat nanti. Tolong ya Lia? Aunty sayang Lia, aunty sayang Dani. Aunty nak tengok you all berdua happy together.”

Bahagia? Bersama Dani? Rasanya hampir mustahil akan berlaku. Haruskah dia menerima lamaran Dani demi serelung budi? Haruskah dia mempertaruhkan jiwa demi sebuah kehidupan yang tidak disulami cinta? Perlukah dia mengorban diri dan masa depannya kerana sebuah janji? Ya, kerana sebuah janji. Kerana janjinya pada arwah bapa angkatnya lewat musim yang lalu. Dahlia rasa dirinya sudah terperangkap. Terperangkap dengan janji yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan padanya. Janji yang dia tidak boleh mungkiri. Dahlia sedar, dia telah menjerat dirinya sendiri hanya kerana janjinya pada kenangan lalu.

3 Suara Merdu Anda:

hani said...

salam...makin menarik, saya sbnarnya mengikuti dari awal p bru nie nak komen, terusan n cepat smbg ye

Anonymous said...

ya..makin menarik cerita ni.Tidak sabar tunggu n3 yg br.tq..

Unknown said...

ooooo....dahlia pun berjanji

Post a Comment