Showing posts with label smab. Show all posts
Showing posts with label smab. Show all posts

Rajuk Sang Hati 2

Aku tunduk. Wajah cikgu Wahid, guru disiplin sekolah itu tak berani aku pandang. Macam nak telan orang saja. Jantung aku berdebar-debar.

“Qairunissa, bulan ni berapa kali awak datang lewat ke sekolah?”

“Err.. baru 4 kali cikgu.”

“Baru 4 kali? Berapa kali lagi awak nak buat?”

“Err.. tak surelah cikgu.”

Aku tersengih. Cikgu Wahid memandangku serius.

“Menjawab!”

La, kan dia yang tanya tadi, aku jawablah. Itu pun salah ke? Entah apa-apalah cikgu ni.

“Ha, kamu! Siapa nama kamu?”

“Hasnul Amin, cikgu.”

Oh, nama dia Hasnul Amin. Macam mana aku boleh lupa tanya nama dia tadi?

“Kenapa lewat?”

“Saya tak tahu sekolah ni tutup awal. Saya ingat pukul 8.30 pagi baru tutup.”

“8.30 pagi? Awak ingat ini sekolah bapak awak punya? 8.30 pagi dah nak masuk subjek ke tiga, faham? Semua sesi persekolahan kat Malaysia ni bermula seawal 7.30 pagi. Jadi, seboleh-bolehnya awak kena datang sebelum pintu pagar utama ditutup, iaitu pukul 7.30 pagi. Faham?”

“Oh, barulah saya faham.”

Aku cuba menyembunyikan senyum. Kelakar juga si Hasnul Amin ni.

“Qairunissa! Apa pula alasan awak kali ni? Jangan nak kata, awak hantar atuk awak pergi klinik, jangan nak kata kucing awak nak beranak. Itu semua bukan alasan.”

Eh, betullah! Memang dulu aku lewat sebab hantar atuk aku pergi klinik. Dia cirit-birit. Takkan aku nak biarkan atuk kesayangan aku tercirit-birit kat rumah pulak. Kucing aku si Eton tu pun memang nak beranak. Itu bukan alasan palsu. Aku tak boleh tinggalkan dia mengiau-ngiau menahan sakit . Eton dah biasa setiap kali nak beranak aku yang jadi bidan terjunnya. Apalah cikgu ni!

“Qairunissa, awak dengar tak apa yang saya tanya ni?”

“Err, dengar cikgu. Sebenarnya saya terlambat bangun, then terus tertinggal bas. Tu yang lambat tu cikgu.”

Aku buat muka sekupang. Cikgu Wahid pula sudah merah padam mukanya menahan marah. Janganlah marah cikgu, saya tak tipu pun. Saya jujur. Saya bercakap benar. Aku mengerling Hasnul Amin. Dia tersenyum nipis. Gelihati kot.

“Kamu berdua harus didenda.”

“Didenda?”

Serentak suaraku dan Hasnul Amin. Kami saling berpandangan.

“Ya, didenda. Qairunissa, lepas tamat sesi persekolahan, awak didenda cuci tandas guru wanita.”

Aku ternganga. Cuci tandas? Aku pandang Hasnul Amin. Dia mengulum senyum. Oh, kau gelakkan aku ya? Tak apa, tak apa.

“Hasnul Amin, awak..”

“Chup, chup cikgu. Saya tak bersalah cikgu, saya tak tahu. Saya budak baru. Baru hari ni start belajar kat sini. Ini surat pertukaran sekolah.”

Hasnul Amin menghulurkan sehelai kertas yang berlipat dua kepada cikgu Wahid. Guru disiplin itu tekun meneliti kertas di tangannya.

“Hmm, dari Jakarta?”

“Ya, cikgu.”

Jakarta? Oh, mamat Indon rupanya. Tapi tak macam Indon pun? Cakap pun elok aja macam orang sini?

“Baik, oleh kerana awak budak baru, dan masih tak tahu peraturan sekolah di Malaysia, saya maafkan awak. Tapi itu tak bermakna perkara ini boleh berulang kembali. Faham?”

“Faham cikgu, terima kasih.”

Eh? Mana aci macam ni. Aku sorang saja yang kena denda. Dia terlepas. Tak adil! Cikgu Wahid saja tau nak buli aku.

“Qairunissa, awak boleh pergi sekarang. Jangan lupa nanti. Saya akan suruh sorang pengawas monitor awak.”

“Tapi cikgu…”

“Tak ada tapi-tapi, awak masuk kelas sekarang. Hasnul Amin awak tunggu sini.”


Rajuk Sang Hati 1


Aku mula tak senang duduk. Jam tangan rasanya dah berpuluh kali aku tengok. Berpuluh kali juga aku mengeluh. Manalah bas ni? Dahlah aku sorang-sorang saja duduk kat bus stop ni. Sekali-sekala aku panjangkan leher, melihat ke jalan raya yang jadi laluan bas. Menyesal pula tidur lewat malam tadi. Kalau aku tak bergayut dengan Azrai pasti aku tak terlewat bangun. Pasti aku tak tertinggal bas yang biasa aku ambil. Jam tangan aku tengok lagi. Untuk yang ke berapa kali aku pun tak tahu. Dah pukul tujuh dua puluh pagi. Sah! Aku terlewat ke sekolah lagi. Ini semua gara-gara si Azrai. Siap kau! Aku panjangkan leher lagi. Bas dah datang!

Aku terpaksa berdiri memandangkan semua tempat duduk sudah penuh. Leceh betul! Tak ada ke manusia yang simpati dengan aku ni? Aku toleh kiri dan kanan. Semuanya macam tiada berperasaan! Aku ni budak sekolah, pakai uniform sekolah lagi, tak kesian ke? Tapi kenapa pula mereka nak kasihan pada aku? Bukannya aku mengandung pun, bukannya aku warga emas, aku cuma budak perempuan yang tak cukup umur, itu saja. Loceng bas berbunyi. Ada orang nak turun! Cepat-cepat aku menoleh siapakah gerangan yang nak turun itu. Seorang perempuan berbangsa India dan anaknya nak turun. Aku tak nak buang masa lagi, terus saja aku duduk di bangkunya tadi. Fuh! Lega. Rasa kejang kakiku ini. Tingkap bas aku buka luas-luas. Panas di pagi yang dingin membuatku tak selesa lansung. Bas berjalan semula.

Aku terasa ada seseorang duduk di sebelahku. Aku menoleh seketika. Mamat mana pulak ni? Pakai uniform sekolah juga. Aku jeling lencana di dadanya. Eh? Sama sekolah dengan aku? Kenapa aku tak pernah tengok dia sebelum ni? Tingkatan berapa agaknya dia? Dia menoleh kepadaku. Mata kami bertembung. Mukanya sangat serius. Lansung tiada segarit senyuman pun terukir. Aku? Lagilah serius. Tak kuasa aku nak senyum-senyum pada lelaki tu. Karang tak pasal-pasal dituduh nak mengurat dia pulak.


*********

Terkebil-kebil aku tengok pintu pagar sekolah yang dah bertutup rapat. Jam di tangan aku tengok lagi. Pukul lapan sepuluh minit. Aku mengeluh. Semua orang sudah masuk kelas. Aku berpaling tiba-tiba dan nyaris-nyaris aku berlaga dengan budak lelaki di sebelah aku semasa dalam bas tadi. Aku mengurut dada. Apa dia buat di belakang aku? Tercegat macam tiang lampu!

“Oi, kau apa hal hah? Tercegat belakang aku, nyaris tak berlanggar.”

Aku merenung dia dengan tajam. Dia pula bermuka selamba. Tangannya menggaru kepala.

“Ini Sekolah Menengah Anggerik Biru ke?”

Aku berkerut kening. Lain yang aku tanya lain yang dia jawab. Tak nampak ke pada pagar batu sekolah tu terang-terang tulis SEKOLAH MENENGAH ANGGERIK BIRU. Rabun agaknya dia. Matanya masih memerhati sekolahku.

“Kenapa tak buka lagi? Sepatutnya dah buka sekarangkan? Student pun tak nampak? Cuti ke hari ni?”

“Kau ni merepek apa? Tak pernah sekolah ke sebelum ni? Hari ni hari rabu. Gate ni tutup sebab dah lepas pukul 7.30 pagi, student dah masuk kelas, dah start belajar.”

“Dah tutup? Cepatnya? Bukan kelas start pukul 8.30 pagi ke?”

“Hah?”

Dia ni makhluk asing ke? Beriya pakai uniform sekolah aku tapi waktu masuk sekolah pun tak tahu. Dia berlalu. Aku pula yang terpinga-pinga.

“Oi, tunggu! Kau nak ke mana tu?”

“Jomlah!”

Sekali lagi aku pelik. Jom ke mana? Tanpa berlengah aku mengekorinya. Kami berjalan sehingga ke hujung pagar sekolah. Di situ agak lengang. Aku mula cuak. Aku lihat dia meninjau-ninjau pagar batu itu.

“Kau nak buat apa?”

Dia senyum padaku. Mak ai, cutenya senyuman. Patutlah mukanya serius saja, rupa-rupanya senyumannya sangat mahal. Kalau dia sentiasa senyum macam tu, aku percaya ramailah budak-budak perempuan yang jatuh cinta pada dia.

“Cepatlah!”

Aku tersentak. Sempat pula aku melamun. Mukaku terasa pijar. Aku lihat dia sudah menadahkan tangannya untuk aku panjat. Gila ke apa mamat ni? Aku ni pakai baju kurunglah!

“Buat apa tercegat kat situ? Cepatlah!”

Cepat-cepat aku berpijak pada tangannya dan memaut pagar batu yang agak tinggi itu. Aku duduk di atas pagar batu itu, menghulurkan tangan untuk dia berpaut pula. Dia hanya tersenyum padaku. Dengan berlagaknya dia memanjat pagar itu sendiri tanpa bantuanku. Senangnya dia panjat?

“Aku berat. Aku takut kau jatuh kalau kau tolong aku tadi.”

“Ala, cakap ajalah kau nak berlagak depan aku.”

Dia tergelak. Menghulurkan tanganya pula untuk membantuku turun. Nak tak nak aku terpaksa capai jemarinya itu. Pagar yang tinggi itu buat aku gayat.

“Qairunissa!!”